Untitled Document

Kenyataan Akhbar : Permulaan Penyiasatan Anti-Lambakan Mengenai Import Cold Rolled Stainless Steel Yang Berasal Atau Dieksport Dari Chinese Taipei, Perancis, Hong Kong, Jepun, Republik Rakyat China, Republik Finland, Republik Indonesia, Republik Korea Dan Republik Sosialis Viet Nam

Kerajaan Malaysia telah menerima satu petisyen daripada pengeluar tempatan bagi mengenakan duti anti-lambakan ke atas pengimportan cold rolled stainless steel (CRSS).Pempetisyen mendakwa CRSS yang berasal atau dieksport dari Chinese Taipei, Perancis, Hong Kong, Jepun, Republik Rakyat China, Republik Finland, Republik Indonesia, Republik Korea dan Republik Sosialis Viet Nam yang dibawa masuk ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut. Pempetisyen mendakwa lambakan import telah menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan di Malaysia.

Pempetisyen mendakwa bahawa jumlah import dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi jumlah kuantiti mutlak dan memberi kemudaratan material kepadanya. Kerajaan telah menentukan bahawa terdapat bukti yang cukup bagi lambakan dan kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya. Oleh itu, Kerajaan telah memutuskan untuk memulakan suatu penyiasatan awal ke atas import CRSS dari negara-negara tersebut.

Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, satu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan. Sekiranya penentuan awal didapati afirmatif, maka Kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan mengikut kadar yang ditetapkan untuk memastikan tiada kemudaratan yang berterusan.

Sehubungan ini, MITI akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan (pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan). Lain-lain pihak berkepentingan juga boleh mendapatkan borang soal selidik tersebut selewat-lewatnya pada 14 Mei 2015. Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada atau sebelum 28 Mei 2015. Sekiranya tiada maklumat tambahan diterima dalam tempoh yang ditetapkan, pihak Kerajaan boleh membuat penentuan awal berdasarkan fakta yang sedia ada.

 

Sebarang maklumat lanjut mengenai penyiasatan ini boleh didapati dengan menghubungi:

Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 14, Blok 8, Kompleks Pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
MALAYSIA

Nombor Telefon : (603) 6200 0111/0112
Nombor Faksimile : (603) 6201 6394
E-mel : alltps@miti.gov.my

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Kuala Lumpur, Malaysia
28 April 2015