Home

Pameran 50 Tahun Transformasi Perdagangan Dan Perindustrian Malaysia Sempena 50 Tahun Kemerdekaan 50 Tahun Transformasi Perdagangan Dan Industri Malaysia, Pusat Pameran Dan Konvensyen MATRADE (MECC), Kuala Lumpur (Jumaat, 7 Disember 2007)

Pameran 50 Tahun Transformasi Perdagangan Dan Perindustrian Malaysia Sempena 50 Tahun Kemerdekaan 50 Tahun Transformasi Perdagangan Dan Industri Malaysia, Pusat Pameran Dan Konvensyen MATRADE (MECC), Kuala Lumpur (Jumaat, 7 Disember 2007)



Selaras dengan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-50, MITI dan agensi-agensinya menganjurkan pameran ini, bagi menggambarkan “ 50 Tahun Transformasi Perdagangan dan Industri Malaysia ”. Pameran ini memaparkan perubahan dan sumbangan perdagangan dan perindustrian kepada pembangunan ekonomi negara. Ianya juga mempamerkan kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara pengeksport dan pusat perniagaan dan pelaburan.

Pameran ini juga memaparkan barangan dan sektor industri yang telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia sejak lima dekad yang lalu. Selain daripada itu, pameran ini juga bertujuan untuk memupuk kesedaran dikalangan rakyat, terutama generasi muda, mengenai pembangunan dan transformasi ekonomi dan industri Malaysia sejak kemerdekaan.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Ekonomi Malaysia telah mengalami transformasi daripada sebuah negara berasakan komoditi utama kepada yang berasakan perindustrian yang turut disokong oleh sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan. Sumbangan sektor perkilangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah bertambah daripada 13.4 peratus pada tahun 1970, kepada 31.1 peratus pada tahun 2006. Jumlah pelaburan bagi sektor perkilangan juga turut bertambah daripada RM2.1 bilion pada tahun 1980 kepada RM46 bilion pada tahun 2006.

Struktur dan komposisi sektor perkilangan turut mengalami perubahan. Sebagai contoh, peratusan sub-sektor produk elektrik dan elektronik telah meningkat daripada 11.8 peratus pada tahun 1980 kepada 21.7 peratus pada tahun 2006. Sub-sektor kimia dan produk kimia pula telah mencatat peningkatan daripada 10.2 peratus pada tahun 1980 kepada 19.8 peratus pada tahun 2006.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh yang sama, peratusan sub-sektor pemprosesan makanan, menurun daripada 16.7 peratus kepada 3.5 peratus, dan produk logam asas juga turut menurun daripada 13.9 peratus kepada 5.9 peratus.

Perdagangan luar turut menjadi semakin penting, di mana jumlah perdagangan bagi tahun 2006 telah melebihi RM1 trilion. Sumbangan jumlah perdagangan luar kepada KDNK melebihi dua kali ganda dan hampir mencecah 200 peratus pada tahun 2006, berbanding 77.5 peratus pada tahun 1957. Bagi tempoh ini, sumbangan eksport kepada KDNK turut meningkat dengan ketara kepada 103 peratus pada tahun 2006 berbanding 42.4 peratus pada tahun 1957, manakala sumbangan import pula adalah sebanyak 79.5 peratus pada tahun 2006 berbanding 35.1 peratus pada tahun 1957.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Pembangunan sektor perkilangan ini adalah hasil pelaksanaan dasar dan strategi, yang berpandukan kepada beberapa Pelan Induk Perindustrian. 

Pelan Induk Perindustrian Pertama, dari tahun 1986 sehingga 1995, telah menyediakan asas pertumbuhan sektor perkilangan, dengan menggariskan perubahan struktur ekonomi daripada aktiviti berasaskan pertanian dan barangan asas kepada sebuah ekonomi yang memfokuskan kepada aktiviti perkilangan.

Pelan Induk Perindustrian Kedua, dari tahun 1996 sehingga 2005, telah mempertingkatkan lagi momentum pertumbuhan sektor perkilangan, melalui pembangunan sepanjang rantaian nilai dan pembangunan kelompok industri. Pelan ini juga telah menekankan pembangunan perkhidmatan berkaitan perkilangan.

