Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melihat penganjuran Pameran Muslim World BIZ 2015, Business and Investment Zone di Malaysia mampu menarik pelaburan dalam kalangan peserta acara berkenaan dan meningkatkan jaringan perniagaan usahawan.

 

Pada masa sama, Pameran Muslim World BIZ 2015, Business and Investment Zone turut meningkatkan perdagangan intra dalam kalangan negara Islam dan negara bukan Islam.

 

Timbalan Menterinya, Datuk Hamim Samuri berkata, Malaysia yang dikenali sebagai destinasi perniagaan memberi manfaat kepada negara untuk menjadi hab perniagaan Islam dan pelaburan pada masa depan.

 

“Kedudukan Malaysia pada lokasi geografi yang ideal, persekitaran politik dan ekonomi yang terurus selain sering menjadi destinasi pilihan perdagangan dan pelaburan menjadikan negara terus mendapat perhatian aktiviti perniagaan global.

 

“Dengan itu, ia juga dapat menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara-negara Islam yang setakat tahun lalu mencatatkan RM7.32 trilion dan jumlah penduduknya mencecah 1.7 bilion,” katanya pada pelancaran acara itu, baru-baru ini.

 

Pameran Muslim World BIZ 2015 yang memasuki tahun keenam penganjurannya dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 30 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dan akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

 

Acara itu dijangka dapat menarik lebih 35,000 pelabur berpotensi dan pengunjung selain pengusaha, pengarah dan pembuat dasar daripada pelbagai industri serta dari sekurang-kurangnya 40 negara dan menyediakan 1,000 ruang pameran.