YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Majlis Perasmian Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Groom Big, Terminal Agribisnes Negara (TEMAN), Kota Bharu, Kelantan, 9.30 Pg., 30 Julai 2011 (Sabtu)
30 Jul 2011 04:03 PM
Y. Brs. Encik Nik Rahmat Nik Taib Y. Brs. Tuan Hj. Ahmad Ishak Y. Brs. Dr. Hj. Zainal Abidin Mohd Yusof Wakil-Wakil Agensi; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian. Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1Malaysia. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin serta limpah kurnia dan rahmatNya jua dapat kita bersama-sama pada hari ini bagi menjayakan Majlis Perasmian Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Groom Big. Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan penghargaan kepada pihak penganjur iaitu Bahagian Pembangunan Keusahawanan MITI dengan kerjasama FAMA dan SIRIM Berhad di atas inisiatif untuk mengadakan majlis perasmian Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Groom Big pada hari ini. Tahniah dan terima kasih juga diucapkan kepada Persatuan Usahawan Groom Big Kelantan yang turut memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis pada pagi ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti pembangunan keusahawanan. Kehadiran tuan/puan pada hari ini membuktikan tanda sokongan yang tinggi untuk sama-sama membantu dan menyumbang dalam aktiviti-aktiviti pembangunan usahawan khususnya di negeri Kelantan ini. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, MITI sentiasa berusaha dan komited untuk membangunkan para usahawan . Pendekatan bersepadu bagi program pembangunan usahawan Bumiputera yang sedang dilaksanakan oleh MITI adalah melalui Program Peningkatan Kualiti Produk dan Perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai Program Groom Big. Program Groom Big dengan kolaborasi bersama SIRIM Berhad sebagai agensi teknikal adalah salah satu inisiatif yang membuktikan kesungguhan Kerajaan untuk menggalak, memupuk dan membangunkan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Ia bertujuan supaya usahawan PKS mempunyai wawasan tinggi untuk menjadi sebuah entiti yang besar, berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan di peringkat domestik dan global. Komitmen ini adalah seiring dengan peranan MITI yang bukan hanya terlibat dalam hal-hal perdagangan dan perindustrian sahaja, malah turut berperanan dalam menggerakkan pembangunan usahawan khususnya dalam melahirkan usahawan Bumiputera yang berkualiti, berdaya maju dan berdaya saing dalam semua sektor. Program Groom Big yang mula dilaksanakan sejak tahun 2005 telah memberi impak dan manfaat yang besar kepada usahawan terutamanya usahawan Bumiputera yang kebanyakkannya bermula dari peringkat mikro dan telah mempertingkatkan mutu dan kualiti produk seterusnya memasarkan produk ke pasaran yang lebih luas sehingga ada yang telah berjaya menembusi pasaran luar negara. Sepanjang pelaksanaan Program Groom Big, sebanyak 1,379 buah syarikat Bumiputera telah dibangunkan dan berjaya mengeluarkan 2,695 produk keluaran Bumiputera. Mereka terdiri daripada usahawan dalam lima sektor iaitu makanan dan minuman, seramik, kaca, kosmetik, herba dan perabot. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 78 usahawan Groom Big adalah dari negeri Kelantan dan majoritinya terlibat dalam sektor makanan dan minuman. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua para usahawan Groom Big Kelantan kerana telah berjaya menubuhkan Persatuan Usahawan Groom Big Kelantan (KELBIG). Saya juga difahamkan pihak persatuan pada masa ini sedang mendapatkan kelulusan untuk beroperasi di bawah satu koperasi. Penubuhan koperasi ini merupakan langkah ke hadapan di bawah Program Groom Big dalam usaha untuk mengatasi isu berkaitan kekangan kapasiti pengeluaran dan pemasaran. Dengan adanya persatuan dan koperasi ini, bantuan daripada Kerajaan khususnya melalui SIRIM Berhad dan Jabatan Pembangunan Koperasi akan lebih mudah untuk disalurkan. