KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) — Malaysia akan memperhebat penerokaan pasaran Turki susulan pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) yang dimeterai pada Sabtu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata Malaysia akan mempromosikan pelaburan dan perkhidmatan di Turki, selain perdagangan.
“Ia pengubah permainan dan satu cara yang wajar dilakukan, terutamanya apabila mengambil kira Malaysia mempunyai pelaburan bernilai US$2 bilion (US$1 =RM3.85) di Turki.
“(Pelaburan) Kita agak besar di Turki menerusi Khazanah Nasional Bhd dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB),” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu di pejabatnya, di sini hari ini.
Khazanah Nasional memegang 75 peratus kepentingan dalam rangkaian hospital terbesar Turki manakala MAHB mengambil alih operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen Istanbul dan LGM Havalimani Isletmeleri Ticaret ve Turizm.
Pada pertemuan itu, Mustapa dan Cavusoglu yang berada di sini bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN ke-48, berbincang mengenai isu perdagangan dan ekonomi dua hala, terutama mengenai MTFTA yang akan memberi Malaysia kelebihan daya saing di Turki.
Mustapa berkata menerusi perjanjian itu, kedua-dua negara akan berusaha merangsang perdagangan kepada US$5 bilion menjelang 2020, daripada US$1.5 bilion sekarang.
Sambil menggesa sektor swasta Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan oleh MTFTA, beliau berkata dengan populasi 74 juta, Turki adalah pasaran yang besar bagi perniagaan Malaysia.
Sementara itu, Cavusoglu berkata Malaysia merupakan negara pertama ASEAN yang dipilih oleh Turki untuk menandatangani perkongsian itu dan ia berharap untuk terus memperkukuh hubungan dua hala.
Pada 2014, nilai perdagangan antara Malaysia dan Turki ialah sebanyak US$969 juta dengan eksport Malaysia ke Turki bernilai US$752 juta dan import bernilai US$217 juta.
MTFTA membolehkan produk eksport utama Malaysia ke Turki menikmati layanan bebas cukai serta-merta, sekali gus meneroka lebih jauh ke dalam pasaran.
Item termasuk tekstil dan pakaian, peralatan elektrik dan elektronik, kimia, serta produk besi dan keluli akan menikmati bebas duti import secara berperingkat dalam tempoh lapan tahun bermula 1 Ogos 2015.
Produk sawit dan minyak sawit Malaysia layak untuk pengurangan cukai sekali sahaja sebanyak 30 peratus daripada kadar negara paling digemari semasa (0-46.8 peratus).