Untitled Document

Pada 19 Mei 2014, Kerajaan Malaysia telah menerima satu petisyen daripada pengeluar tempatan bagi mengenakan duti anti-lambakan ke atas pengimportan polyethylene terephthalate.Pempetisyen mendakwa polyethylene terephthalate yang berasal atau dieksport dari Republik Indonesia, Republik Korea dan Republik Rakyat China yang dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut. Pempetisyen mendakwa lambakan import tersebut telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.


Pempetisyen berkenaan telah mengatakan bahawa import dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi jumlah kuantiti mutlak. Hasilnya, pempetisyen telah mengalami kemudaratan melalui kesan lambakan, antara lain, pemotongan harga, pemelesetan harga, penyekatan harga, kehilangan syer pasaran, pengurangan dalam jualan domestik, penurunan keuntungan dan pulangan pelaburan yang rendah.


Berdasarkan kepada petisyen rasmi yang diterima, Kerajaan telah memutuskan untuk memulakan penyiasatan awal ke atas import polyethylene terephthalate yang diimport dari Republik Indonesia, Republik Korea dan Republik Rakyat China.


Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, satu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan. Sekiranya penyiasatan awal didapati afirmatif, maka Kerajaan mungkin akan mengenakan duti anti-lambakan sementara pada kadar yang perlu untuk memastikan tiada kemudaratan yang berterusan.


MITI telah menyediakan borang soal selidik berkaitan perkara ini. Pihak-pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan) yang ingin mengemukakan maklumat berhubung polyethylene terephthalate boleh memohon mendapatkan borang soal selidik tidak lewat daripada 30 Jun 2014. Pihak berkepentingan juga dijemput untuk memberi pandangan mereka secara bertulis terutamanya dengan mengisi borang soal selidik tersebut dan mengemukakan bukti berkaitan untuk menyokong pandangan mereka pada atau sebelum 15 Julai 2014. Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak Kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada.

Sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh diajukan kepada:

Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 14, Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Nombor Telefon : (603) 6200 0123/0115
Nombor Faksimile : (603) 6203 1745
E-mel : alltps@miti.gov.my

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
17 Jun 2014