Maklumat Program

 

SHOWCASE SATU DAERAH SATU INDUSTRI (SDSI) PERINGKAT NASIONAL

LATAR BELAKANG

Showcase SDSI yang mula diperkenalkan pada tahun 2006 merupakan pameran tahunan terbesar yang menghimpunkan produk/perkhidmatan SDSI yang berkualiti dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Showcase SDSI merupakan salah satu program yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaras dengan peranan Kementerian sebagai Pengerusi Jawatankuasa Promosi, Pemasaran dan Pembangunan Keusahawanan Peringkat Kebangsaan yang diterajui oleh YAB Perdana Menteri. 

Showcase SDSI telah dianjurkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh sejak tahun 2006 dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka. Berikut adalah rekod penganjuran Showcase SDSI dari tahun 2006 - 2015:

BIL. TAHUN TARIKH DIRASMIKAN OLEH
1. 2006 6 - 8 Apr. YAB Timbalan Perdana Menteri
2. 2007 5 - 7 Jul. YAB Timbalan Perdana Menteri
3. 2008 7 - 9 Nov. YAB Ketua Menteri Melaka
4. 2009 11 - 13 Dis. YAB Timbalan Perdana Menteri
5. 2010 10 - 12 Dis. YB Menteri MITI
6. 2011 9 - 11 Dis. YAB Timbalan Menteri MITI
7. 2012 7 - 9 Dis. YB Menteri MITI
8. 2013 29 Nov. - 1 Dis. YB Menteri MITI
9. 2014 4 - 7 Dis. YB Menteri MITI
10. 2015 4 - 6 Dis. YB Menteri MITI


Pada tahun 2015, buat pertama kalinya format penganjuran pameran diubah daripada konsep pavilion kepada kluster industri. Penganjuran berkonsepkan kluster tersebut mendapat pelbagai maklum balas daripada peserta dan orang ramai. Antara maklumbalas yang diterima adalah tumpuan pengunjung hanya kepada kategori-kategori produk tertentu sahaja seperti makanan dan minuman. Susulan daripada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Showcase SDSI Peringkat Nasional Bil. 1 Tahun 2016, telah bersetuju mencadangkan supaya penganjuran SDSI 2016 dianjurkan menggunakan format pavilion yang dilihat lebih meriah dan menarik minat pengunjung.

Pada tahun ini juga, penganjuran Showcase SDSI Peringkat Nasional 2016 akan turut membawakan penglibatan syarikat-syarikat multinasional (MNCs) ke dalam program tersebut. Ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada usahawan-usahawan di bawah bimbingan program SDSI mengenai peluang-peluang pemasaran yang lebih luas melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat MNCs. Ia juga akan menjadi platform kepada usahawan bimbingan program SDSI yang berpotensi untuk dibangunkan melalui kerjasama MNCs khususnya dalam rantaian nilai perniagaan seperti menjadi pembekal produk dan perkhidmatan kepada MNCs oleh usahawan.

 

OBJEKTIF PROGRAM

  1. Menyediakan medium pemasaran produk dan perkhidmatan SDSI yang berkualiti;

  2. Meningkatkan imej produk/perkhidmatan SDSI;

  3. Memberi pendedahan kepada umum bahawa keluaran SDSI adalah berpotensi dan berkualiti; dan

  4. Mewujudkan dan memperluaskan rantaian perniagaan (networking) di antara usahawan SDSI dengan pembeli, pengedar, agen pemasaran, stokis, pengimport, hypermarket dari dalam dan luar negara.

