KUALA LUMPUR 12 Feb. – Senai High Tech Park Sdn. Bhd. (SHTP) berjaya menarik pelaburan pertamanya daripada dua buah syarikat, termasuk sebuah syarikat asing dari China, berjumlah lebih RM1.7 bilion dalam industri suria dan berteknologi tinggi.
Dua buah syarikat yang membuat pelaburan itu adalah EQ Solar Technology International Sdn. Bhd. (EQ Solar) dari China dan MOX Linde Gases Sdn. Bhd. (MOX-Linde) merupakan syarikat tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif SHTP, Datuk Ahmad Shukri Tajuddin berkata, EQ Solar membuat pelaburan AS$500 juta (RM1.7 bilion) dalam tempoh tiga tahun manakala MOX-Linde sebanyak RM60 juta.
Katanya, EQ Solar menghasilkan mono crystalline dan polycrystalline solar modules di kawasan seluas 10 hektar (25 ekar) manakala MOX Linde menyalurkan gas perindustrian secara terus kepada para penyewa di SHTP di kawasan seluas dua hektar (lima ekar).
“Kami berharap lebih ramai pelabur datang membuat pelaburan pada tahun ini bagi merangsang pertumbuhan SHTP,’’ katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) SHTP dengan EQ Solar dan MOX Linde.
Majlis tersebut disaksikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi SHTP, Datuk Mohd. Sidik Shaik Osman, Presiden EQ Solar, Isabel Kow dan Pengarah Urusan MOX-Linde, Wong Siew Yap.
Ahmad Shukri menambah, SHTP dijangka menjadi pusat pelaburan berteknologi tinggi yang mempunyai potensi lebih baik berbanding Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di Kedah.
Katanya, ini kerana SHTP berada di lokasi yang strategik iaitu berdekatan dengan Singapura selain berada di kedudukan kemudahan pengangkutan yang ideal.
“Kedudukan SHTP amat baik kerana berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan juga Pelabuhan Tanjung Pelepas,’’ ujarnya.
Sementara itu, Kow berkata, Malaysia merupakan cawangan pertama EQ Solar di luar ibu pejabatnya di China.
Pihaknya memilih Malaysia berikutan kedudukan yang strategik dan menjadi pintu masuk kepada pelabur dari Asia Barat, tambah beliau.
‘’Berikutan potensi itu, kami turut mempunyai perancangan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi,’’ ujarnya.
Last Updated 2015-05-14 12:00:16 by admin2