MITI's Portal  


SIARAN MEDIA
MEDIA RELEASE
Homepage


jata

MENTERI KANAN
MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

SEKTOR-SEKTOR EKONOMI DALAM PERKHIDMATAN PERLU YANG DIBENARKAN BEROPERASI SEPANJANG PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) DI PULAU PINANG, SELANGOR, WILAYAH PERSEKUTUAN (KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA, LABUAN), MELAKA, JOHOR DAN SABAH


1. Pandemik COVID-19 yang menular sejak tahun 2019 telah memberi kesan kesihatan dan kelangsungan hidup bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Berikutan penularan gelombang ketiga pandemik COVID-19, banyak negara-negara di seluruh dunia telah mengetatkan kawalan pergerakan mengikut perkembangan dan situasi semasa di negara masing-masing.

2. Kerajaan sentiasa bertanggungjawab dalam menangani penularan wabak COVID-19. Kerajaan akan meneruskan pendekatan proaktif dan responsif dengan memperhalusi semua nasihat pakar-pakar kesihatan awam untuk melaksanakan tindakan yang tegas dan efektif bagi memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19. Pada masa yang sama, Kerajaan akan terus berusaha untuk memastikan kelangsungan aktiviti ekonomi dicapai bagi menjamin kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat.

3. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab ke atas pembangunan dan perkembangan aktiviti industri, perdagangan dan pelaburan negara sentiasa terbuka menerima pandangan yang dikemukakan oleh persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan. Pandangan industri adalah penting untuk membantu Kerajaan mencapai keseimbangan di antara perlindungan kesihatan dan keperluan menjana serta merangsangkan semula sektor ekonomi negara. Hasil daripada libat urus dan kerjasama dengan persatuan industri, dewan perniagaan dan lain-lain pihak berkepentingan, MITI telah merangka Prosedur Operasi Standard (SOP) yang komprehensif, relevan dan praktikal. SOP ini akan membantu kelangsungan operasi serta pelan kesinambungan syarikat (business continuity plan) dan industri khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari 2021.

4. Keputusan Kerajaan membenarkan lima (5) sektor ekonomi perlu (essential economic sectors) termasuk pengilangan dan pembuatan untuk beroperasi adalah bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara, kemampanan perniagaan, mengelak kadar kehilangan pekerjaan yang tinggi di kalangan rakyat Malaysia dan memastikan rakyat terus mendapat akses keperluan asas dan kritikal sepanjang tempoh PKP. Enam (6) buah negeri yang dikenakan PKP merupakan pemacu aktiviti ekonomi utama negara dan penyumbang yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu 66.3 peratus daripada jumlah keseluruhan KDNK. Negeri Selangor menyumbang kepada KDNK negara sebanyak 24.2 peratus, Wilayah Persekutuan (16.9 peratus), Johor (9.4 peratus), Pulau Pinang (6.7 peratus), Sabah (6.0 peratus), dan Melaka (3.1 peratus).

5. Tindakan yang bertanggungjawab ini akan dapat memberi impak positif khususnya dalam usaha Kerajaan memastikan pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan tempatan dan asing serta kelangsungan Perusahaan Kecil dan Sederhana. Di antara pertimbangan penting yang turut diambil kira oleh Kerajaan adalah keperluan untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport negara memandangkan Malaysia merupakan salah satu negara utama dalam eko-sistem rantaian bekalan global. Sektor-sektor ekonomi dalam perkhidmatan perlu yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP adalah seperti yang diperincikan di Lampiran 1. Lampiran ini merangkumi sektor pengilangan dan pembuatan di bawah kawal selia MITI serta sektor-sektor pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi di bawah bidang kuasa Kementerian dan Agensi lain. SOP bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab MITI boleh dimuat turun dari laman sesawang MITI di www.miti.gov.my.

6. Syarikat-syarikat yang telah berdaftar dengan pangkalan data MITI iaitu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) melalui pautan https://notification.miti.gov.my tidak perlu membuat pendaftaran semula untuk beroperasi dalam tempoh PKP. Syarikat-syarikat yang berkenaan hanya perlu memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang boleh dimuat turun mulai hari ini, 12 Januari 2021 bermula jam 3.00 petang.

7. Syarikat-syarikat sektor pengilangan dan pembuatan dalam perkhidmatan perlu yang belum berdaftar dengan CIMS boleh berbuat demikian di pautan https://notification.miti.gov.my mulai pukul 3.00 petang, 12 Januari 2021. Surat notifikasi pengesahan pendaftaran boleh dimuat turun oleh syarikat selepas pendaftaran.

8. Pendaftaran ini hanya terpakai untuk syarikat-syarikat dalam sektor pengilangan dan pembuatan di bawah seliaan MITI. Majikan bertanggungjawab untuk memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran untuk membolehkan pergerakan pekerja dalam tempoh PKP. Pekerja syarikat yang dibenarkan untuk berada di tempat kerja pada satu-satu masa adalah wajib membawa sesalinan surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang dibekalkan oleh majikan bersama pas pekerja/surat pengesahan majikan. Ini bertujuan mempermudahkan pergerakan kenderaan komersial dan juga pergerakan pekerja antara kediaman dan tempat kerja. Pihak MITI telah memaklumkan kepada pihak PDRM berhubung perkara ini bagi memudahkan pergerakan di operasi sekatan jalan raya (SJR).

9. Selaras dengan objektif untuk mengekang penularan pandemik COVID-19, hanya 30 peratus pekerja dalam kumpulan pengurusan dibenarkan berada di pejabat. Manakala jumlah pekerja kumpulan sokongan dan pekerja-pekerja yang terlibat secara langsung dalam production line akan ditentukan oleh majikan masing-masing dengan mengambil kira pematuhan ketat SOP yang ditetapkan.