 

MAKLUMAT PROGRAM

Showcase SDSI 2016 kali ke-9 pada tahun ini akan dianjurkan seperti berikut:

Tarikh      : 24 - 27 November 2016 (Khamis - Ahad)
Masa : 10.00 pagi - 10.00 malam
    (terbuka kepada pembeli perdagangan dan orang awam)
Tempat  : Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),
    Ayer Keroh, Melaka
Perasmian : 27 November 2016 (Ahad), disempurnakan oleh YB Menteri MITI
Penganjur : MITI dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka

 

MANFAAT PROGRAM

  1. Manfaat program kepada para usahawan dan bakal usahawan:

    • Pusat sehenti atau one stop center (OSC) untuk mendapatkan maklumat mengenai fasilitasi dan kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan secara terus daripada kementerian/agensi Kerajaan yang turut menyertai pameran ini;

    • Memperoleh ilmu pengetahuan dalam bidang keusahawanan menerusi perkongsian maklumat dan sesi khidmat nasihat yang akan dijalankan; dan

    • Memperluaskan jaringan perniagaan (networking) dan mendapatkan peluang untuk meneroka pasaran yang lebih luas menerusi penyertaan dalam sesi business matching.

  2. Manfaat program kepada orang awam:

    • Mendapatkan pendedahan mengenai inisiatif-inisiatif dan peluang perniagaan yang disediakan oleh Kerajaan kepada masyarakat;

    • Memperkenalkan produk-produk dan perkhidmatan keluaran tempatan yang berkualiti dan standing dengan produk luar negara;

    • Memberi peluang kepada orang awam untuk mendapatkan serta membeli pelbagai produk/ perkhidmatan keluaran industri desa yang berkualiti tinggi dari seluruh Malaysia di bawah satu bumbung; dan

    • Menyertai pelbagai aktiviti ilmiah dan hiburan berbentuk riadah yang dianjurkan.

 

PENGISIAN PROGRAM

Pengisian Showcase sepanjang empat (4) hari adalah terdiri daripada lapan (8) program/aktiviti utama iaitu:

1. PAMERAN DAN JUALAN

Terbahagi kepada empat (4) kategori iaitu:

i. Pavilion Negeri

  • Kelainan atau keunikan pameran Showcase SDSI ini berbanding pameran-pameran lain adalah konsep pameran usahawan mengikut negeri, di mana setiap negeri akan membangunkan ruang pameran dan jualan berkonsepkan pavilion berdasarkan ciri-ciri negeri masing-masing. Contohnya, negeri Melaka mendirikan replika rumah Melaka yang di dalamnya dipamer/ dijual produk keluaran usahawan negeri tersebut;

  • Setiap pavilion negeri menempatkan antara 10 - 30 orang usahawan SDSI terpilih mewakili negeri masing-masing;

  • Penyertaan adalah terhad kepada usahawan SDSI sahaja dan tidak terbuka kepada usahawan lain yang bukan berkonsepkan SDSI. Dalam hal ini, pemilihan usahawan diselaraskan sepenuhnya oleh pihak negeri (Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri / Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri / /Unit Perancang Ekonomi Negeri / MARA Negeri);

  • Produk/perkhidmatan SDSI yang dipamer dan dijual adalah seperti:

    • Makanan & Minuman

    • Kraftangan

    • Produk kesihatan, kecantikan dan penjagaan diri;

    • Tekstil; dan

    • Homestay

ii. Pavilion Kementerian Peneraju Jawatankuasa SDSI Peringkat Kebangsaan

  • Menyampaikan khidmat nasihat mengenai program/ kemudahan yang disediakan oleh Kementerian dan agensi-agensi iaitu:

    • Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (Urus Setia Induk)

    • Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Jawatankuasa Kerja Pemasaran dan Promosi serta Jawatankuasa Kerja Pembangunan Keusahawanan)

    • Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Jawatankuasa Kerja Industri Desa)

    • Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (Jawatankuasa Kerja Homestay dan Kerja Produk Kraf (Kraftangan Malaysia)

    • Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (Jawatankuasa Kerja Produk Makanan)                                             

  • Mempamerkan produk/perkhidmatan SDSI yang dibangunkan di bawah Kementerian dan agensi-agensi.

iii. Booth Industri Sokongan

  • Terdiri daripada agensi/syarikat yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memberi perkhidmatan dan kemudahan kepada usahawan SDSI dalam menyokong serta membantu memperluaskan perniagaan usahawan SDSI seperti:

    • Agensi teknikal

    • GLCs/MNCs

    • Vendor

    • Mesin dan teknologi           

    • Media

    • Pemasaran seperti hypermarket dan trading house

    • Institusi kewangan

    • Penyelidikan dan pembangunan (R&D)

iv. Menu Malaysia

  • Promosi dan jualan makanan popular dari setiap negeri

2. SEMINAR KEUSAHAWANAN

Seminar keusahawanan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pemahaman kepada usahawan SDSI mengenai dunia keusahawanan. Tajuk-tajuk seminar meliputi aspek motivasi, bicara tokoh, perkongsian kejayaan dan pendedahan kepada peluang pemasaran termasuk import dan eksport.

