Kerajaan Malaysia akan mengenakan duti pelindung sementara sebanyak 23.93% ad-valorem ke atas pengimportan Hot Rolled Steel Plate (HRP) yang akan berkuatkuasa mulai 14 Disember 2014 bagi tempoh tidak melebihi 200 hari. Pengenaan duti pelindung sementara adalah dalam bentuk jaminan bank (bank guarantee) bersamaan nilai duti pelindung sementara. Duti pelindung sementara adalah bertujuan untuk mengurangkan kesan kemudaratan serius kepada industri tempatan disebabkan oleh peningkatan pengimportan HRP. Penentuan muktamad di bawah seksyen 23 Akta Pelindung 2006 akan dibuat dalam tempoh 200 hari dari tarikh pengenaan langkah perlindungan sementara.
Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan kes pelindung pada
18 Ogos 2014 berikutan daripada petisyen yang dikemukakan oleh Ji Kang Dimensi Sdn. Bhd. yang mewakili pengeluar HRP di Malaysia. Pempetisyen mendakwa pengimportan HRP ke Malaysia semakin meningkat bagi tempoh 2011 hingga 2013 dan telah mengakibatkan kemudaratan serius kepada industri tempatan di Malaysia.
Kerajaan Malaysia telah selesai menjalankan penyiasatan awal seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 20 Akta Pelindung 2006 dan mendapati bahawa terdapat asas yang mencukupi bagi meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan HRP.
Pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan perdagangan dan industri) boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit penentuan awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di alamat:
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 14, Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
MALAYSIA
Nombor Telefon : (603) 6200-0111/0123/0113
Nombor Faksimile : (603) 6201-6394
E-mel : alltps@miti.gov.my
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
12 Disember 2014
Last Updated 2015-05-14 12:00:15 by admin2