Latar Belakang
  • Kumpulan Visi ASEAN-Kesatuan Eropah ( European Union - EU) telah ditubuhkan oleh Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ( ASEAN Economic Ministers - AEM) dan Pesuruhjaya Perdagangan EU pada 2005 untuk mengkaji kemungkinan mengadakan satu Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-EU ( Free Trade Agreement - FTA) dan inisiatif-inisiatif baru lain bagi meningkatkan kerjasama ekonomi dan hubungan antara ASEAN dan Kesatuan Eropah.

  • Dua kajian luar iaitu Kajian Kuantitatif berdasarkan model pengiraan keseimbangan umum yang mengkhusus kepada impak liberalisasi dan Kajian Kualitatif yang mengkaji secara mendalam isu-isu bukan tarif dan peraturan berkaitan perdagangan barangan, perkhidmatan dan pelaburan.

  • Kajian Kumpulan Visi ini telah dibentangkan kepada AEM dan Pesuruhjaya Perdagangan EU pada 16 Mei 2006.

  • Mesyuarat AEM dan Pesuruhjaya Perdagangan EU pada 4 Mei 2007 di Brunei Darussalam telah bersetuju bahawa rundingan FTA ASEAN-EU akan berdasarkan kepada pendekatan antara rantau yang mengiktiraf dan mengambilkira tahap pembangunan dan kapasiti yang berbeza di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN.

  • Sepanjang proses rundingan, langkah-langkah bagi menyokong dan mengukuhkan proses integrasi ekonomi ASEAN akan dilaksanakan, termasuk melalui aktiviti-aktiviti bina upaya di bawah Inisiatif Perdagangan Rentas Serantau ASEAN-EU ( Trans Regional EU-ASEAN Trade Initiative - TREATI).

  • Satu Jawatankuasa Bersama dianggotai pegawai-pegawai kanan dari kesemua Negara Anggota ASEAN dan EU telah ditubuhkan untuk menyediakan maklumat mengenai modaliti, program kerja dan tempoh masa bagi rundingan FTA ASEAN-EU.

 

Skop
  • Pihak EU telah mencadangkan satu FTA komprehensif meliputi elemen-elemen berikut:
    • Perdagangan barangan;
    • Perkhidmatan;
    • Perolehan kerajaan;
    • Dasar persaingan;
    • Hak harta intelek, industri dan komersil;
    • Pembangunan mapan, termasuk isu-isu buruh dan alam sekitar;
    • Kerjasama dalam isu-isu berkaitan perdagangan; dan
    • Mekanisme penyelesaian pertikaian.

 

Status

  • Jawatankuasa Bersama ASEAN-EU telah bermesyuarat sebanyak tiga kali untuk merundingkan modaliti, program kerja dan jangka masa bagi rundingan FTA ASEAN-EU.

  • Semasa Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Bersama, pihak EU juga telah menekankan pentingnya dibangunkan pendekatan berbeza berdasarkan FTA serantau. Ini termasuklah kemungkinan EU merundingkan isu-isu sensitif seperti perolehan kerajaan, dasar persaingan, pembangunan mapan dan buruh secara dua hala dengan Negara-negara Anggota ASEAN bagi merealisasikan hasratnya untuk mencapai satu FTA menyeluruh dengan ASEAN.

  • Mesyuarat Jawatankuasa Bersama seterusnya akan diadakan pada 15-17 Oktober 2008. Semasa Mesyuarat ini, skop FTA serantau ini akan dibincangkan dengan lanjut lagi.

 

Faedah

  • Pada tahun 2006, EU merupakan rakan dagang ketiga terbesar bagi ASEAN. Perdagangan ASEAN dengan EU telah meningkat kepada US$161.5 bilion dari US$141.5 bilion pada 2005.

  • FTA antara ASEAN dan EU akan meningkat dan memperdalamkan lagi integrasi ekonomi antara rantau dan bantu membina kapasiti ASEAN ke arah merealisasikan Komuniti Ekonomi ASEAN ( ASEAN Economic Community - AEC)menjelang 2015 melalui perkongsian pengalaman EU mengenai integrasi ekonomi serantau.

  • FTA ini juga akan membolehkan ASEAN untuk mendapat faedah dari program-program bantuan teknilkal EU di bawah TREATI dan inisiatif-inisiatif integrasi ekonomi lain serta menjalin kerjasama dengan EU bagi mempromosikan pertumbuhan kedua-dua industri perkilangan dan perkhidmatan.