3. BUSINESS MATCHING

Untuk mewujudkan dan memperluaskan rantaian perniagaan di antara usahawan SDSI dengan pembeli, pengedar, agen pemasaran, stokis, pengimport, hypermarket dari dalam dan luar negara. Rantaian perniagaan ini akan dapat memperluaskan pasaran produk/perkhidmatan SDSI di peringkat domestik dan antarabangsa.

4. INTERNATIONAL SOURCING PROGRAMME (INSP)

MITI dengan kerjasama MATRADE telah memperkenalkan INSP (sebelum ini dikenali sebagai Program Meet Buyers Programme) pada Showcase SDSI Tahun 2015. Program ini telah memberi peluang kepada syarikat dan usahawan SDSI untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kepada syarikat daripada luar negara.

5. KLINIK USAHAWAN/POCKET TALK/KHIDMAT NASIHAT

Khidmat nasihat oleh pelbagai Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan serta industri sokongan seperti institusi kewangan, syarikat pemasaran dan lain-lain berkaitan kemudahan, program dan insentif yang disediakan kepada usahawan. Usahawan juga dapat memaklumkan sebarang permasalahan atau pertanyaan secara terus dan mendapatkan maklumbalas segera.

Pada showcase 2016 akan turut membawakan perkongsian daripada badan-badan penggerak keusahawanan di luar negara seperti One Tambun One Product (OTOP) oleh Thailand, One Village One Product (OVOP) oleh Jepun serta negara-negara lain seperti Indonesia dan Filipina.

6. MENU MALAYSIA

Merupakan ’trademark’ kepada Showcase SDSI. Menyajikan pelbagai masakan popular tempatan atau local signature dishes dari 13 negeri di bawah satu bumbung. Nikmati keunikan sajian popular dari seluruh Malaysia seperti nasi dagang dari Terengganu, mi rebus dari Johor, laksa dari Pulau Pinang, mi kolok dari Sarawak dan macam-macam lagi.

7. AKTIVITI TARIKAN PENGUNJUNG

Pelbagai aktiviti menarik terbuka kepada orang ramai seperti:

  • Demonstrasi produk/perkhidmatan;

  • Persembahan kebudayaan dan kesenian;

  • Peragaan fesyen kanak-kanak;

  • Pertandingan memasak-Menu Malaysia;

  • Pertandingan mewarna bagi kanak-kanak;

  • Penampilan personaliti televisyen dan radio;

  • Sesi Bicara Tokoh-ceramah motivasi oleh tokoh-tokoh perniagaan terkemuka dan selebriti tempatan yang terlibat dalam bidang keusahawanan.

8. PERTANDINGAN SDSI

  • Penilaian terhadap kesemua produk/perkhidmatan SDSI yang dipamerkan di Showcase SDSI dalam aspek standard dan kualiti, pembungkusan, persijilan dan pelabelan.

  • Pertandingan ini bertujuan untuk memberi suntikan semangat kepada usahawan-usahawan SDSI untuk menghasilkan produk/perkhidmatan yang lebih bermutu dan berkualiti setanding dengan produk keluaran negara luar.

  • Produk/perkhidmatan terbaik akan diberi pengiktirafan dan ganjaran dalam bentuk kewangan dan insentif bukan-kewangan.


Last Updated 2016-11-03 10:55:45 by Azuna Hasbullah atau Abd Rahman

  •  
  • Print
  • Email this page

 
Hakcipta Terpelihara 2016 MITI. Pihak MITI tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman sesawang ini.
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer 10 dengan resolusi 1280x800.