Tujuan menubuhkan perundangan Timbal Balas dan Anti-Lambakan Malaysia ialah untuk memberi kuasa kepada Pihak Berkuasa untuk mengambil langkah-langkah remedi terhadap perdagangan tidak adil oleh pembuat/pengeksport asing dan untuk memberikan satu rangka kerja untuk menyiasat pendakwaan kerugian yang disebabkan oleh lambakan atau import yang diberi subsidi.

Hak dan obligasi antarabangsa Malaysia dalam perkara ini dikuasai oleh keanggotaannya dalam Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) dan oleh Perjanjian WTO terhadap Anti-Lambakan dan Subisidi & Langkah-langkah Timbalbalas.

LAMBAKAN DAN SUBSIDI - ADAKAH ANDA TERJEJAS ?

Sekiranya anda terbabit dalam sebuah industri Malaysia, mengeksport kepada Malaysia atau seorang pengimport di Malaysia, maka anda perlu mengetahui tentang lambakan dan subsidi untuk memudahkan anda memahami perundangan Timbal Balas dan Anti-Lambakan Malaysia.

Apakah lambakan ?

Lambakan berlaku apabila "harga eksport" produk di Malaysia adalah kurang daripada "nilai normal" produk yang sama atau "serupa" dalam pasaran domestik di negara eksport/asal.

Dalam kata lain, lambakan ialah suatu diskriminasi harga antarabangsa yang melaluinya sebuah syarikat mengenakan harga yang lebih tinggi di pasaran domestik daripada di pasaran eksport.

Harga Eksport - apakah maknanya ?

Harga eksport ialah harga sebenar yang dibayar atau yang kena dibayar bagi "barang niaga subjek". Dalam kes di mana tidak terdapat harga eksport atau di mana harga eksport kelihatan tidak boleh dipercayai disebabkan oleh perhubungan atau terdapat perkiraan pampasan antara pengeksport dengan pengimport atau pihak ketiga, maka harga eksport boleh dibina atas asas harga barang niaga subjek itu mula-mula dijual semula kepada pembeli bebas.

Apakah "barang niaga subjek" ?

Di bawah perundangan Malaysia, "barang niaga subjek" bermakna kelas atau jenis barang niaga yang diimport atau dijual bagi tujuan diimport ke dalam Malaysia yang menjadi subjek terhadap apa-apa tindakan duti Timbal Balas atau Anti-Lambakan di bawah Akta 504.

Apakah "produk serupa" ?

Di bawah perundangan Malaysia, "produk serupa" bermakna satu produk yang sama atau serupa dalam semua segi dengan barang niaga subjek, dan boleh termasuk apa-apa produk lain yang mempunyai ciri-ciri fizikal, teknikal atau kimia, penerapan atau penggunaan yang menyerupai barang niaga subjek.

Apakah Nilai normal

Nilai normal ialah harga yang dibayar dalam perjalanan biasa perniagaan dalam pasaran domestik negara eksport. Jualan yang diguna untuk memastikan nilai normal mestilah menguntungkan dan tidak terjejas oleh apa-apa perhubungan antara pembeli dan penjual.

Meskipun demikian, di mana tidak terdapat jualan dalam pasaran domestik negara yang mengeksport atau apabila penjualan tersebut tidak membenarkan perbandingan yang betul, nilai normal boleh dipastikan berasaskan:

  • jualan kepada pelanggan yang sesuai di negara ketiga oleh pembuat/pengeksport; atau
  • kos pengeluaran termasuk jumlah yang munasabah untuk kos pentadbiran, jualan dan am dan untung. Semua kos dan untung lazimnya dikira berasaskan data sebenar yang ditanggung oleh pembuat/pengeksport di negara asal/eksport.

Perhatian !!!

Tidak dapat tidak, ada perbezaan dalam keadaan eksport dan jualan domestik yang memberi kesan kepada perbandingan harga seperti syarat dan terma jualan, pencukaian, kuantiti dan ciri-ciri fizikal. Oleh yang demikian, untuk membuat perbandingan yang saksama antara nilai normal dengan harga eksport, perbezaan-perbezaan ini diambil kira bagi setiap kes atas meritnya. Hanya selepas pelarasan-pelarasan ini dibuat barulah ada perbandingan yang saksama antara nilai normal dan harga eksport yang lazimnya dibandingkan pada tahap perdagangan yang sama dan berhubung dengan jualan yang dibuat pada waktu yang sesama mungkin.

