Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ingin merujuk kepada beberapa isu yang dibangkitkan oleh orang ramai behubung dengan langkah Kerajaan memperkenalkan pemeriksaan mandatori tahunan sebagai syarat bagi pembaharuan cukai jalan untuk semua kenderaan berusia 15 tahun atau lebih dan pemansuhanan secara berperingkat pengimportan alat ganti dan komponen terpakai di bawah kajian semula Dasar Automotif Nasional yang diumumkan pada 28 Oktober 2009.

2. Berhubung dengan pemeriksaan mandatori, Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan, akan menyediakan pelan jangka panjang bagi melaksanakan Dasar Tempoh Jangka Hayat (ELV) dengan mengambil kira pandangan semua pihak melalui perbincangan bersama persatuan pengguna dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

3. Ketua Setiausaha MITI, Tan Sri Abdul Rahman Mamat menjelaskan bahawa “tarikh pelaksanaan bagi pemeriksaan mandatori adalah bukan pada 1 Januari 2010 seperti yang disiarkan dalam sesetengah media. Kerajaan akan mengumumkan tarikh sebenar penguatkuasaan pemeriksaan mandatori setelah pelan jangka panjang bagi pelaksanaan ELV siap disediakan. Beliau menambah bahawa “tujuan utama Kerajaan memperkenalkan pemeriksaan mandatori tahunan adalah untuk memastikan bahawa kenderaan adalah selamat dan sesuai digunakankan di jalan raya”.

4. Pelaksanaan pemeriksaan mandatori bukanlah bermakna Kerajaan mahu menghapuskan kenderaan yang berusia lebih 15 tahun. Kenderaan tersebut masih dibenarkan berada di jalan raya sekiranya lulus ujian pemeriksaan keselamatan dan road-worthy. Sekarang pun, pemeriksaan seperti ini juga sedang dilaksanakan bagi pertukaran hak milik kenderaan persendirian dan pembaharuan cukai jalan bagi kenderaan perdagangan.

5. Pada masa ini terdapat 2.7 juta atau 14.5 peratus kenderaan penumpang berusia lebih 10 tahun berada di jalan raya. Berbanding dengan negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat, Korea, Indonesia, Thailand dan India, Malaysia mempunyai kadar pelupusan kenderaan lama yang rendah dan purata usia kenderaan yang tinggi.

 6. Pemansuhanan secara berperingkat pengimportan alat ganti dan komponen terpakai yang akan berkuatkuasa pada Jun 2011. Langkah ini hanya melibatkan alat ganti dan komponen terpakai yang dimport sahaja. Ia adalah selaras dengan usaha jangka panjang Kerajaan untuk tidak membenarkan lagi pengimportan produk-produk automotif terpakai yang sub-standard dan tidak selamat.

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI KUALA LUMPUR, MALAYSIA 30 OKTOBER 2009