PERTUBUHAN PERDAGANGAN DUNIA (WTO)
Pendahuluan
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ditubuhkan pada 1 Januari 1995. WTO telah mengambil alih fungsi Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) sejurus muktamadnya Rundingan Perdagangan Pusingan Uruguay pada tahun 1994. GATT telah mewujudkan peraturan khususnya ke atas perdagangan barangan, namun begitu skopnya telah diperluaskan melalui WTO yang merangkumi bidang-bidang lain berkaitan perdagangan seperti perkhidmatan dan hak harta intelek.
WTO menggalakkan perdagangan antarabangsa melalui pembukaan pasaran dan pengukuhan peraturan perdagangan barangan, yang antara lain bertujuan:
- memberi ketelusan,kebolehramalan dan kestabilan
- mengelak daripada mengambil langkah-langkah sepihak mengenai hal-hal perdagangan
- menyelesaikan pertikaian melalui mekanisme penyelesaian pertikaian termasuk tindakan pemulihan ke atas amalan perdagangan yang tidak adil melalui langkah-langkah anti-lambakan dan timbal balas.
WTO juga merupakan forum bagi membincangkan isu-isu rundingan secara berterusan dalam usaha mewujudkan persekitaran perdagangan global yang lebih telus, mudah dijangka, adil dan liberal. Rundingan yang dijalankan adalah bertujuan untuk menghapuskan halangan perdagangan secara progresif bagi mewujudkan peluang pembukaan pasaran kepada negara-negara anggota. Peraturan-peraturan WTO sentiasa ditambah baik melalui kajian secara berkala ke atas peraturan sedia ada dan juga rundingan-rundingan mengenai peraturan-peraturan baru.
Sehingga 31 Disember 2014, WTO mempunyai 161 negara Ahli.
Prinsip-prinsip Asas WTO
Layanan Negara Terbaik (Most-Favoured-Nation – MFN)
Bagi memastikan layanan sama rata, WTO mewajibkan kesemua Ahli-ahli dilayan dengan adil mengikut dasar Layanan Negara Terbaik (MFN). Pengecualian ke atas Dasar ini adalah dibenarkan, sebagai contoh, duti-duti yang diberi keutamaan di bawah perjanjian perdagangan serantau dan Generalised System of Preferences .
Layanan Kebangsaan (National Treatment)
Layanan kebangsaan menyatakan bahawa barangan/perkhidmatan domestik dan produk/perkhidmatan asing harus diberi layanan yang sama rata. Ia melarang diskriminasi antara produk/perkhidmatan yang diimport dengan produk/perkhidmatan yang dihasilkan di pasaran domestik dalam pelaksanaan cukai dan peraturan-peraturan dalaman. Pengenaan cukai import ke atas produk asing tidak dilihat sebagai pelanggaran dasar layanan kebangsaan.
Ketelusan
Bagi memberi jaminan ketelusan kepada para pelabur, kesemua Ahli-ahli harus memastikan tiada halangan perdagangan diwujudkan dengan sewenang-wenangnya. Keperluan-keperluan notifikasi sebagaimana yang diperuntukkan dalam perjanjian-perjanjian WTO adalah bertujuan untuk mencapai matlamat tersebut. Mekanisme Kajian Semula Dasar Perdagangan (Trade Policy Review Mechanism – TPRM) memberi peluang mengkaji dan menjelaskan dasar-dasar dan amalan perdagangan di kalangan negara-negara Ahli.
Layanan Istimewa dan Berbeza
WTO mengiktiraf bahawa tahap pembangunan di kalangan negara-negara Ahli adalah berbeza. Perjanjian WTO memberi fleksibiliti sebagai sebahagian daripada layanan istimewa dan berbeza kepada negara-negara sedang membangun. Fleksibiliti ini mungkin dalam bentuk tempoh peralihan yang lebih panjang atau komitmen akses pasaran pada peringkat yang lebih rendah.
Perjanjian-Perjanjian di bawah WTO
Perjanjian-perjanjian WTO menyediakan peraturan yang sah di sisi undang-undang bagi perdagangan antarabangsa. Ia meliputi kontrak-kontrak yang mengikat Ahli-ahli kepada dasar-dasar perdagangan pada had yang dipersetujui.
Perjanjian-perjanjian utama WTO adalah:
- Perjanjian Pelbagaihala Barangan Perdagangan seperti Pertanian, Halangan Teknikal kepada Perdagangan (TBT), Sanitari dan Psitosanitari (SPS), Subsidi dan Langkah Timbal Balas, dan juga Perlindungan.
- Perjanjian Am Bagi Perdagangan Perkhidmatan
- Perjanjian Aspek-aspek Perdagangan Berkaitan Hak Harta Intelek (TRIPs)
- Persefahaman Penyelesaian Pertikaian
- Mekanisme Kajian Semula Dasar Perdagangan (TPRM)
- Perjanjian Perdagangan Plurilateral
Teks penuh perjanjian-perjanjian boleh dicapai di laman sesawang WTO, www.wto.org
Persidangan Peringkat Menteri
Persidangan Peringkat Menteri diadakan sekurang-kurangnya 2 tahun sekali. Ianya merupakan peringkat pembuat keputusan paling tinggi bagi memutuskan isu-isu utama mengenai perjanjian perdagangan pelbagaihala.
Maklumat terperinci mengenai Persidangan Menteri-Menteri boleh didapati di laman web WTO.
Last Updated 2015-05-14 11:59:14 by admin2