Tulisan bertajuk “Apa dah jadi tabung belia ini?” yang disiarkan dalam ruangan Rencana dan Fenomena, akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 Mei, 2012 adalah dirujuk.
Terima kasih kepada pihak Utusan Malaysia kerana memberi peluang kepada SME Bank untuk menjelaskan secara penuh, perkara – perkara yang telah disentuh oleh penulis surat tersebut.
Pihak SME Bank juga mengucapkan terima kasih kepada penulis iaitu Siswazah Hampa di atas pemerhatian dan komen beliau. Kesungguhan Siswazah Hampa untuk menyahut seruan Kerajaan dengan berazam menjadi seorang usahawan adalah satu sifat yang terpuji.
Walau bagaimanapun, sementara kita bersedia menerima teguran dan saranan sebagai sebahagian dari usaha penambahbaikan, pihak SME Bank juga ingin memberi sedikit penjelasan bertujuan untuk berkongsi maklumat dan memperbaiki beberapa fakta yang didapati kurang tepat.
PERTAMA
Kenyataan Yang Berbahagia Datuk Mohd Radzif bin Mohd Yunus di dalam akhbar yang sama, bukanlah jawapan kepada surat Siswazah Hampa
Kenyataan beliau adalah sebahagian dari temuramah bersama Utusan Malaysia yang telahpun diadakan lebih awal. Intipatinya ialah menyeru semua usahawan yang membuat pinjaman agar membayar balik pinjaman mereka supaya bayaran balik pinjaman dapat digunakan untuk membantu lebih ramai usahawan lain pula.
Membayar balik pinjaman adalah termaktub di dalam ‘aqad perjanjian di antara peminjam dengan SME Bank. Kenyataan ini juga bersifat adil kerana ianya berkaitan dengan keupayaan kami untuk membangun secara mampan ( sustainable ) yang menjadi salah satu teras kepada Model Ekonomi Baru (NEM).
Tulisan yang berdasarkan hasil temuramah tersebut bukanlah jawapan kepada surat Siswazah Hampa. Kebetulan ianya disiarkan pada hari yang sama.
KEDUA
Program Inkubator Usahawan Siswazah (PIUS) anjuran SME Bank dikatakan gagal membantu
Kenyataan ini kurang tepat.
Objektif PIUS ialah untuk membudayakan bidang keusahawanan di kalangan siswazah agar lebih ramai usahawan siswazah dapat dilahirkan melalui khidmat sokongan seperti program latihan, bimbingan dan khidmat nasihat yang dianjurkan oleh SME Bank. Para peserta diberi kursus dan pendedahan tentang segala aspek perniagaan dan keusahawanan.
Program PIUS adalah program pembudayaan dan bukan diadakan untuk melayakkan pesertanya mendapat pinjaman secara automatik.
Selain menganjurkan Program PIUS, SME Bank turut membantu Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dalam penganjuran Program Skim Usahawan Siswazah (SUS).
Peserta kedua – dua Program iaitu PIUS mahupun SUS, akhirnya akan membuat permohonan (sekiranya mereka berminat) dengan mengemukakan Rancangan Perniagaan masing-masing dan dokumen yang berkaitan secara lengkap, untuk mendapatkan pinjaman dari satu tabung yang sama iaitu Tabung Usahawan Siswazah (TUS) bagi memenuhi impian mereka untuk menjadi usahawan.
Bilangan permohonan pinjaman dari TUS telah meningkat setiap tahun iaitu 11 (2010) kepada 69 (2011) dengan nilai kelulusan sebanyak RM 1.26 juta (2010) dan RM 9.6 juta (2011).
Malah sepanjang empat bulan pertama tahun 2012, 57 permohonan telah diluluskan dengan nilai kelulusan sebanyak RM 8.9 juta.
Bagi tahun 2012 ini juga, sebanyak RM 41 juta telah diperuntukkan untuk TUS.
