Pemimpin-pemimpin dari 12 negara Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) telah bertemu di Beijing, China pada 10 November 2014. Mesyuarat itu telah didahului oleh Mesyuarat Menteri-Menteri Perdagangan yang berlangsung pada 8 November.
Para pemimpin telah membincangkan Laporan Menteri-Menteri TPP yang mengutarakan status rundingan dan isu-isu tertunggak yang perlu ditangani. Ini termasuk isu sensitif berkenaan agenda Bumiputera, hak harta intelek, alam sekitar dan syarikat hak milik negara (State-Owned Entreprises).
Semua pemimpin bersetuju bahawa usaha perlu dipertingkatkan lagi untuk memuktamadkan rundingan.
YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak telah menegaskan bahawa keutamaan Malaysia adalah untuk memastikan bahawa komitmen dalam TPPA tidak akan menjejaskan dasar afirmatif negara. Beliau juga menegaskan bahawa hasil rundingan hanya akan diterima jika ianya mengambilkira kepentingan Negara dan memberi manfaat kepada Malaysia.
Malaysia telah mencapai kemajuan yang baik dengan hampir semua rakan dagang dalam rundingan akses pasaran. Penilaian awal menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada perdagangan Malaysia akan diberikan kemudahan pelepasan cukai serta merta setelah perjanjian mula berkuatkuasa.
Malaysia akan terus meningkatkan konsultasi dengan semua pihak berkepentingan untuk mengurangkan kebimbangan dalam isu-isu sensitif yang termaktub dalam TPPA. Ini termasuk mendapatkan persetujuan daripada Parlimen bagi memastikan bahawa keputusan akhir dapat memberikan manfaat yang terbaik untuk Malaysia.
10 November 2014
Beijing, China
Last Updated 2015-05-14 12:00:55 by admin2