Mustapha Mohamed membuat sidang akhbar mengenai mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 15 Sept. – Industri aeroangkasa Malaysia diunjurkan menjana perolehan sebanyak RM12.6 bilion pada tahun ini berbanding RM11.8 bilion yang diperoleh tahun lalu menerusi 159 syarikat.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pertumbuhan sektor berkenaan di Malaysia yang konsisten sehingga kini menyediakan kira-kira 19,500 peluang pekerjaan.
Katanya, ia seiring dengan matlamat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memfokuskan segmen aeroangkasa dan peralatan perubatan berikutan potensi yang luas.
Ujar beliau, pelaburan diluluskan bagi industri aeroangkasa di peringkat domestik dan luar negara pada 2014 bernilai RM29.4 bilion.
“Dalam usaha mempromosikan lagi industri ini dengan agresif, kami menyusun pelbagai strategi termasuk mengukuhkan hubungan dengan pengeluar peralatan tulen (OEM) seperti Airbus.
“Masalah kekurangan tenaga mahir meliputi jurutera angkasa bagi aspek sistem, reka bentuk serta pembuatan juga akan diberi perhatian,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Aeroangkasa Malaysia di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Dr. Rebecca Fatima Sta Maria dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Phang Ah Tong.
Kerajaan berharap industri aeroangkasa akan menyumbang perolehan sehingga RM55.2 bilion dan menyediakan 32,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menurut Mustapa, sektor berkenaan bukan sahaja menjanjikan peluang kepada entiti antarabangsa sebaliknya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan turut menerima manfaat.
Ujar beliau, sehingga kini kira-kira 30 PKS dalam industri aeroangkasa telah dilawati oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan lima daripadanya akan diluluskan pada tahun ini untuk dipromosikan bagi mempergiatkan penglibatan mereka.
See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/industri-aeroangkasa-diunjur-jana-rm12-6-bilion-1.136398#sthash.ZYT2YIE0.dpuf
Last Updated 2015-09-21 14:55:10 by Azuna Hasbullah atau Abd Rahman