Untitled Document

Kenyataan Akhbar : Permulaan Penyiasatan Anti-Lambakan Mengenai Import Pre-Painted / Painted / Colour Coated Steel Coils Yang Berasal Atau Dieksport Dari Republik Rakyat China Dan Republik Sosialis Viet Nam

Kerajaan Malaysia telah menerima satu petisyen daripada pengeluar tempatan bagi mengenakan duti anti-lambakan ke atas pengimportan Pre-Painted / Painted / Colour Coated Steel Coils pada 30 Mac 2015.Pempetisyen mendakwa pre-painted / painted / colour coated steel coils yang berasal atau dieksport dari Republik Rakyat China dan Republik Sosialis Viet Nam yang dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut. Pempetisyen mendakwa lambakan import telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Pempetisyen mendakwa bahawa jumlah import dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi jumlah kuantiti mutlak dan memberi kemudaratan material kepadanya. Kerajaan telah menentukan bahawa terdapat bukti yang mencukupi bagi lambakan, kemudaratan dan hubungkait di antara kedua-duanya. Oleh itu, Kerajaan telah memutuskan untuk memulakan suatu penyiasatan awal ke atas import Pre-Painted / Painted / Colour Coated Steel Coils dari negara-negara tersebut.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, satu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan. Sekiranya penyiasatan akhir didapati afirmatif, maka Kerajaan mungkin akan mengenakan duti anti-lambakan pada kadar yang perlu untuk memastikan tiada kemudaratan yang berterusan.

Sehubungan ini, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan).  Pihak berkepentingan yang lain juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya 14 Mei 2015. Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan secara bertulis bagi menyokong siasatan ini selewat-lewatnya pada 28 Mei 2015. Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak Kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada.

 

Sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi:

Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 14, Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Nombor Telefon : (603) 6200 0111
Nombor Faksimile : (603) 6201 6394
E-mel : alltps@miti.gov.my

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
28 April 2015