Pelan Induk Perindustrian Ketiga, yang merangkumi tahun 2006 sehingga 2020, menggariskan strategi serta dasar ke arah merealisasikan Wawasan 2020. Malaysia berhasrat untuk memantapkan daya saing global negara melalui peningkatan inovasi dan transformasi sektor perkilangan dan perkhidmatan. Penekanan diberikan kepada :

  • kemajuan teknologi;
  • pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif; dan
  • integrasi ke dalam pasaran serantau dan global.

 Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Malaysia berjaya menarik pelaburan dalam semua sektor utama ekonomi negara secara berterusan, terutamanya sektor perkilangan. Ini berdasarkan beberapa faktor termasuk:

  • kestabilan politik;
  • pembangunan infrastruktur yang baik;
  • dasar-dasar yang mengutamakan perniagaan atau pro-business;dan
  • tenaga kerja mahir sedia ada.

Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) telah menunjukkan peningkatan yang stabil, daripada RM0.73 bilion pada tahun 1980, dan RM1 bilion pada tahun 1985, kepada RM17.6 bilion pada tahun 1990. Pada tahun 2006, aliran masuk FDI terus meningkat kepada RM20.2 bilion, peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding RM17.9 bilion pada tahun 2005.

Jumlah pelaburan dalam sektor perkilangan juga telah mencatat peningkatan daripada RM316 juta pada tahun 1972, dan RM1.4 bilion pada tahun 1975, kepada
RM46 bilion pada tahun 2006. Jumlah pelaburan bagi tahun 2006 telah melebihi sasaran tahunan Pelan Induk Perindustrian Ketiga sebanyak RM27.5 bilion.
Sementara itu, jumlah pelaburan bagi bulan Januari hingga September 2007 juga telah mengatasi sasaran Pelan Induk Perindustrian Ketiga, dengan pelaburan sebanyak RM39.5 bilion bagi 702 projek yang telah diluluskan. Projek-projek ini termasuk :

  • elektrik dan elektronik, 29.1 peratus;
  • produk petroleum termasuk petrokimia, 25.8 peratus;
  • kimia dan produk kimia, 9.8 peratus;
  • produk logam asas, 9.6 peratus;dan
  • kertas, 6.6 peratus.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Sektor perkhidmatan telah dikenal pasti sebagai sektor pertumbuhan baru dalam usaha Malaysia untuk menuju ke hadapan dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi negara. Dua majlis kebangsaan, iaitu Majlis Pembangunan Perkhidmatan Malaysia (MSDC) dan Majlis Logistik Malaysia (MLC) telah ditubuhkan untuk menyelaras penggalakkan dan pembangunan sektor perkhidmatan yang telah disasarkan. Majlis-majlis ini akan mengenal pasti dan menyarankan dasar dan inisiatif, program serta pelan tindakan bagi mempertingkatkan lagi pertumbuhan sektor perkhidmatan.

Syarikat-syarikat multinasional telah memilih Malaysia, bukan sahaja sebagai lokasi operasi serantau, malah telah mengembangkan operasi mereka kepada perkhidmatan perkongsian atau shared services seperti back-end business functions. Ini termasuk :

  • perkhidmatan perakaunan;
  • pusat panggilan;
  • perkhidmatan sokongan pelanggan;dan
  • pusat sokongan teknikal.

Pada tahun 2006, A.T. Kearney, sekali lagi telah menempatkan Malaysia di tangga ketiga, di dalam Indeks Lokasi Perkhidmatan Global. Malaysia mengatasi :

  • Thailand – tangga keempat;
  • Indonesia – tangga keenam;
  • Singapura – tangga kesebelas; dan
  • Vietnam – tangga ketujuh belas. 

