Pelaburan Berkualiti Bagi Sektor Pemerosesan Makanan
23 Apr 2012 03:49 PM
KUALA LUMPUR - Industri pemerosesan makanan menyumbang sebanyak 10
peratus kepada keluaran perkilangan negara dan sektor ini mengandungi kesemua
aktiviti bernilai ditambah yang menggunakan hasil pertanian dan hortikultur. Sepanjang tahun 2011, Lembaga Pembangunan
Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan sebanyak 47 projek dengan pelaburan
modal berjumlah RM2.3 bilion bagi sektor pemerosesan makanan. Keluaran-keluaran
yang telah diluluskan merangkumi produk minuman, koko, produk coklat dan
konfeksionari coklat, pemerosesan daging dan makanan laut, produk berasaskan
tepung, kopi dan teh, bahan perisa dan lain-lain produk makanan. Secara keseluruhannya pelaburan di dalam
sektor pemerosesan makanan di Malaysia lebih dipelopori oleh syarikat-syarikat
tempatan, namun begitu usaha-usaha mempromosi pelaburan yang dijalankan oleh
MIDA telah berjaya menarik minat lebih banyak pelaburan asing di dalam sektor
ini. Ianya dapat dilihat melalui jumlah pelaburan modal yang telah diluluskan
dalam tahun 2011. Kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif
bagi menggalakkan industri pengeluaran makanan di dalam negara termasuk
insentif cukai utama iaitu Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan. Produk-produk atau aktiviti-aktiviti yang
layak dipertimbangkan Taraf Perintis atau Elaun Cukai Pelaburan adalah termasuk
pengeluaran coklat dan konfeksionari coklat, produk ternakan, bahan buangan
pertanian atau produk sampingan pertanian, makanan akuakultur, dan ekstrak
tumbuhan untuk industri farmaseutikal, minyak wangi, kosmetik atau makanan. Bagi insentif berkaitan tarif, syarikat boleh
mengemukakan permohonan kepada MIDA untuk mendapatkan pengecualian duti import
dan cukai jualan bagi bahan mentah, mesin dan peralatan yang tidak dikeluarkan
di dalam negara dan digunakan secara langsung dalam proses pengeluaran. Syarikat-syarikat pemerosesan makanan di
Malaysia juga digalakkan meneroka peluang yang sangat meluas dalam industri
halal. Dianggarkan bahawa nilai potensi industri
makanan halal adalah di antara US$600 bilion and US$2.1 trilion. Produk makanan halal tempatan berupaya
menembusi pasaran halal dunia kerana sijil halal Malaysia diiktiraf di
peringkat global. Bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia
sebagai peneraju hab halal terkemuka dunia, kerajaan telah menyediakan
insentif-insentif khas bagi produk halal termasuk makanan halal. Salah satu daripadanya adalah insentif khas
bagi pengeluaran makanan halal yang telah diperkenalkan semenjak tahun 2005. Syarikat-syarikat yang layak akan diberikan
insentif Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus bagi perbelanjaan modal
yang layak untuk tempoh 5 tahun. Permohonan bagi insentif khas ini hendaklah
dikemukakan kepada MIDA. Syarikat-syarikat yang terlibat dalam
aktiviti pemerosesan makanan terutama syarikat-syarikat tempatan wajar
mengambil kesempatan terhadap kesemua kemudahan dan insentif cukai yang disediakan
oleh Kerajaan bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan untuk lebih
berdaya saing di pasaran global. Pada bulan Julai 2011, Kerajaan telah
mengenalpasti industri makanan sebagai salah satu lagi Bidang Keberhasilan
Utama Nasional (NKRA) menjadikan bidang NKRA kini tujuh kesemuanya. Bidang baru
NKRA ini merangkumi makanan dan lain-lain barangan keperluan utama termasuk
rantaian bekalan. Selaras dengan ini, MIDA akan terus
meningkatkan usaha untuk mengenal pasti serta mempromosi pelaburan yang
berkualiti dalam sektor pemerosesan makanan di dalam dan luar negara.


























MITI Malaysia
on Facebook