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Pada tahun 2010, Program Groom Big telah diperkemaskan lagi dengan mengintegrasikan aspek promosi dan pemasaran di dalam program tersebut bagi membantu usahawan memperkenalkan produk masing-masing. Untuk tujuan ini, beberapa siri showcase khusus untuk mempromosikan produk usahawan groom big telah dilaksanakan di beberapa buah negeri iaitu di Kelantan, Kedah, Sabah, Perak, Johor dan peringkat nasional di Putrajaya. Objektif penganjuran showcase tersebut adalah untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan usahawan kepada orang ramai dan juga untuk memperluaskan jaringan perniagaan usahawan-usahawan yang pesertanya terdiri daripada usahawan PKS. Program promosi tersebut turut memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai contoh usahawan yang telah berjaya hasil daripada bimbingan dan bantuan Kerajaan melalui Program Groom Big. Secara keseluruhan, seramai 420 usahawan telah terlibat dalam ekspo usahawan di peringkat zon, manakala 240 usahawan terlibat di peringkat nasional. Sebanyak 155 sesi padanan perniagaan telah dicatatkan dengan jualan terkumpul berjumlah RM7.7 juta. Jumlah ini adalah jualan yang dicatatkan semasa showcase dijalankan. Saya percaya banyak lagi jualan susulan kesan daripada promosi yang dilaksanakan. Ini menunjukkan bahawa produk usahawan mempunyai potensi untuk dipasarkan dengan lebih meluas. Ada usahawan yang menyertai program promosi ini memaklumkan bahawa pada masa ini pemasaran bukan lagi satu isu tetapi kesukaran untuk memenuhi permintaan disebabkan oleh kekangan kapasiti. Di sinilah pentingnya penubuhan koperasi serta pusat pengumpulan dan pemasaran produk. Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian, Bagi memastikan negeri Kelantan tidak ketinggalan dalam Program Transformasi Ekonomi Negara, dua (2) sesi Bengkel Kelantan dan Transformasi Ekonomi Negara telah diadakan iaitu sesi pertama pada 6 Mac 2011 dan sesi kedua pada 24 April 2011. Antara matlamat bengkel tersebut diadakan adalah untuk: memberi pemahaman mengenai Government Transformation Programme (GTP) dan Economic Transformation Programme (ETP) kepada peserta program; mengenal pasti peluang yang terdapat di dalam Entry Point Projects (EPPs) yang telah diumumkan bagi peserta dan industri di Kelantan; membina platform rangkaian di antara pengusaha dan agensi yang terbabit bagi aktiviti utama ekonomi Kelantan; dan merancang dan membincangkan kaedah perlaksanaan dan mewujudkan jalinan kerjasama antara sektor swasta dari segi dana dan pelaburan, manakala agensi Kerajaan melalui bantuan polisi, perundingan dan teknikal. Bengkel ini melibatkan penyertaan seramai 154 orang peserta di mana 80% daripadanya mewakili pihak swasta, manakala selebihnya adalah terdiri daripada wakil-wakil agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Bengkel yang berkonsepkan private sector driven ini dipecahkan kepada lima sektor utama yang telah dikenal pasti dapat memberi impak yang tinggi kepada ekonomi negeri Kelantan termasuk sektor pertanian, pendidikan, perkhidmatan perniagaan, pelancongan dan pembuatan khususnya pemprosesan makanan. Semasa bengkel tersebut, saya berpeluang mendengar cadangan-cadangan dan maklum balas daripada wakil-wakil yang hadir termasuk cadangan 18 inisiatif telah dihasilkan daripada sektor-sektor terbabit. Terdapat beberapa initiatif yang mampu menjana pertumbuhan ekonomi Kelantan kepada 6.9% berterusan sehingga 2020 bermula 2012. Spill over effect dijangkakan dengan pelaburan swasta sebanyak RM4 bilion bermula 2011 hingga 2017 adalah dengan pengwujudan peluang pekerjaan baru di Kelantan seramai 46,000 menjelang 2020. Di antara initiatif dan projek ikonik bagi negeri Kelantan yang dikenal pasti melalui bengkel ini adalah seperti Pelabuhan Tok Bali, Solar Farm dan penambahan rumah burung walit. Inisiatif Pelabuhan Tok Bali akan membangunkan kawasan seluas kira-kira 1,200 ekar di Tok Bali. Inisiatif solar farm pula terbahagi kepada dua projek iaitu solar farm (5,000 kiloWatt) dan pusat latihan modal insan bagi industri solar dengan pelaburan swasta kira-kira RM70 juta. Manakala, bagi projek burung walit, disasarkan sebanyak 1,000 buah rumah burung walit pelbagai saiz akan dibina disertai pusat pemprosesan sebagai aktiviti nilai tambah kepada pengusaha industri burung walit Kelantan. Selain daripada itu, kerjasama bersama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) bagi mengubahsuai 118 buah rumah awet tembakau terbiar sebagai rumah baru bagi burung walit dijangkakan akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini. Dijangkakan