Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
    T
    T
    T
    T
    T
LambangMalaysia
                                         
 | 
 W3C   FAQs   site map   contact us   complaints & feedback 
background
OFFICIAL PORTAL OF THE

MINISTRY OF INVESTMENT, TRADE AND INDUSTRY

Kenyataan Media : Dasar Baharu AP Terbuka

 

1. Kerajaan telah melaksanakan kajian menyeluruh mengenai dasar AP Terbuka kenderaan import terpakai. Skop kajian meliputi analisis kesan, sumbangan dan implikasi AP Terbuka kepada pembangunan industri automotif, sosio-ekonomi negara dan dasar-dasar Kerajaan yang berkaitan. Kajian tersebut dengan penglibatan syarikat perunding, telah dijalankan selama 6 bulan dan mengambil kira semua pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pemain-pemain industri, persatuan pengguna, beberapa NGO dan ahli-ahli politik. Kajian tersebut mencadangkan supaya dasar AP Terbuka diteruskan.

2. Pasukan kajian berpendapat bahawa dasar AP Terbuka memberi pilihan kepada orang ramai untuk membeli kereta import terpakai pada harga yang kompetitif. Pasukan kajian juga mendapati industri pengedaran dan pengimportan kereta import terpakai memberi sumbangan yang signifikan kepada industri automotif dan pembangunan sosio-ekonomi negara. Antaranya ialah sumbangan kepada perniagaan industri sokongan dan sektor perkhidmatan seperti bank, insurans, perkapalan dan logistik yang dianggarkan berjumlah RM450 juta setahun.

3. Perniagaan pengimportan dan pengedaran kereta import terpakai juga telah menyediakan peluang pekerjaan yang berpendapatan sederhana dan tinggi secara langsung kepada 3,800 orang. Kerajaan juga melalui dasar ini dapat memperolehi hasil yang dianggarkan sebanyak RM2 bilion setahun menerusi kutipan cukai dan fi. Kajian juga mendapati dasar ini telah menyumbang sebanyak 5 peratus daripada 36 peratus ekuiti Bumiputera dalam sektor automotif.

4. Kerajaan telah menimbang kajian ini dan setelah mengambilkira pandangan pelbagai pihak, bersetuju untuk meneruskan dasar AP Terbuka tetapi dengan beberapa penambahbaikan. Keputusan ini dibuat bagi membolehkan orang ramai terus berpeluang membeli kereta import mewah dan sederhana mewah terpakai dengan harga yang kompetitif. Sekiranya dasar ini dimansuhkan tiada lagi import kereta terpakai dibenarkan ke dalam negara dan ini akan menafikan peluang orang ramai untuk membeli kereta import terpakai. Peratusan penyertaan ekuiti Bumiputera dalam sektor automotif juga akan menurun kepada 31 peratus.

5. Antara penambahbaikan yang akan dilaksanakan ialah memberi peluang kepada syarikat-syarikat Bumiputera baharu yang layak dan benar-benar mematuhi garis panduan yang ditetapkan untuk turut serta dalam perniagaan ini. Dasar baharu ini juga akan mengambil kira komitmen negara di peringkat antarabangsa. Selain itu, Kerajaan juga akan melaksanakan satu program yang bersesuaian dengan menggunakan sebahagian dari hasil kutipan fi AP Terbuka bagi membolehkan orang ramai mendapat manfaat secara langsung daripada dasar baharu ini. Maklumat terperinci mengenai program ini akan diumumkan kemudian.

6. Selaras dengan penambahbaikan ini, juru audit bertauliah bebas akan dilantik untuk menjalankan pengauditan ke atas semua syarikat yang menjalankan perniagaan ini. Ini bagi memastikan syarikat-syarikat berkenaan mematuhi semua garis panduan dasar baharu AP Terbuka. Kerajaan akan tegas dalam melaksanakan audit tersebut. Dasar baharu AP Terbuka dengan penambahbaikan ini akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2017 bagi membolehkan syarikat-syarikat sedia ada mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
23 Disember 2015

 


Last Updated 2015-12-29 10:37:18 by Azuna Hasbullah atau Abd Rahman

  •  
  • Print
  • Email this page

 

CONTACT US
Ministry of Investment, Trade and Industry
Menara MITI, No.7,
Jalan Sultan Haji Ahmad Shah,
50480 Kuala Lumpur, Malaysia.
Tel: 603-8000 8000 | Fax: 03-6026 4693
Email: webmiti[@]miti.gov.my
 
MITI QR Code  MITIMalaysia  MITIMalaysia  MITIMalaysia  MITIMalaysiayoutube  MITIMalaysia  MITIMalaysia
ISMS