Untitled Document

(Available in Bahasa Malaysia version only)

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ingin merujuk kepada sebuah artikel dalam Berita Harian bertarikh 17 Julai 2013 bertajuk “Nilai semula penyertaan negara dalam TPPA”.  Di dalam artikel tersebut penulis telah membangkitkan isu mengenai impak TPPA kepada peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan kerana rakyat asing dari negara-negara TPPA boleh bekerja di Malaysia tanpa sekatan.

Di dalam rundingan TPPA terdapat satu bab yang membincangkan mengenai kemasukan sementara peniaga-peniaga, pelabur-pelabur dan juga golongan profesional. Objektif bab ini adalah untuk memudahkan kemasukkan peniaga-peniaga, pelabur-pelabur dan golongan profesional mengikut prosedur dan syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak imigresen. Sebelum golongan professional ini dibenarkan untuk bekerja di Malaysia, mereka hendaklah mempunyai kemahiran khusus (niche skills) dan kelayakan akademik sekurang-kurangnya diperingkat ijazah.

Kemudahan yang diberikan adalah dari segi tempoh masa berada di mana-mana negara TPPA serta kategori professional yang dibenarkan untuk kemasukan sementara. Kemudahan yang diberikan ini tidak menjejaskan peraturan-peraturan imigresen sesebuah negara TPPA tersebut.

Bab Kemasukan Sementara BUKANNYA untuk:

  • mempromosi atau memudahkan kemasukan buruh, pekerja yang mempunyai kemahiran yang rendah atau bukan seorang pelabur;
  • rakyat dari mana-mana negara TPPA yang ingin mencari pekerjaan di negara TPPA yang lain; dan
  • rakyat dari mana-mana negara TPPA yang ingin memohon untuk mendapatkan kewarganegaraan, taraf pemastautin atau untuk bekerja bagi tempoh yang lama.

Kemudahan yang diberikan untuk kemasukan sementara peniaga-peniaga, pelabur-pelabur dan juga golongan profesional adalah berdasarkan peraturan domestik negara-negara TPPA berkenaan.

Walaupun peraturan Imigresen Malaysia adalah terbuka, namun terdapat beberapa peraturan yang tidak membenarkan rakyat asing dari golongan profesional untuk memberikan perkhidmatan kecuali setelah mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Ekspatriat yang terdiri daripada enam (6) Agensi iaitu Lembaga Kemajuan Pelaburan Malaysia, Jabatan perkhidmatan Awam, Bank Negara Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Perbadanan Pembangunan Multimedia.

Dalam TPPA juga terdapat satu bab mengenai buruh, Objektif bab ini bukan untuk membenarkan buruh asing memasuki pasaran buruh Malaysia sebaliknya adalah untuk memastikan hak pekerja dilindungi. Antaranya adalah memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa dipatuhi oleh majikan bagi membolehkan pekerja menjalankan kerja dalam suasana yang selamat dan kondusif. TPPA ini tidak menghalang usaha majikan untuk memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dalam pekerjaan. Kerajaan sejak dahulu telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan majikan mengutamakan pengambilan pekerja tempatan. Perkara ini akan diteruskan lagi walaupun TPPA ini dilaksanakan. Di samping itu TPPA ini juga menggalakkan setiap negara anggota untuk membangunkan kapasiti pasaran buruh masing-masing, di mana terdapat ruang untuk negara-negara anggota bekerjasama dari segi pembangunan kapasiti sumber manusia.

Oleh yang demikian ingin ditegaskan bahawa adalah tidak benar rakyat asing dari negara-negara TPPA boleh bekerja di Malaysia tanpa sekatan. Mereka perlu mematuhi semua peraturan domestik serta memerlukan surat daripada majikan sebelum dipertimbangkan untuk memasuki Malaysia.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
17 Julai 2013