Apakah Margin Lambakan dan Duti Anti-Lambakan ?

Margin lambakan ialah perbezaan antara nilai normal dengan harga eksport di mana duti Anti-Lambakan merupakan satu langkah yang dikenakan untuk mengimbangi kesan lambakan. Duti Anti-Lambakan biasanya diasaskan pada margin lambakan yang dikira. Persamaannya ditunjukkan di bawah :

MARGIN LAMBAKAN (ML) = NILAI NORMAL (NN) - HARGA EKSPORT (HE)
atau
{sebagai peratusan (%) harga eksport}

ML = NN - HE x 100%
--------
HE

Apakah subsidi dan Duti Timbal Balas ?

Pemberian subsidi berlaku apabila kerajaan negara pengeksport atau negara asal memberikan bantuan kewangan kepada pembuat/pengeksport domestik mereka yang secara langsung atau tidak langsung menguntungkan pengeluaran, pertumbuhan, pemprosesan, pembelian, pengedaran, pengangkutan, penjualan atau eksport produk. Subsidi itu boleh merupakan hasil daripada apa-apa skim, program atau amalan yang diberikan atau dilaksanakan oleh sebuah kerajaan seperti pinjaman, pemberian dan insentif cukai. Langkah-langkah yang dikenakan untuk mengelak kerugian daripada import yang diberi subsidi dikenali sebagai duti Timbal Balas.

Apakah kerugian material ?

Kerugian material berlaku apabila industri Malaysia telah mengalami atau terancam dengan kerugian yang besar kepada perniagaannya atau syarikat sebuah industri Malaysia terjejas dengan teruknya. Ada banyak cara untuk menunjukkan kerugian material yang dialami oleh industri Malaysia tetapi amnya ia dikategorikan kepada kesan harga, kesan jumlah dan kesan keuntungan.

Kesan Harga - apakah maknanya ?

Kesan import yang dilambak atau diberi subsidi terhadap harga-harga produk serupa dalam pasaran domestik dalam bentuk perletakan harga rendah, kemelesetan harga atau penyekatan harga.

Perletakan harga rendah berlaku apabila import yang dilambak atau diberi subsidi diletak pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan industri Malaysia .

Kemelesetan harga berlaku apabila industri Malaysia terpaksa mengurangkan harga jualannya untuk bersaing dengan import yang dilambak atau diberi subsidi.

Penyekatan harga berlaku apabila industri Malaysia tidak berupaya untuk menaikkan harga jualannya sejajar dengan kenaikan dalam kos pengeluarannya. Dalam konteks ini, margin antara kos dengan harga diturunkan.

Kesan jumlah - apakah maknanya ?

Akibat daripada import yang dilambak atau diberi subsidi terhadap pasaran Malaysia berkaitan dengan faktor-faktor ekonomi seperti kerugian jumlah dari segi kehilangan atau potensi untuk kehilangan jumlah jualan atau bahagian pasaran.

Kesan keuntungan - apakah maknanya ?

Kesan keuntungan yang lebih kurang yang mungkin hasil daripada tekanan menurun ke atas harga, pengurangan dalam jumlah jualan atau ketidakupayaan untuk menyerap kenaikan dalam kos.

Perhatian !!!

Selain daripada faktor-faktor utama di atas, terdapat banyak faktor ekonomi yang relevan yang boleh dipertimbangkan berhubung dengan industri Malaysia . Ini mungkin termasuk pengurangan dalam guna tenaga dan tahap upah, tahap pengeluaran, penggunaan keupayaan, pesanan hadapan, pulangan pelaburan, aliran tunai, keupayaan untuk memperoleh modal, pelaburan, pemegangan inventori yang meningkat disebabkan oleh kekurangan jumlah jualan dan tekanan harga.

Perlu ditekankan bahawa industri domestik yang terjejas mesti membuktikan bahawa kerugian material disebabkan oleh import yang dilambak/diberi subsidi, umpamanya kemerosotan dalam bahagian pasaran mesti ada kaitan langsung dengan peningkatan bahagian pasaran import yang dilambak/diberi subsidi.

Apakah tindakan yang boleh diambil ?

