Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, syarikat dari Iran merancang untuk melabur RM30 bilion manakala firma Qatar pula sebanyak RM16 bilion.
"Mereka telah menghantar permohonan kepada kerajaan Persekutuan dan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) mengenai perkara itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan kilang paip besi bagi sektor minyak dan gas, EEW Malaysia Sdn. Bhd. di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, semalam.
Abdul Ghani berkata, syarikat luar negara itu berkemungkinan besar melabur di kawasan Teluk Ramunia dan Pengerang yang dirancang menjadi hab serantau bagi sektor minyak dan gas.
Katanya, kawasan seluas 1,200 hektar di Teluk Ramunia dan Pengerang telah dikenal pasti untuk dijadikan hab sektor tersebut menjelang 2013.
Menurut beliau, kedua-dua syarikat itu dijangka menyiapkan kemudahan operasi di kawasan itu sebelum 2013.
Last Updated 2015-05-14 12:00:36 by admin2