Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan menganjurkan Showcase Groom Zon Selatan 2010 dengan kerjasama SIRIM Berhad.
Majlis perasmian Showcase Groom Big, Zon Selatan 2010 akan disempurnakan oleh Y.B Dato’ Muhkriz Tun Mahathir,Timbalan Menteri (Perdagangan) Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada 7 November 2010, jam 12.00 tengahari.
Antara program yang akan diaadakan termasuklah:
• Pameran produk sebelum dan selepas menyertai Program Groom Big
• Ceramah dan taklimat keusahawanan oleh para penceramah profesional yang dijemput.
• Padanan perniagaan (business matching)
• Klinik usahawan yang menyediakan khidmat nasihat (trade advisory services) secara percuma berkaitan program/kemudahan/insentif yang ditawarkan kepada usahawan PKS daripada MITI serta agensi MITI
• Lawatan ke premis-premis usahawan oleh VIP
• Booth jualan oleh usahawan Groom Big
• Aktiviti tarikan pengunjung – persembahan kebudayaan, demonstrasi produk, bicara tokoh usahawan berjaya dan sebagainya.
Showcase Groom Big ini adalah salah satu usaha Kementerian dalam meningkatkan keupayaan usahawan kecil dan sederhana Bumiputera terutamanya daripada aspek persembahan produk para usahawan Bumiputera dalam usaha untuk mempertingkatkan kadar jualan serta pasaran produk berkenaan secara keseluruhannya.
Selain itu, objektif penganjuran program showcase ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada orang ramai dan media mengenai Program Groom Big yang dilaksanakan oleh Bahagian Pembangunan Keusahawanan (BPU) iaitu salah satu bahagian di bawah MITI yang bertanggungjawab dalam usaha untuk membantu pembangunan usahawan Bumiputera dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan seperti mana yang telah dirangka dalam IMP3.
Program Showcase Groom Big, Zon Selatan. Johor yang akan diadakan ini adalah hasil daripada aktiviti program pada tahap 1 iaitu ‘Asas Peningkatan Kualiti’ yang bermula pada Mac 2010 yang melibatkan 71 orang usahawan. Sejak Mac 2010, terdapat lebih 100 jenis produk yang terlibat dalam peningkatan penampilan dan kualiti daripada aspek pelabelan dan pembungkusan bagi memenuhi keperluan pasaran tempatan dan Peraturan Pelabelan dan Akuan Pemakanan, Akta Makanan 1983. Program ini disusuli dengan perkhidmatan bimbingan dan latihan asas peningkatan kualiti serta pencapaian sijil halal iaitu program di Tahap 2 seperti dalam skop Program Groom Big. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk membangunkan usahawan sokongan iaitu pereka,pencetak,ahli fotografi,pembekal dan pengedar sebagai usaha untuk meningkatkan rantaian nilai dan daya saing dalam sektor industri makanan dan minuman.
Beberapa program seumpama ini dan program lanjutan telah dirancang untuk dilaksanakan pada tahun ini supaya lebih ramai usahawan yang mendapat manfaatnya di seluruh negara termasuk juga di Johor. Adalah diharapkan melalui program seperti ini, produk yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan kita mendapat tempat di hati pengguna tempatan dan juga pengguna antarabangsa.