Untitled Document

Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan kes anti-lambakan pada 19 Jun 2014 berikutan daripada satu petisyen yang dikemukakan oleh Megasteel Sdn. Bhd. yang mewakili industri tempatan yang mengeluarkan produk gegelung gulungan panas (HRC). Pempetisyen mendakwa pengimportan HRC yang berasal atau dieksport dari Republik Rakyat China, Republik Indonesia dan Republik Korea dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara tersebut. Pempetisyen mendakwa ini telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Kerajaan telah selesai menjalankan penyiasatan awal seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 23 Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993. Kerajaan mendapati bahawa terdapat asas yang mencukupi bagi meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan HRC dari negara tersebut.

Kerajaan akan mengenakan duti sementara anti-lambakan dalam bentuk jaminan bank (bank guarantee) bersamaan nilai margin lambakan yang telah dikenalpasti. Duti sementara anti-lambakan di antara 3.15% - 29.37%  akan dikenakan ke atas negara tersebut dan akan berkuatkuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari mulai dari tarikh pewartaan.

Pengenaan kadar duti anti-lambakan yang tetap adalah tertakluk kepada penentuan akhir penyiasatan yang akan dikeluarkan tidak melebihi 120 hari dari 17 Oktober 2014.
Pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar/pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan) boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit penentuan awal dengan membuat permohonan bertulis kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di alamat:

           
Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 14, Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Nombor Telefon : (603) 62000111/0115/0122                                                                                                                       
Nombor Faksimile : (603) 6203 1745
E-mel : alltps@miti.gov.my

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
16 Oktober 2014