JAKARTA 8 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik perhatian tentang konsep 1ASEAN yang dilihat mampu memupuk semangat serta kesedaran ASEAN yang tinggi di kalangan penduduk serantau.
Mengambil contoh pelaksanaan inisiatif 1Malaysia untuk menyatukan rakyat di bawah satu gagasan, Najib percaya, usaha yang sama boleh dilaksanakan di peringkat ASEAN bagi menyatukan semangat negara-negara anggota.
''Bayangkan jika kita memperkenalkan diri kita kepada seseorang dari United Kingdom atau Perancis, kita memberitahu bahawa kita bukan sahaja orang Malaysia atau Indonesia, kita juga adalah ASEAN - seperti mana mereka memberitahu mereka dari Eropah.
''Ini kerana saya bangga datang dari Asia Tenggara. Saya mahu orang kita turut bangga - dan saya mahu seluruh dunia tahu siapa kita,'' kata Perdana Menteri ketika berucap pada Forum Kepimpinan ASEAN ke-8 di sini, malam ini.
Sebelum menekankan tentang 1ASEAN, Perdana Menteri melahirkan rasa bangga beliau terhadap ASEAN sambil mengajak negara anggota untuk bersama-sama menonjolkan potensi pertubuhan itu dan berkongsi mengenainya dengan dunia.
Ini kerana, menurut Najib, sementara setiap negara bersendirian melaksanakan pelbagai langkah, terdapat lonjakan yang mesti dilakukan bersama-sama.
Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan konsep 1ASEAN merupakan kemajuan sosial yang perlu digerakkan secara kolektif oleh negara-negara serantau
''Kita mesti secara berterusan meningkatkan kemajuan sosial - memastikan masyarakat kita menerima perubahan di sekeliling, dan mereka dapat merasakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada perubahan itu dan berusaha untuk menjayakannya,'' kata Najib.
Last Updated 2015-05-14 11:58:39 by admin2