1. YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah selesai melakukan lawatan rasmi ke Jeddah dan Riyadh dari 7-9 November 2015.
2. Sewaktu berada di sana, YB Menteri telah mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Tawfiq Al-Rabiah, Menteri Perdagangan dan Industri Arab Saudi, TYT Khalid Abdulaziz Al Falih, Menteri Kesihatan Arab Saudi dan juga Putera Khalid Al-Faisal Al Saud, Gabenor Mekah.
YB Menteri bersama TYT Tawfiq Al-Rabiah, Menteri Perdagangan dan Industri Arab Saudi
3. Dalam perjumpaan bersama dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi, kedua-dua Menteri telah mengambil maklum akan kenaikan perdagangan sebanyak 35.9% dari USD3 bilion pada tahun 2013 kepada USD4 bilion pada tahun 2014. Hubungan baik antara kedua-dua negara ini adalah perlu untuk ditingkatkan.
YB Menteri bersama Putera Khalid Al-Faisal Al Saud
4. Kedua-dua menteri telah bersetuju untuk menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama ekonomi dan perdagangan.
5. Walaupun jumlah perdagangan meningkat sebanyak 35.9%, kedua-dua menteri bersetuju bahawa potensi ini tidak dieksploitasi sepenuhnya kerana ia terhad kepada eksport barangan sektor-sektor utama seperti chemicals & chemical products (US$87.3 milion) dan rubber products (US$29.6 milion).Kedua-dua Menteri turut bersetuju agar usaha lebih gigih dilaksanakan bagi meningkatkan perdagangan dua hala.
6. Selain itu, kedua-dua menteri turut membincangkan tindakan susulan ke atas perjanjian Framework Agreement on Commercial, Investment and Technical Cooperation (FAECIT)yang ditandatangani pada 30 Januari 2011 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Kedua-dua menteri telah bersetuju untuk mengadakan perbincangan selanjutnya bagi pengaktifan semula perjanjian perdagangan bebas Malaysia-Gulf Cooperation Council (GCC). GCC meliputi negara Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Oman, Kuwait dan Yemen.Selain itu, kedua-dua menteri telah mencadangkan agar Majlis Perniagaan Malaysia-Arab Saudi perlu dirombak semula dengan melantik tokoh-tokoh perniagaan kedua-dua negara yang komited melihat pertumbuhan dalam perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.
7. Semasa kunjungan hormat ke atas Menteri Kesihatan, Arab Saudi, YB Menteri turut berkongsi maklumat syarikat-syarikat Malaysia yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan hospital. YB Menteri turut memaklumkan bahawa syarikat-syarikat Malaysia berminat untuk melabur di Arab Saudi dalam bidang perkhidmatan autopsi digital, pengurusan teknologi maklumat hospital dan peranti perubatan. Projek pengurusan kereta api di antara Mina dan Arafat yang diamanahkan kepada syarikat Prasarana adalah bukti kemampuan syarikat Malaysia di Arab Saudi.
8. YB Menteri turut berpeluang untuk berjumpa dengan Putera Khalid Al-Faisal Al Saud, Gabenor Mekah yang memuji model ekonomi Malaysia yang memainkan peranan penting dalam ekonomi Islam sedunia. YB Menteri juga mengambil maklum akan pelan pembangunan infrastruktur dalam jangkamasa 5 tahun di Jeddah dan Mekah. Ini akan memberi peluang pada syarikat-syarikat Malaysia.
KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI
Last Updated 2015-11-13 10:38:02 by Azuna Hasbullah atau Abd Rahman