Langkah-langkah Anti-Lambakan atau Timbal Balas boleh dikenakan ke atas import yang dilambak atau diberi subsidi apabila industri Malaysia yang berkenaan boleh menunjukkan bahawa import yang dilambak atau diberi subsidi itu telah menyebabkan, atau mengancam untuk menyebabkan kerugian material kepada industri domestik yang mengeluarkan produk serupa atau telah membantut perniagaan industri tersebut secara material.

Bagaimanakah ini akan menjejaskan pengimport dan pembuat/pengeksport?

Dalam menasihati pengimport dan pembuat/pengeksport tentang pemulaan siasatan, Pihak Berkuasa Penyiasatan juga akan mengedar sekumpulan borang soal selidik untuk memperoleh maklumat tertentu tentang transaksi eksport dan import.

Maklumat ini diperlukan dalam tempoh tertentu, biasanya dalam tempoh 37 hari dari notis pemulaan. Selepas itu Pihak Berkuasa Penyiasatan mungkin melawat premis pengimport dan pembuat/pengeksport untuk mengesahkan maklumat yang diberikan ketika menjawab borang soal selidik itu.

Siasatan yang melibatkan pembuat/pengeksport lazimnya berkenaan penilaian nilai normal dan menentukan sama ada wujud lambakan/pemberian subsidi, sementara siasatan yang melibatkan pengimport bertujuan untuk menentukan harga eksport dan sama ada semua kos didapati semula dalam jualan produk yang dimport itu dalam pasaran Malaysia .

Siapakah yang boleh mengemukakan petisyen Anti-Lambakan?

Apabila sebuah industri Malaysia berpandangan bahawa terdapat bukti tentang subsidi dan/atau lambakan dan bahawa subsidi dan/atau lambakan itu menyebabkan kerugian, satu petisyen bertulis boleh dikemukakan untuk memulakan proses Timbal Balas dan/atau tindakan Anti-Lambakan kepada Pihak Berkuasa Penyiasatan MITI. Perlu diambil perhatian bahawa sekadar dakwaan semata-mata, dengan tidak disokong oleh bukti yang relevan, tidak boleh dianggap sebagai memadai untuk memenuhi keperluan petisyen berdokumen yang betul.

Di bawah perundangan Malaysia , satu petisyen bertulis mesti difailkan oleh atau bagi pihak industri domestik dan harus mengandungi bukti lambakan yang memadai (atau dalam kes tindakan Timbal Balas, bukti tentang import yang diberi subsidi), kerugian dan perhubungan sebab akibat antara import yang dilambak (atau yang diberi subsidi) dengan kerugian yang dikatakan itu.

Dalam konteks ini petisyen itu mesti menunjukkan bahawa petisyen itu disokong oleh pengeluar domestik yang output/pengeluaran mereka secara kolektifnya membentuk lebih daripada 50% jumlah pengeluaran pengeluar domestik itu dengan menyatakan sama ada menyokong atau menentang petisyen itu dan pengeluar domestik yang menyokong petisyen itu merupakan 25% daripada jumlah pengeluaran industri domestik itu.

Apakah yang mesti dimasukkan di dalam petisyen bertulis ?

Satu petisyen bertulis mesti memberi maklumat dan bukti sokongan yang memadai yang berikut:

