Malaysia mampu jadi pusat eksport semula produk

CHINA berpotensi menjadi sumber pelaburan langsung asing (FDI) utama baru bagi Malaysia berikutan meningkatnya kecenderungan di kalangan syarikat negara itu untuk menubuhkan pangkalan pengeluaran di luar negara bagi tujuan eksport.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata perkembangan itu berlaku kerana sesetengah produk dari China sudah melebihi kuota eksport masing-masing ke pasaran seperti Eropah dan Amerika Syarikat (AS) menyebabkan pengeluarnya dari negara itu terpaksa mengeluarkan produk mereka di negara ketiga.
"China adalah pengeksport yang besar untuk pelbagai jenis produk.

"Dalam kes tertentu, produk berkenaan sudah melebihi kuota eksport ke pasaran khusus seperti Eropah dan AS.

"Justeru, mereka kini giat mencari negara ketiga untuk dijadikan tapak pengeluaran bagi membolehkan mereka mengeksport semula produk yang sudah diberikan nilai tambah ke pasaran sama menggunakan kuota kita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi dialog dengan pengeksport tempatan pada sesi taklimat dan perundingan anjuran Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Kuala Lumpur, semalam.

Mukhriz berkata, Malaysia perlu mengambil kesempatan daripada perkembangan itu kerana pengeluar China terpaksa menggunakan sekurang-kurangnya 40 peratus kandungan tempatan sebelum layak mengeksport produk mereka ke pasaran khusus menggunakan kuota negara ini.

"Ini adalah satu perkembangan yang baik kerana bagi Malaysia, asalkan kandungan nilai tambah tempatan melebihi 40 peratus maka kita akan mendapat status negara pengeksport asal.

"Jika kita bekerjasama dengan China dalam hal ini, pada asasnya, produk kita sudah menembusi pasaran Eropah dan AS," katanya.
Mukhriz juga berkata, beliau yakin 2010 adalah tahun baik untuk FDI berikutan pemulihan ekonomi global.

"Saya yakin dengan prospek tahun ini Semua petunjuk ekonomi menunjukkan pemulihan," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sasaran FDI Malaysia untuk tahun ini tetapi berkata, Malaysia berada pada landasan yang tepat memperoleh sasaran FDI kira-kira RM20 bilion bagi 2009 berdasarkan kepada sejumlah RM12.6 bilion yang diterima antara Januari hingga September 2009.

Ketika berucap, Mukhriz berkata Asia Tenggara akan terus menjadi destinasi FDI utama global terutama dalam sektor tenaga hijau, industri telekomunikasi, pengilangan barangan berteknologi tinggi serta produk pertanian.

Katanya, bagi Malaysia, kerajaan akan terus berusaha menarik pelabur dari Jepun, AS dan Asia Barat.

Mengenai sesi dialog semalam, Mukhriz berkata, kebanyakan pengeksport terutama peserta baru meminta kerajaan supaya membawa satu-satu sektor secara khusus dalam setiap misi perdagangan di luar negara.

"Kami menerima semua pandangan mereka secara positif," katanya sambil menambah Matrade akan mengadakan sesi dialog serupa di bandar besar yang lain di seluruh negara.


--Berita Harian