Perlindungan harta intelek di Malaysia terdiri daripada paten, cap dagang, rekabentuk perindustrian, hakcipta, indikasi geografik dan rekabentuk susunatur litar bersepadu. Malaysia adalah ahli kepada Pertubuhan Harta Intelek Sedunia dan penandatangan kepada Konvesyen Paris dan Konvesyen Berne yang mentadbir hak-hak harta intelek ini.
Selain itu, Malaysia adalah juga penandatangan kepada Perjanjian mengenai Aspek Berkaitan Hak-hak Harta Intelek (TRIPS) yang ditandatangani di bawah naungan Pertubuhan Perdagangan Dunia. Oleh itu, undang-undang harta intelek Malaysia adalah mematuhi piawaian antarabangsa dan menyediakan perlindungan yang mencukupi kepada kedua-dua pelabur tempatan dan asing.
1.1 Paten
Akta Paten 1983 dan Peraturan-peraturan Paten 1996 mentadbir perlindungan paten di Malaysia. Pemohon boleh mengemukakan permohonan paten secara terus sekiranya ia tinggal atau bermastautin di Malaysia. Permohonan asing hanya boleh dikemukakan melalui ejen paten berdaftar di Malaysia yang bertindak bagi pihak pemohon.
Seperti perundangan-perundangan di negara-negara lain, sesuatu ciptaan boleh dipatenkan sekiranya ia baru , melibatkan satu langkah penciptaaan dan mempunyai aplikasi perindustrian. Sejajar dengan TRIPS, Akta Paten menetapkan tempoh perlindungan kepada 20 tahun daripada tarikh mengemukakan permohonan. Di bawah Akta ini, sijil inovasi utiliti menyediakan tempoh perlindungan permulaan selama 10 tahun dari tarikh mengemukakan permohonan. Pemilik sesuatu paten berhak untuk mengeksploitasi ciptaan dipaten, menyerah hak atau mengalih tangan paten, dan mengikat kontrak berlesen.
Selaras dengan perjanjian TRIPS, di bawah skop lesen wajib, Akta itu membenarkan pengimportan produk-produk terpaten yang telahpun berada dalam pasaran negara-negara lain (pengimportan selari). Pihak Kerajaan boleh melarang eksploitasi paten secara komersil atas sebab-sebab ketenteraman awam atau moral. Peruntukan bagi Perjanjian Kerjasama patent (PCT) juga membenarkan pengimportan di bawah skop lesen wajib.
1.2 Cap Dagang
Perlindungan cap dagang ditadbir oleh Akta Cap Dagang 1976 dan Peraturan-peraturan Cap Dagang 1997.
Akta ini menyediakan perlindungan untuk cap-cap dagang dan cap-cap perkhidmatan berdaftar di Malaysia. Apabila berdaftar, tidak sesiapa pun atau syarikat selain empunya atau pengguna-pengguna dibenarkan menggunakannya. Tindakan melanggar hak boleh diambil terhadap mereka yang tidak akur. Tempoh perlindungan adalah sepuluh tahun, yang boleh diperbaharui setiap sepuluh tahun selepas itu. Empunya cap dagang atau cap perkhidmatan berhak berurusan atau menyerah hak serta melesenkan penggunaannya.
Selaras dengan TRIPS, Malaysia melarang pendaftaran cap-cap dagang yang termasyur oleh mereka yang tidak dibenarkan dan menyediakan langkah-langkah sempadan untuk melarang cap-cap dagang palsu diimport ke Malaysia.
Seperti paten, yang mana pemohon-pemohon boleh mengemukakan permohonan mereka sendiri, pemohon-pemohon asing perlu mengemukakannya melalui ejen-ejen dibenarkan.
1.3 Rekabentuk Perindustrian
Perlindungan rekabentuk perindustrian di Malaysia ditadbir di bawah Akta Rekabentuk Perindustrian 1996 dan Peraturan-peraturan Rekabentuk Perindustrian 1999. Akta ini menyediakan hak-hak rekabentuk perindustrian berdaftar sebagai harta persendirian yang boleh diserah hak dan dialih tangan mengikut operasi undang-undang.
