Untitled Document

Dalam Bentuk Gulungan Yang Berasal Atau Diimport Dari Kanada, Republik Indonesia, Republik Korea, Filipina Dan Amerika Syarikat

Kerajaan Malaysia telah menerima satu petisyen daripada pengeluar tempatan bagi mengkaji semula duti anti-lambakan ke atas pengimportan newsprint dalam bentuk gulungan. Permintaan ini adalah berdasarkan alasan bahawa penamatan duti anti-lambakan mungkin akan mengakibatkan lambakan dan kemudaratan berterusan atau berulang kepada industri Malaysia.

Ini merupakan kajian semula kedua selepas tahun 2008 berkaitan duti anti-lambakan terhadap newsprint dari negara Kanada, Indonesia, Korea, Filipina dan Amerika Syarikat. Kerajaan telah memulakan penyiasatan anti-lambakan newsprint pada 16 Februari 2003 apabila menerima petisyen dari pempetisyen mengikut Seksyen 20 Akta Anti-Lambakan dan Timbal Balas 1993. Duti muktamad sebanyak 5.59% sehingga 43.24% telah dikenakan bermula dari 27 September 2003.

Kajian semula yang telah dijalankan pada 22 September 2008 dan duti anti-lambakan ke atas pengimportan newsprint yang berasal atau dieksport dari lima negara berkenaan telah disambung bagi tempoh lima tahun lagi.  

Pempetisyen mengemukakan bahawa sekiranya duti anti-lambakan ditamatkan, pengimportan semasa dagangan subjek akan meningkat. Mengenai aspek kemudaratan, pempetisyen menyatakan bahawa pemansuhan duti anti-lambakan akan memberi kesan negatif kepada industri dan menyebabkan kemudaratan berterusan atau berulang kepada industri Malaysia. Pempetisyen juga mengemukakan bahawa terdapat perubahan substantif dalam margin lambakan.

Oleh yang demikian, Kerajaan berpuas hati bahawa permintaan ini mengandungi alasan yang mencukupi bagi memulakan suatu kajian semula.

Sehubungan itu, MITI telah menyediakan satu set borang soal-selidik berhubung dengan penyiasatan ini. Pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan) yang ingin mengemukakan maklumat berhubung newsprint boleh memohon mendapatkan set borang ini sebelum 13 Februari 2014. Pihak berkepentingan juga dipohon untuk memberi pandangan secara bertulis dengan mengisi set borang tersebut dengan mengemukakan bukti-bukti berkaitan, pada atau sebelum 1 Mac 2014.

Sekiranya maklumat yang mencukupi dan berkaitan tidak diterima dalam tempoh diatas, pihak Kerajaan akan membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada.

Sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi:

Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan,
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),
Tingkat 14, Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan,
Jalan Duta,
50622 Kuala Lumpur,
MALAYSIA.

Nombor Telefon : 603) 6203 0111/ 0122/ 045
Nombor Faksimile :  (603) 6201 6394
E-mel : alltps@miti.gov.my

 

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
29 Januari 2014