Kerajaan telah menerima satu petisyen dari Ji Kang Dimensi Sdn. Bhd. mewakili industri tempatan yang mengeluarkan hot rolled plate (HRP). HRP digunakan sebagai bahan asas dalam industri seperti automatif, pembinaan, elektrik dan elektronik, fabrikasi, kejuruteraan dan pembuatan. Pempetisyen mendakwa bahawa pengimportan HRP ke Malaysia semakin meningkat bagi tempoh 2011 hingga 2013 yang telah mengakibatkan kemudaratan serius kepada industri tempatan di Malaysia.
Pempetisyen telah mengemukakan keterangan-keterangan bahawa import HRP dari negara luar telah meningkat secara mutlak dan relatif sehingga memberi impak negatif ke atas industri di Malaysia. Akibatnya, pempetisyen telah mengalami kemudaratan yang serius melalui penurunan syer pasaran, penurunan jualan, penurunan pengeluaran, penggunaan kapasiti yang rendah, kemerosotan aliran tunai dan kerugian.
Berdasarkan petisyen tersebut, Kerajaan telah berpuas hati bahawa terdapat bukti yang mencukupi mengenai kenaikan import HRP ke Malaysia, kemudaratan dan juga hubungkait antara kedua-duanya. Oleh itu, Kerajaan telah memutuskan untuk memulakan suatu penyiasatan mengikut Akta Pelindung 2006 [Akta 657] bagi menentukan sama ada terdapat keterangan yang mencukupi tentang kemudaratan yang serius disebabkan oleh peningkatan import HRP ke Malaysia.
Selaras dengan Akta 657 dan Peraturannya, penentuan awal penyiasatan akan dibuat dalam tempoh 90 hari dari tarikh mula siasatan. Penyiasatan lanjut akan dibuat sekiranya terdapat penentuan afirmatif ke atas hasil siasatan awal dan Kerajaan juga akan mengenakan langkah perlindungan sementara dalam bentuk dan amaun yang akan ditentukan sehingga siasatan selesai bagi tujuan memberi pelindungan sementara yang setimpal untuk mengurangkan kesan kemudaratan kepada industri tempatan atas kenaikan import HRP.
Pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar domestik, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan ini) boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Tingkat 12, Blok 10, Kompleks Pejabat-pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Nombor Telefon : +603 - 6200 0111/0123/0113
Nombor Faksmili : +603 - 6201 6394
e-mel : alltps@miti.gov.my
Pihak berkepentingan juga dijemput untuk memberi pandangan secara bertulis dengan mengisikan borang soal selidik yang dialamatkan kepada mereka atau yang dicapai melalui laman web MITI (www.miti.gov.my) dengan mengemukakan bukti untuk menyokong pandangan mereka dalam tempoh masa 30 hari dari tarikh penyiaran notis ini. Sekiranya maklumat relevan tidak diterima dalam bentuk dan masa yang ditetapkan, maka Kerajaan akan membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
18 Ogos 2014
Last Updated 2015-05-14 12:00:08 by admin2