BERTULIS - Y.B. Tuan Salleh Bin Kalbi (Silam)
19 Jan 2009 09:47 AM


PEMBERITAHU PERTANYAAN
DEWAN RAKYAT MALAYSIA

PERTANYAAN : BERTULIS
DARIPADA: Y.B. TUAN SALLEH BIN KALBI
KAWASAN: SILAM
SOALAN NO.: 356

SOALAN

Y.B. TUAN SALLEH KALBI (SILAM) minta MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI menyatakan dalam usaha kita untuk meringankan beban rakyat, bagaimanakah impaknya ke atas Proton secara keseluruhannya, memandangkan pihak Kementerian akan mengkaji semula NAP bagi meliberalisasikan lagi industri automotif tempatan.

JAWAPAN

Tuan Yang Di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan sedang dalam proses membuat kajian semula Dasar Automotif Nasional bagi tujuan penambahbaikan terhadap pelaksanaan dasar sediada. Kajian semula ini akan mengambil kira perkembangan semasa yang berlaku di peringkat tempatan dan global bagi memastikan industri automotif negara terus mampu mengekal dan meningkatkan daya saingnya. Selain itu, kajian semula ini juga akan mengambil kira pandangan dan maklumbalas dari semua pihak yang terlibat dalam industri automotif termasuklah pihak industri dan jabatan/agensi kerajaan yang berkaitan.

Tuan Yang Di Pertua,

Liberalisasi ke atas industri automotif dilakukan secara progresif menerusi perjanjian-perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang sedang dirunding atau yang telah ditandatangani Kerajaan. Melalui perjanjian ini, duti import kenderaan akan dikurang dan dihapuskan berperingkat-peringkat.

Pada masa ini, diperingkat serantau Malaysia telah melaksanakan perjanjian perdagangan bebas di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Korea (AKFTA), Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA), manakala di peringkat duahala dengan negara Jepun di bawah Malaysia-Japan Economic Partnership Aggrement (MJEPA) dan Pakistan melalui Malaysia-Pakistan Closer Economic Partnership Agreement (MPCEPA).

Secara keseluruhannya, liberalisasi industri automotif yang telah dilaksanakan sehingga hari ini dan kenaikan harga bahan bakar minyak tidak menjejaskan prestasi Proton . Kenaikkan harga bahan bakar minyak telah meningkatkan permintaan terhadap segmen kereta yang berenjin kapasiti kecil dan menjimatkan minyak . Ini telah meningkatkan permintaan dan jualan kenderaan Proton yang sememangnya memberi tumpuan kepada segmen tersebut.

Selain itu, pengenalan model baru yang lebih baik dan berkualiti seperti Saga dan Pesona telah menarik minat pengguna terhadap kenderaan Proton.

Peningkatan ini dapat dilihat berdasarkan prestasi semasa jualan Proton. Bagi tempoh Januari hingga Jun 2008  Proton telah berjaya menjual sebanyak 72,868 unit kenderaan penumpang berbanding 46,763 unit bagi tempoh yang sama pada tahun 2007. Jumlah jualan ini merupakan 28.6 peratus daripada jumlah jualan pasaran kereta penumpang tempatan berbanding 23.3 peratus bagi tempoh yang sama tahun 2007. Proton telah berjaya mengekalkan sebanyak 26.5 peratus pasaran kereta penumpang pada tahun 2007 dan 24.8 peratus pada tahun 2006.

 

Disediakan oleh : Ahmad Azrai Abd. Mubin
                       Seksyen Dasar Sektoral 1

Disemak oleh : N.Vasudevan
                    PDS I

Diluluskan oleh : Kamaruddin Ismail
                      PKDS