Y.B. Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan menghadiri Mesyuarat ke-20 Menteri-Menteri Perdagangan APEC di Qingdao, China pada 17-18 Mei 2014.
Menteri-Menteri Perdagangan akan mengadakan perbincangan berdasarkan 3 bidang keutamaan APEC 2014 seperti yang digariskan oleh China selaku tuan rumah iaitu:
- Memajukan Integrasi Ekonomi Serantau;
- Menggalakkan Pembangunan Inovatif, Pembaharuan dan Pertumbuhan Ekonomi; dan
- Memperkukuhkan Kesalinghubungan Komprehensif dan Pembangunan Infrastruktur.
Menteri-Menteri Perdagangan juga akan terus membincangkan peranan APEC dalam menyokong Sistem Perdagangan Pelbagaihala dan menentang langkah-langkah Perlindungan Pasaran. Secara khususnya, perbincangan akan bertumpu kepada isu-isu pelaksanaan Bali Package sepertimana yang dipersetujui oleh Menteri-Menteri WTO di Bali pada tahun lepas, terutamanya pelaksanaan Perjanjian Fasilitasi Perdagangan mengikut tempoh yang telah ditetapkan. APEC secara kolektif menentang langkah-langkah perlindungan pasaran dan Mesyuarat akan memberi peluang kepada negara ekonomi APEC untuk mengulangi komitmen agar tidak mengambil langkah-langkah perlindungan yang memberi kesan kepada perdagangan dan pemulihan ekonomi.
Sebagai pengeluar dan pengguna utama produk teknologi maklumat, Malaysia berharap negara ekonomi APEC akan terus meneroka langkah-langkah yang boleh diambil untuk memuktamadkan rundingan peluasan Penjanjian Teknologi Maklumat (ITA). Malaysia akan terus memberikan komiten ke arah memuktamadkan rundingan ITA kerana ianya memberi manfaat luas kepada komuniti perniagaan dan menyokong usaha Kerajaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu di negara ini.
Salah satu hasil utama yang disasarkan oleh APEC tahun ini ialah Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) di mana APEC akan membangunkan rangka kerja khusus berserta jangka masa ke arah merealisasikan FTAAP di masa hadapan. Topik-topik yang akan dibincangkan oleh Menteri-Menteri Perdagangan termasuk isu ketelusan, roadmap ke arah FTAAP, inisiatif pembangunan kapasiti serta kemungkinan mengwujudkan kajian kebolehlaksanaan FTAAP. Malaysia berpandangan bahawa FTAAP perlu berperanan sebagai pemangkin kepada penggalakan integrasi ekonomi yang lebih mendalam, pertumbuhan yang mampan dan pembangunan inklusif, di mana negara ekonomi APEC boleh memaksimakan potensi ekonomi masing-masing, menjana kekayaan dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.
Menteri-Menteri Perdagangan juga turut membincangkan inisiatif baru APEC untuk merumuskan Rangka Tindakan Strategik bagi Rantaian Bekalan Global (GVC) di rantau ini. Kerjasama dalam kalangan negara ekonomi APEC akan membolehkan negara-negara membangun menerima pakai langkah-langkah fasilitasi perdagangan yang berkesan serta mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti GVC di peringkat serantau dan global. Kerjasama GVC menerusi platform APEC boleh menjadi pintu masuk kepada PKS untuk turut serta dalam aktiviti GVC di peringkat rangkaian global.
Isu Kesalinghubungan akan turut dibincangkan di Mesyuarat, dengan tumpuan khusus kepada usaha meningkatkan pendidikan rentas sempadan dan mobiliti pelajar dan penyelidik di rantau ini. Menteri juga akan menyentuh mengenai usaha penambahbaikan proses Kad Perjalanan Perniagaan APEC (ABTC). Selain itu, mereka juga akan bertukar pandangan mengenai bidang-bidang baharu seperti urbanisasi, pertumbuhan inovatif dan pemulihan ekonomi, serta kesannya kepada objektif keseluruhan APEC.
Negara ekonomi APEC yang menyertai Mesyuarat MRT merangkumi 76% jumlah perdagangan luar Malaysia dan 55% jumlah pelaburan langsung asing. Penyertaan Dato' Sri Mustapa dalam Mesyuarat akan membolehkan Malaysia kekal terlibat dalam proses APEC dan menyumbang kepada inisiatif untuk menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih mapan.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
14 Mei 2014
Last Updated 2015-05-14 12:00:20 by admin2