10. Bagi kerja-kerja yang tidak memerlukan kehadiran secara fizikal, arahan Bekerja Dari Rumah (BDR) akan berkuatkuasa. Kerajaan menyeru pihak industri dan swasta mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian. 11. Kerajaan dan pihak swasta perlu berganding bahu untuk membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih kritikal demi melindungi kesihatan dan keselamatan rakyat dan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.

12. MITI ingin menegaskan kewajipan dan kebertanggungjawaban pihak industri untuk mematuhi arahan PKP dan SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan. MITI dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negeri akan menjalankan penguatkuasaan secara berkala di sepanjang tempoh PKP ke atas syarikat-syarikat untuk memastikan pematuhan SOP dan akan mengambil tindakan mengkompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342). Majikan yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan.

13. MITI juga telah menyediakan senarai soalan-soalan lazim (FAQ) untuk membantu pihak industri dalam mendapatkan maklumat terperinci dan tepat mengenai SOP yang ditetapkan oleh Kerajaan bagi membolehkan sektor-sektor pengilangan dan pembuatan untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

14. Sebagai barisan hadapan ekonomi negara, MITI akan terus memastikan persekitaran dalam negara yang kondusif dan mesra-perniagaan bagi merancakkan aktiviti-aktiviti ekonomi beroperasi dengan lancar dan terus berkembang.

DATO' SERI MOHAMED AZMIN ALI
12 JANUARI 2021


LAMPIRAN 1

SENARAI PERKHIDMATAN PERLU YANG DIBENARKAN BEROPERASI SEPANJANG TEMPOH PERINTAH KAWALAN PERGERAKAN (PKP)
(Dikemaskini setakat 16 Januari 2021)

Pengilangan dan Pembuatan

1. Aeroangkasa (komponen dan maintenance, repair and overhaul (MRO))
2. Automotif (kenderaan dan komponen)
3. Makanan dan minuman
4. Pembungkusan dan Percetakan
5. Barang-barang rumah dan penjagaan diri, dan bahan pencuci
6. Keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet
7. Kelengkapan perlindungan diri dan peralatan keselamatan kebakaran
8. Komponen bagi peranti perubatan
9. Barang-barang elektrikal dan elektronik
10. Minyak dan gas
11. Keluaran petrokimia
12. Keluaran bahan kimia
13. Mesin dan peralatan
14. Acuan seramik bagi pembuatan sarung tangan
15. Besi dan keluli
16. Tekstil bagi penghasilan kelengkapan perlindungan diri
17. Perabot
18. Bahan api dan pelincir


Perkhidmatan


19. Automotif (penyelenggaraan dan pembaikan)
20. Keselamatan dan pertahanan
21. Kewangan
22. Institusi kewangan termasuk perbankan, insurans, takaful, bursa dan institusi lain yang dilesenkan, diluluskan atau didaftarkan oleh Bank Negara Malaysia
23. Entiti pasaran modal yang dilesenkan, didaftarkan atau dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
24. Perbandaran dan kerajaan tempatan
25. Pengurusan sisa pepejal dan pembetungan
26. Pembersihan awam
27. Pembersihan dan sanitasi premis
28. Infrastuktur telekomunikasi dan digital termasuk perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi dan perkhidmatan perniagaan global
29. E-dagang termasuk perkhidmatan e-marketplace, pembayaran digital dan pusat internet e-dagang setempat
30. Pajak gadai dan syarikat peminjam wang berlesen
31. Hotel dan penginapan
32. Pertanian, perikanan dan penternakan termasuk perkhidmatan veterinar
33. Pengurusan ladang, sarang burung walit, ladang kuda, loji pemprosesan haiwan, rumah sembelihan, ternakan, kilang makanan haiwan ternakan, kedai haiwan kesayangan
34. Pengawalan penyakit dan pengawalseliaan pengeluaran ternakan hidup, pengawalseliaan input ternakan dan keluaran berkaitan industri ternakan termasuk eksport dan import
35. Pengurusan kesihatan haiwan
36. Utiliti termasuk perkhidmatan keselamatan bekalan, pembaikan, penyelenggaraan dan bacaan meter air dan tenaga
37. Perkhidmatan profesional dalam bidang saintifik, penyelidikan dan pembangunan, teknikal dan penyenggaraan termasuk akauntan, peguam, auditor, jurutera dan arkitek
38. Kawalan keselamatan
39. Pengangkutan melalui darat, air atau udara
40. Perkhidmatan dan pengusahaan pelabuhan, limbungan dan lapangan terbang termasuk pemunggahan dan pemindahan kargo, pemaliman, penyimpanan atau pemukalan komoditi
41. Perkhidmatan kehakiman dan perundangan


Pembinaan


42. Kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal
43. Kerja pembinaan infrastruktur awam utama
44. Kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau kuarters pekerja berpusat


Perdagangan Pengedaran


45. Penggudangan dan logistik
46. Penjualan dan penghantaran makanan dan minuman
47. Peruncitan, pengedaran dan pemborongan


Perladangan dan Komoditi


48. Pertanian, perikanan dan penternakan
49. Perladangan dan komoditi


Lain-Lain


50. Apa-apa perkhidmatan, kerja, industri atau perniagaan sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri Kesihatan selepas berunding dengan pihak berkuasa yang mengawal selia perkhidmatan, kerja, industri dan perniagaan itu.

*Sumber: Warta Kerajaan Persekutuan, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (Pindaan) 2021, 15 Januari 2021 P.U. (A) 14

Have any questions?

image