Malaysia, GCC Tandatangani Perjanjian Kerjasama Ekonomi
07 Feb 2011 10:34 AM
ABU DHABI 30 Jan. - Malaysia dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dianggotai enam negara hari ini menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Bagi Kerjasama Ekonomi, Komersial, Pelaburan dan Teknikal dalam satu majlis di sini. Majlis menandatangani perjanjian tersebut yang mencerminkan peningkatan hubungan ekonomi lebih erat antara Malaysia dan anggota GCC yang terdiri daripada Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Qatar, Kuwait, Oman dan Bahrain disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Putera Raja Abu Dhabi, Sheikh Mohammed Bin Zayed Al Nahyan. Perjanjian itu juga merupakan permulaan ke arah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua pihak. Pada majlis itu, Malaysia diwakili oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed manakala GCC diwakili oleh Menteri Ekonomi UAE Sultan Saeed Al-Mansoori dan Ketua Setiausaha GCC, Abdul Rahman Hamad Al-Attiyah. Menurut Mustapa, perjanjian rangka kerja itu meliputi beberapa bahagian bertujuan meningkatkan kerjasama ekonomi, komersial, pelaburan dan teknikal antara Malaysia dengan GCC bagi faedah kedua-dua pihak. ''Perjanjian ini akan menjadi asas ke arah jalinan ekonomi yang lebih mapan antara GCC dan Malaysia. Ini termasuklah dalam meningkatkan perdagangan melalui peningkatan pertukaran informasi berhubung perdagangan asing. ''Ia juga menggalakkan komunikasi perniagaan terutamanya di antara institusi dan organisasi perniagaan serta pelaburan GCC dan Malaysia serta memudahkan pemindahan latihan dan teknologi," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan berhubung perjanjian itu yang ditandatangani bersempena forum Invest Malaysia 2011 yang dirasmikan oleh Najib di Hotel Emirates Palace, di sini. Mustapa berkata, kajian kemungkinan yang dijalankan oleh UKM Pakarunding, Malaysia mencadangkan bahawa perdagangan antara Malaysia dengan GCC dijangka meningkat sebanyak 14 peratus apabila Perjanjian Perdagangan Bebas dua hala bermula. ''Antara produk yang merupakan eksport utama Malaysia adalah minyak sayuran, produk kayu, mesin dan peralatan produk kimia, getah dan plastik serta peralatan elektronik," katanya. Beliau berkata, jumlah perdagangan Malaysia dengan GCC pada tahun 2008 meningkat sebanyak 39.8 peratus daripada AS$8.8 bilion (RM28.4 bilion) pada tahun 2007 kepada AS$12.3 bilion (RM39.7 bilion) pada tahun 2008. Bagaimanapun kata Mustapa, perdagangan dua hala di antara Malaysia dan GCC pada tahun 2009 berkurangan sebanyak 31.7 peratus dengan jumlah AS$8.4 bilion (RM27.2 bilion), kesan daripada kemerosotan ekonomi. ''Bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu, jumlah dagangan Malaysia dengan GCC menunjukkan peningkatan kepada 25.6 peratus iaitu AS$9.8 bilion (RM30.2 bilion) berbanding tempoh yang sama pada tahun 2009 iaitu AS$7.8 bilion (RM25.2 bilion), dengan eksport AS$5 bilion (RM15.4 bilion) dan import AS$4.8 bilion (RM14.8 bilion)," katanya. Menurut Mustapa, sehingga Disember 2010, penglibatan syarikat Malaysia di GCC termasuklah dalam pembiayaan Islamik, pembinaan, pelancongan, penjagaan kesihatan, pendidikan, petrokimia serta minyak dan gas. --Utusan Malaysia