sebanyak 20 ribu tan sarang burung setahun dapat dihasilkan bermula suku ketiga 2012. Di bawah sektor pemprosesan makanan pula, salah satu inisiatif yang telah dicadangkan semasa bengkel tersebut adalah untuk mewujudkan Pusat Pengumpulan Produk Sejuk Beku. Inisiatif ini dicadangkan bagi mengatasi kekangan kapasiti pengeluaran dikalangan usahawan tempatan khususnya usahawan yang telah menyertai Program Groom Big yang dilaksanakan oleh MITI dengan kerjasama SIRIM Berhad. Sebagai langkah segera, sebuah Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran bagi produk yang dihasilkan oleh usahawan Groom Big akan beroperasi di ruang niaga Terminal Agribisnes Negara (TEMAN) ini. Pusat ini akan dikendalikan oleh syarikat Dome Technologies Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Usahawan Groom Big Kelantan (KELBIG). Selain daripada memulakan inisiatif awal untuk mendapatkan ruang niaga daripada FAMA, Dome Technologies Sdn. Bhd. juga telah mendapatkan hak pengedaran bagi produk-produk keluaran Sime Darby. Adalah diharapkan usaha Dome Technologies Sdn. Bhd. akan menjadi contoh private sector initiative yang mana Kerajaan hanya bertindak sebagai pemudah cara. Saya percaya usaha ini akan memudahkan akses pasaran produk usahawan. Adalah diharapkan dengan adanya pusat pengumpulan dan pemasaran yang diuruskan secara profesional, para usahawan akan dapat menumpukan kepada usaha-usaha untuk meningkatkan lagi kualiti produk dan kapasiti pengeluaran masing-masing. Ini pastinya akan dapat meningkatkan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Bagi memastikan sustainability pusat ini, ia haruslah diuruskan berasaskan pertimbangan perniagaan. Oleh itu, adalah penting para usahawan memastikan produk keluaran masing-masing dapat mematuhi piawaian tertentu mengikut kehendak pasaran. Adalah diharapkan lebih banyak lagi produk usahawan mampu mematuhi keperluan pensijilan seperti Good Manufacturing Practice (GMP), Hazard Analysis Critical Control Point (HACCP) dan pensijilan halal. Dengan adanya pensijilan seperti ini, peluang untuk mengeksport produk masing-masing akan terbuka luas. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Baru-baru ini TERAJU telah melancarkan satu program PKS Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS). Program TERAS ini merupakan satu elemen di bawah inisiatif pembaharuan strategik (SRI) Model Baru Ekonomi yang bermatlamat untuk membangunkan generasi usahawan Bumiputera berkelas dunia. Menerusi program ini Kerajaan mahu mengubah syarikat Bumiputera menjadi kumpulan syarikat yang besar serta berdaya maju dan dapat menyumbang kepada KDNK. Adalah diharapkan akan ada usahawan Groom Big negeri Kelantan ini yang terpilih menyertai program ini. Bagi pihak MITI, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga FAMA di atas kerjasama yang diberikan dalam menyediakan tapak ruang niaga kepada usahawan Groom Big untuk membuka Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Groom Big. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas di atas inisiatif semua agensi yang terlibat. Saya mendoakan agar kerjasama ini menempa kejayaan cemerlang dan dapat memperlihatkan usaha berterusan Kerajaan dalam membantu usahawan Bumiputera. Harapan saya, semoga dengan penubuhan Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Groom Big ini memberi manfaat kepada usahawan khususnya usahawan Groom Big di negeri Kelantan ini, serta dapat dijadikan sebagai projek perintis dan dapat dikembangkan lagi pembukaan pusat setempat di daerah ataupun negeri yang lain pula. Terima kasih juga saya ucapkan kepada pihak media cetak dan media eletronik yang senantiasa memberi sokongan kepada program-program yang dianjurkan oleh pihak MITI. Akhir kata saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, dengan sukacitanya merasmikan Pusat Setempat Pengumpulan dan Pemasaran Produk Usahawan Groom Big di negeri Kelantan. Sekian, terima kasih.
Timbalan Ketua Setiausaha (Industri)
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri;
Ketua Pengarah
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA);
Naib Presiden
Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi SIRIM Berhad
Wakil-wakil Media Cetak dan Media Elektronik;


























MITI Malaysia
on Facebook