  • identiti pempetisyen, jumlah dan nilai pengeluarannya
  • identiti pengeluar domestik lain yang mengeluarkan produk serupa di Malaysia , jumlah dan nilai pengeluaran mereka
  • peraturan 50% dan 25% yang disebut di atas bahawa petisyen yang dibuat oleh atau bagi pihak industri domestik dipenuhi
  • keterangan lengkap tentang import yang dikatakan dilambak itu seperti ciri-ciri fizikal & teknikal, penggunaan & fungsi, kaedah & teknologi pembuatan, spesifikasi industri, harga, pengedaran & pemasaran dan klasifikasi tarif
  • nama negara yang dikatakan itu, iaitu negara pengeksport atau negara asal
  • identiti setiap pengeluar/pengeksport asing import yang dilambak yang diketahui
  • identiti pengimport import yang dilambak
  • anggaran nilai normal, harga eksport dan margin lambakan
  • memberi bukti tentang kerugian yang dialamai oleh industri domestik dan menunjukkan bagaimana import yang dilambak itu telah menyebabkan, atau berkemungkinan untuk menyebabkan kerugian material atau membantut perniagaan industri tersebut
    • analisa tentang evolusi jumlah import barang niaga subjek itu. Dalam konteks ini tunjukkan sama ada terdapat peningkatan yang ketara dalam import yang dilambak sama ada secara mutlak atau relatif dengan pengeluaran atau penggunaan di Malaysia.
    • analisa tentang kesan import yang dilambak ke atas harga produk serupa dalam pasaran Malaysia, iaitu sama ada terdapat perletakan harga rendah yang ketara, kemelesetan harga atau penyekatan harga
    • analisa tentang akibat import yang dilambak terhadap industri domestik, iaitu sama ada industri domestik mengalami daripada kekurangan sebenar atau potensi kekurangan dalam jualan, bahagian pasaran, untung, output, produktiviti, pulangan pelaburan atau penggunaan keupayaan dan sama ada industri domestik itu mengalami kesan negatif sebenar atau potensi kesan negatif ke atas aliran tunai, inventori, guna tenaga atau upah.

Perhatian !!!

Ada sedikit perbezaan dalam maklumat yang diperlukan dalam sebuah permohonan untuk tindakan Timbal Balas. Oleh kerana nilai normal hanya relevan untuk lambakan, permohonan yang mendakwa pemberian subsidi tidak perlu menunjukkan nilai normal produk. Sebaliknya, permohonan perlu menunjukkan bagaimana cara subsidi beroperasi dan berapa banyak subsidi diperuntukkan terhadap produk yang dieksport ke Malaysia.

Bagaimanakah tanya siasat/siasatan berjalan ?

Lazimnya, tanya siasat/siasatan mempunyai empat fasa :

  • Fasa pra-penyerahan yang mana ketika ini pemohon/pempetisyen menyediakan borang penyerahan mereka
  • Tanya siasat prima facie di mana Pihak Berkuasa Penyiasatan menentukan sama ada fakta seperti yang dikemukakan, jika terbukti, akan membentuk sebuah kes.
  • Siasatan awal di mana Pihak Berkuasa Penyiasatan mempertimbangkan sama ada produk yang dikatakan itu dilambak/diberi subsidi dan jika demikian, sama ada lambakan/pemberian subsidi itu menyebabkan kerugian material kepada industri domestik yang membuat produk serupa itu. Dapatan yang mengiakan di peringkat ini mungkin membawa kepada langkah-langkah sementara dikenakan.
  • Siasatan akhir di mana Pihak Berkuasa Penyiasatan menentukan sama ada cadangan patut dibuat untuk mengenakan duti Anti-Lambakan atau Timbalbalas yang muktamad.

Gambaran keseluruhan empat fasa itu adalah seperti berikut :

Fasa 1 (Pra-penyerahan)

Semasa fasa pra-penyerahan, bakal pemohon/pempetisyen boleh menghubungi para pegawai Seksyen Amalan Perdagangan untuk bantuan dalam memahami keperluan petisyen bertulis.

Fasa 2 (Pemulaan)

Ini merupakan fasa prima facie . Pihak Berkuasa Penyiasatan mesti meneliti ketepatan dan kecukupan bukti yang terkandung di dalam petisyen bertulis itu dan apa-apa maklumat lain yang ada untuk menentukan sama ada benar-benar terdapat bukti yang memadai untuk memulakan siasatan. Pihak Berkuasa Penyiasatan diberi 30 hari untuk membuat keputusan sama ada untuk menerima atau menolak petisyen itu. Apabila petisyen itu diterima, Pihak Berkuasa Penyiasatan mesti memberitahu pempetisyen dan mengumumkan pemulaan siasatan itu.

Fasa 3 (Penentuan awal)

Selepas pemulaan, Kerajaan akan menjalankan siasatan penuh terhadap dakwaan lambakan atau subsidi, kerugian material dan perhubungan sebab akibat, dan membuat penentuan awal dalam tempoh 120 hari (boleh dilanjutkan sebanyak 30 hari lagi) dari tarikh penerbitan notis pemulaan siasatan. Semasa tempoh siasatan awal ini, pihak-pihak yang dikatakan itu diberi peluang untuk mempertahan kepentingan mereka dengan mengemukakan data yang relevan berkaitan dengan kes itu.

