Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ingin merujuk kepada sebuah artikel dalam Nanyang Siang Pau bertarikh 13 Mei 2013 bertajuk “Malaysians Consume Expensive Sugar at RM2.50”. Di dalam artikel tersebut penulis telah membangkitkan beberapa isu berhubung dengan harga gula bertapis di Malaysia yang tinggi, kontrak jangka panjang dan pengeluaran gula yang dimonopolikan oleh 5 syarikat.


Isu 1: Rakyat Malaysia Membayar Harga Gula Bertapis Yang Lebih Tinggi Berbanding Rakyat Di Negara-Negara Jiran Walaupun Harga Gula Mentah Di Peringkat Antarabangsa Telah Turun

Pada masa ini, harga gula bertapis di Malaysia adalah lebih rendah berbanding dengan Indonesia, Singapura dan Filipina dan lebih tinggi sedikit berbanding dengan Thailand kerana Thailand merupakan salah sebuah negara pengeluar gula mentah dunia.  

 

Singapura   :         RM4.00/kg
Indonesia    :         RM3.10-RM4.00/kg
Filipina         :         RM3.00-RM4.00/kg
MALAYSIA :        RM2.50/kg
Thailand      :         RM2.32/kg

 

Harga gula bertapis di Malaysia tidak dipengaruhi oleh harga pasaran gula mentah di peringkat antarabangsa kerana gula bertapis adalah dikategorikan sebagai barang keperluan yang dikawal harganya di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan, 2011 dan Akta Kawalan Bekalan, 1961. Ini adalah bertujuan untuk memastikan kestabilan harga dan bekalan barang keperluan kepada rakyat.

 

Isu 2: Harga Di Bawah Kontrak Jangka Panjang Lebih Tinggi Daripada Harga Di Pasaran Antarabangsa

Malaysia mengimport gula mentah sebagai bahan mentah bagi menghasilkan gula bertapis. Memandangkan harga gula mentah sentiasa berubah di pasaran antarabangsa, Kerajaan telah melaksanakan mekanisme Kontrak Jangka Panjang (Long Term Contract-LTC) sejak 1975 bagi memastikan gula mentah terjamin dari segi bekalan dan harga.


Pada tahun 2011, Kerajaan telah memuktamadkan LTC bagi tempoh 3 tahun (2012 – 2014) pada harga purata USD0.26/lb Cost & Freight (C&F) walaupun pada masa itu harga gula mentah C&F antarabangsa adalah di antara USD0.27/lb – USD0.29/lb. Harga LTC yang dimuktamadkan telah dipersetujui oleh kesemua pengilang gula tempatan dan pembekal gula mentah antarabangsa. Peranan Kerajaan dalam LTC adalah untuk memastikan bekalan gula mentah sentiasa mencukupi untuk diproses oleh pengilang-pengilang tempatan.


Di bawah LTC sekarang, 65% daripada keperluan gula mentah untuk menghasilkan gula bertapis negara dipenuhi oleh LTC. Setiap pengilang diberi kuota yang sama iaitu 75% daripada keperluan gula mentah syarikat. Oleh itu, dakwaan penulis yang menyatakan bahawa setiap syarikat diperuntukkan kuota LTC yang berbeza adalah tidak benar.


Kerajaan mengambil maklum bahawa harga komoditi gula mentah antarabangsa pada masa ini menunjukkan penurunan kepada USD0.19/lb C&F. Walau bagaimanapun, harga gula mentah di pasaran antarabangsa pada masa hadapan tidak dapat diramalkan kerana ia bergantung kepada faktor-faktor luaran seperti berikut:

 

  1. faktor cuaca di negara-negara pengeluar gula seperti Brazil, India dan Australia;

  2. permintaan ke atas ethanol yang mana Brazil pengeluar terbesar dunia (19%) memperuntukkan lebih 50% pengeluaran gulanya untuk penghasilan ethanol;

  3. ketidaktentuan polisi domestik negara pengeluar gula mentah; dan

  4. kos pengangkutan.

 

Bagi LTC sebelum ini (2009 – 2011), negara telah memperoleh penjimatan sebanyak RM2 bilion kerana harga LTC adalah lebih rendah berbanding dengan harga purata gula mentah untuk tempoh 3 tahun tersebut.

 

Isu 3: Isu Pengeluaran Gula Yang Dimonopolikan Oleh 5 Syarikat

Pada tahun 2009, Kerajaan telah meluluskan Lesen Pengilang baharu kepada sebuah syarikat di Sabah dan sebuah lagi di Sarawak bagi mengeluarkan gula bertapis. Kelulusan Lesen Pengilang yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak bertujuan untuk memastikan bekalan gula bertapis mencukupi di negeri-negeri berkenaan serta untuk mengurangkan jurang perbezaan harga di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.


Berhubung dengan dakwaan bahawa Kerajaan telah meluluskan Lesen Pengilang kepada Brahim Holdings dalam bulan Januari 2013, Kementerian ini ingin menjelaskan bahawa sebenarnya Brahim Holdings telah membeli saham dalam Admuda Sdn. Bhd. di Kuching, Sarawak yang telah diluluskan Lesen Pengilang pada 2009. Oleh itu, adalah tidak benar Kerajaan telah mengeluarkan Lesen Pengilang baharu kepada Brahim Holdings.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Malaysia
15 Mei 2013