Untitled Document

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ingin merujuk kepada sebuah artikel dalam Utusan Malaysia bertarikh 15 Mei 2013 bertajuk “TPP : MTEM desak Kerajaan tarik diri”. Di dalam artikel tersebut penulis telah membangkitkan beberapa isu berhubung dengan implikasi TPP kepada peniaga tempatan, TPP bertentangan dengan perlembagaan negara dalam aspek melindungi kedaulatan negara dan MITI tidak pernah mendedahkan isi kandungan TPP.

 

Isu 1: Implikasi TPP kepada Peniaga Tempatan

 

Sebagai sebuah negara yang bergantung kepada perdagangan antarabangsa, Malaysia perlu meneruskan usaha untuk meningkatkan perdagangan supaya mampu bersaing di peringkat global. Ini selaras dengan transformasi negara untuk mencapai matlamat sebagai negara berpendapatan tinggi. Oleh itu, Malaysia memerlukan persekitaran perdagangan yang lebih liberal dan adil untuk memudahkan dan mengurangkan halangan perdagangan bukan sahaja bagi mengeksport produk Malaysia bahkan juga mengimport bahan-bahan mentah serta produk perantaraan yang diperlukan bagi menyokong pertumbuhan industri. Pendekatan ini boleh dicapai melalui pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA).

 

Mulai tahun 1993, Malaysia telah melaksanakan beberapa FTA. Di rantau ASEAN, FTA-FTA yang disertai oleh Malaysia adalah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN (ASEAN Free Trade Area - AFTA), ASEAN-China, ASEAN-Korea, ASEAN-Jepun, ASEAN-Australia-New Zeland dan ASEAN-India. Selain itu, Malaysia juga telah melaksanakan 6 FTA secara dua hala iaitu dengan Jepun, Pakistan, India, New Zealand, Australia dan Chile.

 

Dari segi perdagangan, adalah terbukti bahawa perdagangan Malaysia dengan negara-negara ASEAN di bawah AFTA telah meningkat dari RM52.04  bilion pada tahun 1992 kepada RM358.1 billion pada tahun 2012. Ini terbukti bahawa AFTA telah memberi manfaat kepada pengeksport-pengeksport, pengilang-pengilang dan peniaga-peniaga tempatan untuk menembusi pasaran ASEAN.

 

Peningkatan prestasi perdagangan dua hala di antara Malaysia dengan China, Jepun, Pakistan, India, Korea,  New Zealand, Australia dan Chile telah terbukti sejak termeterainya perjanjian-perjanjian FTA. Prestasi perdagangan sepertimana yang dinyatakan adalah seperti berikut:

 

  • China: RM71.4 bilion pada tahun 2004 kepada RM180.6 bilion pada tahun 2012;
  • India: RM24.9 bilion pada tahun 2009 kepada RM41.2 bilion pada tahun 2012;
  • Australia: RM29.5 bilion pada tahun 2009 kepada RM43.7 bilion pada tahun 2012;
  • Jepun: RM112.8 bilion pada tahun 2005 kepada RM145.3 bilion pada tahun 2012;
  • Pakistan: RM4.6 bilion pada tahun 2007 kepada RM6.5 bilion pada tahun 2012;
  • New Zealand: RM3.5 bilion pada tahun2009 kepada RM6.0 bilion pada tahun 2012; dan
  • Korea: RM47.2 bilion pada 2006 kepada RM50.0 bilion pada tahun 2012.

 

Pada masa ini, perdagangan Malaysia yang dilaksanakan di bawah FTA merangkumi 62% daripada perdagangan global Malaysia.

 

Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan di antara 11 buah negara iaitu Australia, Amerika Syarikat, Brunei, Chile, Kanada, Mexico, Malaysia, New Zealand, Peru, Singapura dan Viet Nam perlu dilihat secara positif kerana ia bakal menjadi sebuah kawasan perdagangan bebas yang merangkumi kesemua negara Asia-Pasifik, dengan pasaran hampir 2.7 bilion pengguna.