KETIGA
SME Bank didakwa menjanjikan bantuan perniagaan sebanyak RM 500,000 tanpa cagaran secara automatik kepada peserta mengikuti PIUS.
SME Bank tidak pernah menjanjikan bantuan perniagaan sebanyak RM 500,000 tanpa cagaran secara automatik kepada peserta yang mengikuti program latihan sepertimana didakwa oleh Siswazah Hampa.
Setiap peserta PIUS dikehendaki mengikuti latihan keusahawanan selama 4 hari dengan dikenakan bayaran sebanyak RM 300 (Tiga Ratus Ringgit) seorang. Bayaran ini berupa yuran kursus, makan dan minum selama 4 hari termasuk khidmat bimbingan oleh Kaunselor Perniagaan sepanjang tiga bulan. Perkara ini telah dimaklumkan awal.
Setelah mengikuti kursus, para peserta diminta untuk menyiapkan Rancangan Perniagaan (RP) masing-masing dalam tempoh tiga bulan. 5 Kaunselor Perniagaan disediakan untuk membantu dan membimbing para peserta sepanjang tempoh tersebut.
Kaunselor Perniagaan bukanlah konsultan. Mereka ditugaskan membantu peserta dalam menyedia dan menyiapkan RP. Mereka juga tiada kuasa pemutus untuk menentukan samada permohonan peserta lulus ataupun tidak. Kelulusan tetap bergantung kepada projek yang dicadangkan itu adalah berdaya maju serta tertakluk kepada penilaian kredit.
Mereka yang mengikuti PIUS tidak dijanjikan untuk mendapat pinjaman secara automatik. Sekiranya ada pihak lain yang menjanjikan kelulusan secara automatik setelah mengikuti PIUS, ianya di luar pengetahuan SME Bank.
KEEMPAT
SME Bank dikatakan tidak menggalakkan bidang francais
Kenyataan ini juga tidak tepat. Dari tahun 2007 hingga April 2012, SME Bank telah meluluskan 97 permohonan perniagaan francais dengan jumlah kelulusan sebanyak RM 45.7 juta.
KELIMA
Usaha – usaha penambahbaikan
SME Bank komited dalam menjayakan agenda kerajaan untuk mewujudkan usahawan siswazah dengan mengadakan program usahasama dengan beberapa IPTA. Ini bertujuan supaya lebih ramai siswazah mendapat manfaat dari dana TUS.
SME Bank juga sentiasa terbuka menerima teguran dan saranan yang disampaikan melalui saluran yang betul demi mempertingkatkan perkhidmatannya kepada pelanggan. Tindakan tegas telah dan akan diambil terutamanya yang melibatkan soal integriti dan profesionalisma tatalaku kakitangannya.
PENUTUP
SME Bank ialah sebuah institusi kewangan pembangunan (DFI) dan bukannya sebuah bank komersil. Mandat penubuhan yang diberikan oleh kerajaan ke atasnya sangat khusus iaitu untuk membimbing dan membangunkan usahawan negara.
SME Bank sentiasa berusaha menambahbaik perkhidmatan kami agar amanah ini dapat dilaksanakan dengan berkesan terutamanya dalam membantu membangunkan usahawan Bumiputera.
Justeru SME Bank sangat prihatin dengan tulisan Siswazah Hampa yang dikatakan sedih mengenangkan nasib akibat pelbagai janji manis yang didakwanya diterima dari pelbagai pihak.
SME Bank ingin menjemput Siswazah Hampa untuk datang dan berjumpa kami seperti nama yang tertera di bawah atau berhubung terus dengan Pejabat Pengarah Urusan bagi berbincang dan mendapatkan penjelasan lanjut.
Perjalanan untuk membimbing dan membangunkan usahawan negara tiada noktah dan kami mengajak Siswazah Hampa untuk menjadi sebahagian dari perjalanan ini.
Sekian, terima kasih.
Ahmad Ikram bin Abdullah
Ketua Komunikasi Korporat dan Penjenamaan
SME Bank
Last Updated 2015-05-14 12:00:39 by admin2