"Aktiviti Perdagangan antara Malaysia dan India serta antara ASEAN dan India, masih rendah berbanding dengan rakan dialog ASEAN yang lain walaupun saiz pasarannya yang besar.
"Perdagangan dua hala yang rendah disebabkan kurangnya interaksi antara sektor perniagaan," katanya pada Forum Perniagaan ASEAN-India di sini Khamis.
Mustapa berkata kedua-dua negara perlu memanfaatkan rantaian sektor perniagaan menerusi pembabitan dalam majlis-majlis perniagaan, termasuk Majlis Perniagaan Malaysia-India dan Majlis Perniagaan ASEAN-India.
"Malaysia juga perlu terus menarik pelabur menerusi misi perdagangan dan pelaburan ke negeri yang dikenal pasti di India, dengan keutamaan kepada sektor sasaran," katanya.
Tahun lepas, Malaysia mengeksport RM9.76 bilion nilai produk ke India, dengan barangan elektrik dan elektronik menyumbang 64 peratus daripada eksport.
Import dari India pula bernilai RM4.07 bilion, dengan 42.3 peratus daripadanya membabitkan produk petroleum bertapis, kimia dan bahan kimia.
Mustapa berkata Malaysia memberi penekanan ke atas usaha untuk mengeksport perkhidmatan bagi mengukuhkan lagi sumbangan sektor ini kepada ekonomi negara.
"Perkhidmatan yang berpotensi untuk pendedahan eksport yang lebih luas terdiri daripada kejuruteraan dan seni bina," katanya.
Forum sehari anjuran Majlis Perniagaan ASEAN-India dan MITI itu menarik kira-kira 500 pemimpin industri dan korporat dari Malaysia dan India.
Last Updated 2015-08-06 10:00:19 by vox vox