Jika terdapat penentuan awal yang mengiakan lambakan dan/atau subsidi dan mengakibatkan kerugian kepada industri domestik, duti sementara yang dikenali sebagai langkah sementara dalam bentuk jaminan bank atau draf bank boleh dikenakan ke atas import masa depan produk itu hanya jika langkah sedemikian dianggap perlu untuk menghalang terjadi kerugian semasa tempoh siasatan. Langkah-langkah sementara tidak akan dikenakan lebih awal daripada 60 hari dari tarikh pemulaan siasatan dan tempoh penggunaan langkah-langkah tersebut tidak boleh melebihi 4 bulan (boleh dilanjutkan sebanyak 30 hari lagi).

Jika penentuan awal berhubung dengan kewujudan lambakan/pemberian subsidi dan kerugian adalah negatif, Pihak Berkuasa Penyiasatan akan menerbitkan notis yang menyatakan alasan-alasan bagi penentuan negatif itu.

Fasa 4 (Penentuan akhir)

Pihak Berkuasa Penyiasatan mesti membuat satu penentuan akhir tentang lambakan/pemberian subsidi dan kerugian dalam tempoh 120 hari dari tarikh penerbitan notis penentuan awal. Semasa tempoh siasatan akhir ini, Pihak Berkuasa Penyiasatan akan menjalankan lawatan pengesahan di tapak pihak-pihak yang dikatakan itu untuk mengesahkan data yang dikemukakan untuk memastikan ketepatan dan kesesuaiannya. Siasatan itu bertujuan untuk menentukan dengan lebih lanjut dan mengesahkan lambakan, kerugian dan perhubungan sebab akibat untuk memberi justifikasi kepada penggunaan duti muktamad.

Jika terdapat penentuan akhir yang mengiakan, duti muktamad akan dikenakan bagi tempoh 5 tahun dari tarikh penerbitan notis penentuan akhir. Di mana terdapat penentuan akhir yang negatif, satu notis yang menyatakan alasan-alasan bagi penentuan negatif itu dan penamatan siasatan akan diterbitkan.

Akujanji - apakah maknanya ?

Ada peruntukan dalam perundangan Malaysia untuk Pihak Berkuasa Penyiasatan menerima akujanji oleh pembuat/pengeksport. Akujanji ialah satu perjanjian oleh pembuat/pengeksport yang dikatakan itu untuk menjalankan perdagangan eksportnya pada masa depan mengikut cara yang tidak akan menyebabkan kerugian kepada industri domestik. Di bawah GATT, akujanji hanya diterima selepas penentuan awal yang mengiakan dicapai oleh Pihak Berkuasa Penyiasatan.

Dalam kes subsidi, akujanji ialah satu perjanjian oleh kerajaan negara pengeksport untuk memansuhkan atau membataskan subsidi atau mengambil langkah-langkah lain berkenaan dengan kesannya atas pengeluar industri domestik Malaysia.

Semakan pentadbiran - apakah maknanya ?

Kedua-dua duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan hanya akan kekal berkuatkuasa selama mana dan setakat yang perlu untuk mengatasi subsidi atau lambakan yang menyebabkan kerugian kepada industri domestik. Dalam hal ini, pentadbiran Timbal Balas dan Anti-Lambakan memperuntukkan semakan pentadbiran selepas sekurang-kurangnya setahun telah berlalu dari tarikh penerbitan pengenaan duti muktamad. Semakan pentadbiran boleh dipohon dalam situasi berikut :

  • di mana berlaku perubahan dalam margin lambakan atau jumlah subsidi; atau
  • di mana duti yang dikenakan atau akujanji tidak lagi dianggap perlu atau dikekalkan.

Perlu lebih bantuan atau maklumat ?

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang hal-hal lambakan dan subsidi, sila hubungi Seksyen Amalan Perdagangan :

Telefon :  (03) 6203-3022 
ext. 3086 / 3049 / 3063 / 3073 / 3078 / 3075 / 3052
Faksimili :  (03) 6201-9920 

atau tulis kepada :

Pengarah
Seksyen Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 12, Blok 10, Komplek Pejabat-Pejabat Kerajaan
Jalan Duta, 50622 Kuala Lumpur