Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ingin merujuk kepada surat kepada pengarang diruangan forum dalam akhbar Berita Harian bertarikh 28 Mei 2013 bertajuk “Harap Harga Kereta Turun”, mukasurat 28.

Berikut adalah maklumbalas daripada pihak kementerian:

Kerajaan melalui Dasar Automotif Nasional sememangnya telah menggariskan pelan hala tuju bagi mengurangkan harga kenderaan secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 30 peratus menjelang 2017 selaras dengan manifesto kerajaan yang yang telah diumumkan baru-baru ini. 

Antara elemen penting yang telah di ambil kira di dalam pelan hala tuju tersebut adalah pelaksanaan pengliberalisasian industri automotif Malaysia,

Kesan daripada liberalisasi ini, syarikat pengeluar kenderaan tempatan perlu mengambil langkah untuk menurunkan harga kenderaan masing-masing bagi mengekalkan tahap daya-saing.

Hasil daripada inisiatif tersebut, adalah didapati bahawa harga kenderaan bagi semua model di Malaysia sejak Januari 2013 sehingga bulan Mei 2013 telah menurun sebanyak 0.9 peratus secera keseluruhannya. Manakala purata penurunan bagi model kenderaan nasional turut menurun sebanyak 1.4 peratus pada tempoh masa yang sama, dan penurunan bagi model-model popular adalah sebanyak 4.3 peratus.

Sehubungan dengan itu juga, prestasi jualan kenderaan juga didapati turut meningkat di mana sehingga April 2013, jualan kenderaan yang telah dicatatkan adalah sebanyak 210,153 unit jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2012 iaitu sebanyak 186,318 unit.

Selain daripada penurunan harga kereta, syarikat-syarikat pengeluar kenderaan juga didapati telah menaiktaraf elemen aksesori kenderaan yang sedia ada tanpa menaikkan harga jualan. Selain itu, terdapat juga syarikat-syarikat pengeluar kenderaan yang telah menawarkan perkhidmatan servis nilai tambahan berbanding perkhidmatan servis sedia ada untuk meningkatkan daya saing jualan syarikat masing-masing.

Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Malaysia
28 Mei 2013