Latar Belakang
- Rangka Kerja bagi Perkongsian Ekonomi Komprehensif ( Comprehensive Economic Partnership - CEP) antara ASEAN dan Jepun telah ditandatangani oleh Ketua-ketua Negara ASEAN dan Jepun pada 8 Oktober 2003 di Bali semasa Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun.
Skop
- Perjanjian AJCEP adalah komprehensif dan termasuk Perdagangan Barangan dan bab-bab berasingan bagi Perkhidmatan, Pelaburan, Syarat Tempasal ( Rules of Origin - ROO), Sanitasi dan Fitosanitasi ( Sanitary and Phyto-Sanitary - SPS), Halangan-halangan Teknikal kepada Perdagangan ( Technical Barriers to Trade - TBT), Mekanisme Penyelesaian Pertikaian ( Dispute Settlement Mechanism - DSM) dan Kerjasama Ekonomi .
- Bagi Perkhidmatan dan Pelaburan, Perjanjian AJCEP memperuntukkan klausa yang membolehkan perbincangan diadakan pada masa hadapan oleh Jawatankuasa Kecil yang akan ditubuhkan selepas Perjanjian ini ditandatangani.
Status
- Rundingan ke atas Perjanjian AJCEP yang bermula pada April 2005 telah dimuktamadkan pada Disember 2007.
- Negara-negara Anggota ASEAN dan Jepun telah menyempurnakan proses menandatangani Perjanjian AJCEP secara edaran pada 14 April 2008, tarikh di mana Malaysia menandatanganinya.
- Perjanjian ini akan berkuatkuasa selepas Jepun dan salah satu Negara Anggota ASEAN memaklumkan Kerajaan-kerajaan pihak lain secara bertulis bahawa proses penggubalan enakmen berkaitan pelaksanaan AJCEP telah selesai. Ianya dijangka akan berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2008.
- Walaupun AJCEP ini adalah berdasarkan Perjanjian-perjanjian Perkongsian Ekonomi ( Economic Partnership Agreements - EPAs) dua hala yang ditandatangani oleh Jepun dengan Negara-negara Anggota ASEAN secara individu, termasuk dengan Malaysia, namun di bawah AJCEP terdapat nilai ditambah yang substantif ke atas perjanjian-perjanjian dua hala ini.
Faedah
- Jepun merupakan rakan dagang utama ASEAN. Pada 2006, perdagangan ASEAN dengan Jepun meningkat kepada US$163.1 bilion dari US$154 bilion pada 2005. Jumlah perdagangan Malaysia dengan Jepun juga telah meningkat secara signifikan dari RM60 bilion pada 1994 kepada RM120.7 bilion pada 2007. Jepun dengan Keluaran Negara Kasar (KNK) per kapita sebanyak US$34,188 terus menjadi pasaran penting bagi ASEAN dan Malaysia.
-
FTA antara ASEAN dan Jepun juga akan mengukuh dan memperdalamkan integrasi ekonomi serta bantu membina kapasiti ASEAN melalui perkongsian sumber-sumber dan kemahiran yang ada.
-
FTA ini akan membolehkan ASEAN dan Jepun berkongsi sumber-sumber besar dan luas yang ada melalui j alinan kerjasama bagi mempromosikan pertumbuhan kedua-dua industri perkilangan dan perkhidmatan.
-
Bagi Malaysia, AJCEP akan memberi faedah tambahan dari segi penghapusan duti import barangan yang segera dan dipercepatkan berbanding liberalisasi progresif di bawah JMEPA. Eksport barangan kimia dan petrokimia, plastik dan tekstil dijangka meningkat di bawah AJCEP.
- Selain itu, bina upaya dalam kerjasama ekonomi di bawah AJCEP juga diperluaskan meliputi :
- Prosedur-prosedur berkaitan Perdagangan;
- Suasana Perniagaan;
- Tenaga;
- Pengangkutan dan Logistik; dan
- Dasar Persaingan.
Untuk maklumat lanjut mengenai AJCEP, termasuk Perjanjian dan jadual-jadual barangan yang ditawarkan untuk konsesi tarif oleh Negara-negara Anggota ASEAN dan Jepun, sila klik Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif ASEAN-Jepun (AJCEP).
Last Updated 2015-05-14 12:01:07 by admin2