DHAKA 13 Jan. – Malaysia dan Bangladesh sepakat untuk meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang tertangguh sejak lima tahun lalu dalam usaha meningkat hubungan dagangan antara kedua-dua negara.

Kesepakatan itu dicapai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam pertemuan beliau dengan Menteri Perdagangan Bangladesh, Tofail Ahmed.

Dalam pertemuan itu, Mustapa yang dalam misi pelaburan dan perdagangan ke negara ini turut disertai oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Norlin Othman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud.

Mustapa berkata, kedua-dua belah pihak bersetuju supaya suruhanjaya bersama kedua-dua negara mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara tersebut di Kuala Lumpur pada Mac ini.

“Kita telah memulakan rundingan lima tahun lalu berhubung kemungkinan mengadakan FTA antara Bangladesh dan Malaysia, namun tidak banyak kemajuan sejak beberapa tahun lalu.

“Bagaimanapun, pada Disember lalu, Perdana Menteri kedua-dua negara telah memutuskan kita patut meneliti semula rundingan tersebut, dan hari ini kita mencapai persetujuan (meneruskan semula rundingan)” katanya dalam sidang akhbar bersama di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed pada Disember lalu di Kuala Lumpur bersetuju supaya rundingan FTA dimulakan,dan lawatan Mustapa kali ini susulan daripada pertemuan tersebut.

Menurut Mustapa, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pertama forum perniagaan Malaysia-Bangladesh (membabitkan ketua-ketua pegawai eksekutif) sebelum Jun depan.

Beliau berkata, forum itu yang akan disertai 20 ahli perniagaan terkemuka dari kedua-dua buah negara akan menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan meningkatkan hubungan ekonomi dua hala.

“Kerajaan akan mempermudahkan urusan perniagaan , kita juga berharap mereka dapat mengemukakan laporan setahun sekali hasil rundingan yang mereka adakan,” katanya.

Menjawap satu soalan, Mustapa berkata, FTA merupakan peluang kepada kedua-dua negara merapatkan jurang jumlah dagangan yang kini memihak kepada Malaysia.

Beliau berkata, pada masa ini jumlah dagangan antara Bangladesh dan Malaysia dianggarkan sebanyak AS$1.7 bilion dengan AS$1.6 bilion merupakan eksport dari Malaysia ke Bangladesh.

Antara eksport utama Malaysia ke Bangladesh ialah produk petroleum, minyak sawit, kimia dan produk kimia, mesin, elektrik dan elektronik.