Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, usahawan layak memohon pinjaman sebanyak RM500,000 dan maksimum sehingga RM2.5 juta.
“Pelancaran WEP akan membolehkan wanita yang bergiat dalam perusahaan kecil dan sederhana menggunakannya untuk membeli aset dan penambahan modal kerja tetap,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian ulang tahun ke-10 SME Bank di Kuala Lumpur, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Menurutnya, program WEP dikendalikan bersama Program Pemacuan Kepimpinan Keusahawanan Wanita yang dikelolakan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Usahawan (Cedar).
“Ia merupakan program pembangunan keusahawanan secara holistik yang merangkumi keseluruhan sistem daripada pra-pengkomersialan sehingga ke peringkat komersial.
“Golongan wanita digalakkan memohon dan ia merupakan satu inisiatif SME Bank dalam membina kapasiti dan keupayaan usahawan wanita di Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, SME Bank turut melancarkan aplikasi telefon bimbit dan perbankan Internet bagi memudahkan pelanggan mengakses akaun bank mereka secara dalam talian.
Mohd Radzif berkata, menerusi aplikasi itu, pelanggan dapat mengakses maklumat seperti tempoh matang, peringatan, buletin, jumlah pembiayaan, kadar keuntungan dan sebagainya.
“Bagi orang ramai, mereka boleh mengakses maklumat korporat bank, program pembiayaan, rangkaian cawangan dan aktiviti bank,” katanya.
Aplikasi itu boleh dimuat turun di Apps Store dan Play Store.