Untuk layak didaftarkan, rekabentuk perindustrian itu mesti baru dan tidak memasukkan kaedah pembinaan atau rekabentuk yang ditentukan semata-mata oleh fungsi. Selain itu, rekabentuk artikel mesti tidak boleh bergantung kepada rupa artikel lain yang mana ia merupakan bahagian penting barang berkenaan.
Pemohon-pemohon tempatan boleh mengemukakan pendaftaran sendiri atau melalui ejen-ejen rekabentuk perindustrian berdaftar. Bagaimanapun, pemohon-pemohon asing perlu mendapatkan perkhidmatan ejen rekabentuk perindustrian berdaftar. Rekabentuk-rekabentuk berdaftar dilindung untuk tempoh permulaan lima tahun yang mana boleh dilanjutkan dua kali lagi untuk tempoh lima tahun setiap satu, menjadikan jumlah tempoh perlindungan 15 tahun.
1.4 Hak Cipta
Akta Hak Cipta 1987 menyediakan perlindungan komprehensif untuk kerja-kerja yang boleh dihakciptakan. Akta ini mengariskan jenis kerja yang layak untuk dihakcipta (yang termasuk perisian komputer), skop perlindungan, dan cara bagaimana perlindungan diberikan. Tidak ada pendaftaran kerja-kerja hak cipta.
Perlindungan hak cipta dalam kerja-kerja penulisan, muzik atau seni adalah untuk selama usia pengarangnya dan 50 tahun selepas kematiannya. Dalam rakaman suara, penyiaran dan filem, perlindungan hak cipta adalah untuk 50 tahun selepas hasil kerja diterbitan atau dibikin.
Akta ini juga menyediakan perlindungan untuk hak-hak pementasan dalam sesuatu pementasan langsung yang mana hak ini berterusan untuk 50 tahun bermula dari tahun takwim berikutan tahun dalam mana pementasan langsung diadakan.
Satu ciri unik Akta ini adalah terdapatnya satu peruntukan yang dimasukkan untuk penguatkuasaannya. Satu pasukan pegawai-pegawai khas dilantik untuk menguatkuasakan Akta ini dan mereka diberi kuasa untuk memasuki premis-premis yang disyaki menyimpan salinan-salinan tiruan dan mengeledah dan menyita salinan-salinan tiruan dan cetak rompak. Mereka juga berkuasa untuk menangkap tanpa waran.
1.5 Rekabentuk Susunatur Litar Bersepadu
Akta Rekabentuk Susunatur Litar Bersepadu 2000 menyediakan perlindungan bagi rekabentuk-rekabentuk susunatur litar bersepadu berdasarkan keaslian, ciptaan perekanya sendiri dan hakikat bahawa ciptaan dibuat secara bebas. Tidak ada pendaftaran bagi rekabentuk sususnatur litar bersepadu.
Tempoh perlindungan adalah selama10 tahun dari tarikh eksploitasi komersil atau 15 tahun dari tarikh penciptaan sekiranya tidak diekploitasi secara komersil. Akta juga membenarkan tindakan diambil oleh pemilik sekiranya hak sedemikian yang diiktiraf di Akta ini dilanggar. Hak ini boleh di pindahkan sama ada sebahagian daripadanya atau keseluruhannya secara penyerahan hak, pelesenan, wasiat atau melalui penguatkuasaan undang-undang.
Akta ini dilaksanakan mengikut perjanjian TRIPS untuk menyediakan jaminan kepada para pelabur dalam industri elektronik Malaysia dan untuk mempastikan pertumbuhan teknologi dalam negara ini.
1.6 Indikasi Geografik
Akta Indikasi Geografik 2000 menyediakan perlindungan setelah barang-barang didaftarkan mengikut nama tempat di mana barang-barang itu dikeluarkan. Perlindungan adalah untuk barang-barang seperti wain, keluaran pertanian dan kraftangan. Indikasi geografik yang bertentangan dengan peraturan awam atau tatasusila tidak akan dilindung di bawah Akta ini. Tindakan, denda dan langkah pembetulan yang akan diambil berhubung dengan pelanggaran hak-hak indikasi geografik adalah serupa dengan apa yang dilakukan untuk cap-cap dagang.
Maklumat lanjut mengenai perlindungan harta intelek boleh diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (lihat Alamat-alamat Berguna – Kementerian-Kementerian) untuk butir-butir perhubungan.
Last Updated 2015-05-14 12:00:54 by admin2