Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Sdn. Bhd. (Shapers Malaysia), Datuk Mohd. Shukri Abdullah (gambar) berkata, forum tersebut akan menjadi platform tepat bagi membincangkan isu-isu halal sekali gus membangkitkan kesedaran masyarakat dunia tentang pentingnya mendapatkan poduk yang halal.
Katanya, empat forum yang baharu diperkenalkan itu ialah Forum Sarjana, Forum Persijilan, Forum Akademik dan Forum Perniagaan menampilkan objektif berbeza yang wajar direbut golongan peniaga sama ada di dalam dan luar negara.
“Setiap forum itu akan membincangkan pelbagai topik melibatkan pakar-pakar halal antarabangsa dan mencari kaedah terbaik dalam membangkitkan kesedaran mengenai kepentingan halal terutama standard dan persijilan serta peranan institusi berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar WHS 2015 di sini baru-baru ini.
WHS dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) manakala Shapers Malaysia merupakan penganjur bersama dan pengurus untuk WHS.
Sidang kemuncak itu yang bakal berlangsung bermula 30 Mac sehingga 4 April 2015 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
WHS menawarkan pameran perdagangan dan enam persidangan membincangkan topik terkini termasuk sistem integriti halal bagi negara bukan Islam dan halal dalam era digital.
Antara program yang dianjurkan sepanjang WHS2015 termasuklah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas), Konvensyen Badan Persijilan Halal Antarabangsa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kali keenam dan Persidangan Halal Dunia kali kelapan.