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Penyumbangan enterpris kecil dan sederhana (EKS) kepada ekonomi negara adalah ketara. Pada dekad yang lepas, jumlah pengeluaran EKS dalam sektor perkilangan telah meningkat daripada 22.1 peratus pada tahun 1996 kepada 29.6 peratus pada tahun 2005. Sumbangan EKS kepada pengeluaran nilai ditambah (value added) juga turut meningkat daripada 19.5 peratus pada tahun 1996 kepada 25.9 peratus pada tahun 2005.

Berdasarkan kepada kepentingan serta potensi pertumbuhan EKS, Kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (SMIDEC) telah menyediakan skim bantuan kewangan bagi mempromosikan barangan serta perkhidmatan EKS di dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Dari tahun 1990 hingga Oktober 2007, pelbagai geran bersamaan (matching grants) dan skim pinjaman mudah (soft loan schemes) berjumlah RM965.2 juta telah diluluskan. Program bina upaya juga telah disediakan bagi meningkatkan keupayaan dan kebolehan EKS untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Peranan SMIDEC akan diperluaskan dengan menjadikannya sebagai Agensi Penyelaras Pusat EKS (SME CCA), di bawah MITI. SME CCA akan berfungsi sebagai agensi utama yang memberi fokus dan menerajui pembangunan EKS dalam semua sektor.

Sebagai kesinambungan kepada usaha Kerajaan dalam menerajui pembangunan EKS, pengusaha EKS juga harus menekankan :

  • peningkatan kompetensi;
  • integrasi ke bekalan rantaian serantau dan global;
  • merebut peluang pelaburan luar negara;dan
  • transformasi dan pengstrukturan semula perniagaan selaras dengan perubahan persekitaran global.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Di peringkat antarabangsa pula, usaha akan diteruskan untuk mempertingkat dan memudahkan perdagangan dua hala serta aliran masuk pelaburan melalui :

  • perjanjian dua hala dan serantau;
  • Jawatankuasa Perdagangan Bersama;dan
  • misi-misi mempromosi perdagangan dan pelaburan.

Sejak kemerdekaan, Malaysia sering mengadakan misi-misi perdagangan dan pelaburan ke negara-negara rakan dagangan sedia ada serta ke pasaran baru.

Misi-misi ini bertujuan untuk meningkatkan syer Malaysia di pasaran antarabangsa, dan meneroka peluang pasaran baru. Ianya juga dapat menarik FDI ke sektor-sektor yang telah disasarkan, termasuk ke wilayah-wilayah ekonomi yang baru dilancarkan dalam negara.

Bagi tahun 2008, sejumlah sembilan misi perdagangan dan pelaburan telah dirancang, termasuk ke Asia Barat, Amerika Syarikat, Eropah, China, Taiwan dan ASEAN. Ahli-ahli perniagaan digalakkan menyertai misi-misi ini untuk:

  • menubuhkan jaringan dan rangkaian perniagaan;
  • mempromosikan produk dan perkhidmatan;
  • memperkenal dan memasarkan jenama; dan
  • membincangkan isu-isu perniagaan dengan rakan niaga.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Sehingga kini, Malaysia telah menandatangani perjanjian perdagangan dengan 62 buah ekonomi dan telah menubuhkan 12 Jawatankuasa Perdagangan Bersama dengan rakan dagang. Usaha-usaha ini telah mempertingkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala di antara Malaysia dan negara-negara rakan. Ianya juga telah menjadi forum yang efektif bagi membincang dan menyelesaikan isu-isu perdagangan dan pelaburan di antara komuniti perniagaan Malaysia dan rakan perniagaan mereka. Inisiatif ini turut memberi peluang kepada pihak Kerajaan dan swasta bagi mengenal pasti program kerjasama, yang boleh menguntungkan peniaga tempatan.

Malaysia akan meningkatkan bilangan perjanjian perdagangan dua hala serta Jawatankuasa Perdagangan Bersama, di mana perbincangan sedang dijalankan dengan beberapa buah negara, termasuk dari Eropah, Asia Barat dan Afrika.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

ASEAN terus diberi keutamaan dalam agenda perdagangan negara. Beberapa inisiatif telah dilaksanakan oleh ASEAN semenjak tahun 1990, ke arah integrasi pasaran serantau. Visi ekonomi rantau ini telah dibentuk oleh beberapa inisiatif utama termasuk :

  • Wawasan ASEAN 2020 pada 1997;
  • Pelan Tindakan Hanoi pada 1998;dan
  • Program Tindakan Vientiane pada 2004.