 

Dari segi pelaburan pula, TPP akan membantu menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih berdaya saing dengan mengalakkan sistem ekonomi yang lebih adil dan saksama dan telus dan secara langsung memastikan Malaysia terus dilihat sebagai pusat pengeluaran utama di rantau Asia-Pasifik dan pada masa yang sama sebuah destinasi pelaburan yang menarik. TPP juga memberi pertimbangan kepada perusahaan kecil dan sederhana dan mempunyai satu bab khusus yang memperuntukkan langkah-langkah yang akan diambil oleh Negara-negara TPP untuk mengintegrasikan perusahaan kecil dan sederhana dalam rangkaian pembekalan global atau global supply chain.

 

Dalam rundingan TPP dan mana-mana FTA yang lain, Kerajaan akan mengambil pendekatan yang seimbang dalam memastikan bahawa FTA ini tidak akan menjejaskan kemampuan Kerajaan untuk terus melaksanakan dasar dan program bagi memelihara kepentingan bukan sahaja syarikat dan peniaga tempatan tetapi juga kepentingan rakyat Malaysia secara keseluruhan serta agenda pembangunan negara termasuk polisi-polisi pembangunan yang telah dan sedang dirangka oleh Kerajaan. 

 

Isu 2: TPP bertentangan dengan perlembagaan negara dalam aspek melindungi kedaulatan negara

 

Dalam merundingkan TPP dan juga FTA-FTA yang lain, Malaysia sentiasa mengambil kira perlembagaan Malaysia dan akan memastikan bahawa apa-apa keputusan yang dibuat ianya tidak bercanggah dengan mana-mana peruntukan yang terdapat di bawah perlembagaan Malaysia.

 

Isu 3: TPP MITI tidak pernah mendedahkan isi kandungan TPP

 

Adalah kurang tepat jika ada pihak beranggapan bahawa tiada terdapat maklumat mengenai perjanjian TPP bagi Malaysia. Maklumat mengenai status rundingan TPP sentiasa dikemaskini di dalam portal MITI www.miti.gov.my. Sesiapa sahaja boleh melayari dan mengakses maklumat tersebut.

 

Walaupun, pihak Kerajaan tidak dapat berkongsi teks perjanjian dengan pihak berkepentingan memandangkan Kerajaan terikat dengan ‘confidentiality agreement’, ini tidak bermakna mana-mana pihak berkepentingan tidak dapat terlibat dalam proses konsultasi domestik yang diadakan untuk menggubal pendirian negara. MITI sentiasa mengadakan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan seperti kementerian-kementerian dan agensi-agensi berkaitan serta juga industri-industri tempatan sebelum dan selepas setiap pusingan rundingan TPP bagi mendapatkan input daripada mereka. Konsultasi juga turut diadakan dengan pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Malaysian Aids Council, Third World Network, Malaysian Treatment Access and Advocacy Group, Consumers Association of Penang, PT Foundation, MyPlus, Suara Rakyat Malaysia, Jaringan Rakyat Tertindas, Pesticide Action Network Asia and the Pacific, Malaysia Trade Union Congress (MTUC) dan National Cancer Society.

 

Dalam pada itu, konsultasi dengan pihak-pihak yang berkepentingan turut juga diadakan di peringkat Kementerian-Kementerian/Agensi-Agensi mengenai isu-isu di bawah bidang kuasa mereka bagi mendapatkan input/komen sebelum sesuatu pendirian dan keputusan dibuat.

 

MITI sedang merangka satu proses konsultasi secara menyeluruh dengan semua pihak-pihak berkepentingan seperti persatuan-persatuan perniagaan, NGO dan lain-lain yang akan dimulakan tidak lama lagi. MTEM akan dijemput untuk turut menghadiri sesi konsultasi ini. Di samping itu, MITI sentiasa bersedia untuk mengadakan konsultasi secara khusus dengan MTEM, sekiranya MTEM memerlukannya.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Malaysia
15 Mei 2013