Untitled Document

YB Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah mengadakan pertemuan bersama Perwakilan Kedutaan Asing pada 16 Februari 2015 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC). Seramai 150 warga kedutaan telah hadir ke sesi ini.

Sesi ini merupakan kali ke-6 acara tahunan bersama perwakilan asing ini telah diadakan.  YB Menteri telah memberi penerangan mengenai perkembangan perdagangan dan pelaburan semasa,  prospek ekonomi Malaysia serta bertukar-tukar pandangan mengenai aktiviti-aktiviti strategik Kementerian bagi tahun 2015.

Berhubung dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini, YB Menteri telah memberikan penerangan fokus mengenai inisiatif-inisiatif di bawah Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). Antara keutamaan segera bagi negara-negara anggota ASEAN adalah memenuhi dan melaksanakan langkah-langkah Pelan Induk AEC. Menjelang akhir tahun ini, kadar pelaksanaan AEC ini dijangka akan melebihi paras 90 peratus berbanding paras semasa sebanyak 83 peratus.

YB Menteri juga menyatakan ASEAN sedang merangka Visi Ekonomi dan pelan tindakan untuk dekad akan datang, di mana fokus utama adalah untuk menghapuskan halangan perdagangan di antara negara anggota ASEAN serta memudahkan pelaburan. Ini adalah penting bagi memastikan ASEAN menjadi rantau ekonomi yang berdaya maju dan dinamik, inklusif serta berorientasikan rakyat.

YB Menteri juga mengalu-alukan penyertaan negara-negara berkaitan ke mesyuarat dan acara-acara utama yang akan dianjurkan di Malaysia bersempena dengan Kepengerusian ASEAN. Ini termasuk:

  1. Mesyuarat dan Persidangan ASEAN-OECD Regulatory Reform, 9-12 Mac 2015;
  2. Persidangan dan Pameran ASEAN SME 2015; 26-28 Mei 2015; dan
  3. Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN; November 2015.

Selain daripada ASEAN, YB Menteri juga telah memaklumkan  keutamaan lain Agensi dan Kementeriannya pada tahun ini ialah menyediakan input bagi Rancangan Malaysia ke-11 (2016-2020). Antaranya mengenal pasti bidang serta sektor-sektor utama yang berpotensi untuk menjadi pemangkin bagi Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020. Pada tahun ini juga, Kementerian ini akan meneruskan rundingan perdagangan utama seperti Rundingan Perjanjian Trans Pasifik (TPPA) dan Rundingan Kerjasama Ekonomi Serantau (RCEP). Kementerian ini juga akan mempergiatkan lagi aktiviti promosi perdagangan dan pelaburan berikutan situasi perniagaan dalaman dan luaran yang semakin mencabar.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Februari 2015