Pada 20 November 2007, Ketua-ketua Negara ASEAN telah menandatangani Rangka Kerja Komuniti Ekonomi ASEAN (ASEAN Economic Community Blueprint) dan Piagam ASEAN (ASEAN Charter) bagi mencapai integrasi ekonomi yang lebih komprehensif dalam usaha penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN. Piagam ASEAN juga memperuntukkan aspek perundangan serta persekitaran berdasarkan peraturan.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan, 

Selaras dengan pembangunan sektor perkilangan, penekanan perlu ditumpukan kepada pengeluaran barangan dan aktiviti nilai ditambah yang lebih tinggi. Di samping itu, penekanan juga perlu diberikan kepada usaha integrasi ke pasaran serantau dan global.

Kerajaan telah memperkenalkan geran penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menggalakkan pelaburan R&D dalam sektor perkilangan. Setakat ini, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), MIDA telah meluluskan :

  • RM177.2 juta geran untuk 21 projek R&D bagi sektor perkilangan; dan
  • RM100.9 juta geran latihan.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Kerajaan kini menggalakkan automasi dalam proses perkilangan untuk meningkatkan kecekapan, kualiti, produktiviti serta daya saing syarikat-syarikat tempatan secara keseluruhan. Dengan ini, pergantungan terhadap perkerja kurang mahir, terutamanya pekerja asing dapat dikurangkan.

Pelaksanaan automasi dan perkilangan berkomputer telah menganjak sektor perkilangan yang berintensif buruh kepada yang berintensif modal. Nisbah Pelaburan Modal Setiap Pekerja (Capital Investment Per Employee - CIPE) sektor perkilangan telah meningkat daripada RM165,925 pada tahun 1990 kepada RM517,054 pada tahun 2006. Di antara Januari dan September 2007, nisbah CIPE terus meningkat ke tahap RM617,975.

Kerajaan telah melancarkan Skim Pinjaman Mudah bagi Automasi dan Permodenan (Soft Loan Scheme for Automation and Modernisation) dengan peruntukan sebanyak RM300 juta kepada syarikat perkilangan bagi sektor-sektor tertentu iaitu :

  • elektrik dan elektronik;
  • produk kayu dan perabot;
  • plastik dan produk kimia;
  • besi dan keluli;
  • tekstil dan pakaian;dan
  • automotif.

Walau bagaimanapun, sehingga 30 September 2007, hanya 10.4 peratus daripada jumlah peruntukan, iaitu sebanyak RM31.3 juta di bawah skim ini telah diguna pakai. Syarikat perkilangan digalak menggunakan skim ini bagi meningkatkan automasi dalam proses pengeluaran untuk mengaplikasikan teknologi penjimatan tenaga buruh secara berkesan. Di samping itu, usaha menaik taraf jentera dan peralatan juga dapat dilaksanakan.

Puan-Puan dan Tuan-Tuan,

Pelancaran pameran pada hari ini yang bertemakan “ 50 Tahun Transformasi Perdagangan dan Industri Malaysia ” bukan sahaja memberi peluang untuk mengimbas kembali perkembangan ekonomi negara, malah mewujudkan perspektif hala tuju Malaysia untuk menjadi sebuah negara perdagangan yang berdaya saing di peringkat serantau dan global, dengan iklim pelaburan yang menarik.

Saya pasti pameran ini amat berfaedah serta dapat menambah pengetahuan Puan-Puan dan Tuan-Tuan sekalian. Saya berharap ianya juga mampu memotivasikan kita bagi mempertingkatkan usaha pembangunan negara ke arah meningkatkan daya saing global, dan merealisasikan agenda nasional untuk menjadi sebuah negara maju menjelang 2020.

Terima kasih.





Blog @ Miti
MITI AGENCIES