Mukhriz Tun Mahathir (dua kiri) diiringi Arthur Haycox melihat pekerja Kumpulan A&E melakukan demonstrasi menampal Termo Plastik Coating pada paip besi untuk melindunginya daripada berkarat selepas merasmikan Ibu Pejabat Kumpulan A&E di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 25 Jan. – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersedia mendengar sebarang cadangan daripada pihak industri mengenai mekanisme baru pemberian subsidi minyak yang akan dilaksana 1 Mei ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, cadangan itu bertujuan memastikan mekanisme baru tidak memberi kesan yang negatif kepada persekitaran ekonomi selain melemahkan sentimen pasaran.
Jelasnya, MITI kini berusaha mendapatkan maklum balas tentang pelaksanaan mekanisme yang memberikan subsidi berdasarkan kapasiti enjin kenderaan.
‘‘Kita mahu mendapatkan ketetapan mekanisme terbaik untuk pemain industri di negara ini.
‘’Kita sentiasa terbuka kepada semua maklum balas dan sekiranya maklum balas itu bernas, kita akan memperhalusi semula sebarang dasar berkaitan,’’ katanya selepas merasmikan ibu pejabat baru Kumpulan A&E di sini hari ini.
Hadir pada majlis ialah Pengerusi A&E Group, Mazlan Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Arthur Haycox.
Kumpulan A&E memulakan operasi ibu pejabat bersepadu, pengilangan dan latihan kemudahannya di sini yang dianggarkan bernilai RM30 juta.
Kumpulan berkenaan merupakan syarikat tempatan yang ditubuhkan pada 2005 yang lalu.
Pelaksanaan dua harga petrol untuk rakyat tempatan dan bukan warganegara akan bermula 1 Mei ini bagi memastikan bantuan subsidi bahan api itu sampai kepada golongan sasaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata, harga petrol subsidi hanya diberikan kepada rakyat tempatan yang menggunakan kenderaan mengikut kapasiti enjin ditetapkan.
Katanya, bagi rakyat tempatan yang enjin kenderaan mereka melebihi had kapasiti yang ditetapkan, golongan itu akan membayar harga petrol mengikut harga pam tanpa subsidi.
Subsidi petrol akan dikekalkan walaupun selepas 1 Mei untuk kumpulan sasaran iaitu warganegara yang berpendapatan rendah dengan menggunakan MyKad.
--Utusan
Last Updated 2015-05-14 12:00:50 by admin2