Kadar Guna EEV Naik Dua Angka
15 May 2012 12:31 PM
Pelbagai insentif diumum tarik minat pengeluar kenderaan asing baru Kadar penggunaan kenderaan cekap tenaga (EEV) di Malaysia meningkat kepada dua angka menjelang 2020 daripada sekitar satu peratus sekarang, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir. Beliau berkata, peningkatan itu dijangka didorong pelbagai insentif yang diberikan kerajaan kepada pembuat kenderaan tempatan dan asing menerusi Dasar Automotif Negara (NAP) 2012 yang akan diumumkan tidak lama lagi. Katanya, insentif itu akan menarik minat pengeluar kenderaan asing baru dan sedia ada untuk menghasilkan EEV di negara ini. “Kita berharap untuk menyaksikan beberapa pengeluar asing mengumumkan rancangan mereka berhubung EEV di negara ini dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Kejuruteraan Digital dan Teknologi Automotif Nasional (NATDES) 2012 di Shah Alam, semalam. Hadir sama, Ketua Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Mohamad Madani Sahari. EEV adalah kenderaaan yang menepati tahap spesifikasi khusus bagi pelepasan gas tercemar dan penggunaan tenaga seperti kenderaan cekap bahan api, hibrid, kenderaan elektrik (EV) dan semua kenderaan yang menggunakan bahan api alternatif. Setakat ini, hanya kenderaan hibrid dan EV yang dipasarkan di negara ini, manakala sebahagian besar lagi adalah kenderaan menggunakan enjin pembakaran dalaman (ICE) dan mengetengahkan fungsi cekap bahan bakar serta pelepasan karbon monoksida rendah sebelum mencapai standard EEV. Segmen EEV khususnya bagi model hybrid di negara ini terus berkembang apabila beberapa pengeluar kenderaan asing memperkenalkan pelbagai model baru susulan pengumuman pengecualian sepenuhnya cukai eksais dan import bagi kenderaan hybrid di bawah 2,000cc oleh kerajaan dalam Bajet 2011. Mukhriz berkata, sejajar dengan hasrat meningkatkan kadar penggunaan EEV, beberapa kerajaan negeri telah bersetuju untuk menggunakan kenderaan berkenaan sebagai kenderaan rasmi. “Kerajaan Persekutuan juga sedang menimbang menggunakan EEV sebagai kenderaan rasmi pada masa akan datang. Bagaimanapun infrastruktur bagi kenderaan ini perlu diwujud dan dipertingkatkan terlebih dulu untuk memudahkan aksek pengguna,” katanya. Sementara itu, NATDES 2012 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam selama dua hari bermula semalam dihadiri 150 peserta tempatan terdiri petugas bidang teknikal dalam syarikat automotif. Mengulas mengenainya, Madani berkata simposium anjuran bersama MAI, SAE (M) Feiran Technology Sdn Bhd, Dream EDGE dan NetAPP adalah untuk membentuk kesedaran komuniti industri automotif dalam membangunkan keupayaan tempatan bagi menghadapi cabaran masa depan era baru pengunaan EEV di negara ini.


























MITI Malaysia
on Facebook