AKTA DUTI TIMBAL BALAS DAN ANTI-LAMBAKAN 1993

PERATURAN-PERATURAN DUTI TIMBAL BALAS DAN ANTI-LAMBAKAN 1994

NOTIS PENAMATAN PENGENAAN DUTI ANTI-LAMBAKAN KE ATAS IMPORT NEWSPRINT DALAM BENTUK GULUNGAN YANG BERASAL ATAU DIEKSPORT DARI KANADA, REPUBLIK INDONESIA, REPUBLIK KOREA, REPUBLIK FILIPINA DAN AMERIKA SYARIKAT YANG AKAN BERLAKU

(AD 01/03)

MENURUT peraturan 35 Peraturan-Peraturan Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1994 [ P.U.(A) 233/1994 ], NOTIS diberikan bahawa duti anti-lambakan yang dikenakan ke atas import newsprint dalam bentuk gulungan (“dagangan subjek”) yang berasal atau dieksport dari Kanada, Republik Indonesia, Republik Korea, Republik Filipina dan Amerika Syarikat di bawah Perintah Kastam (Duti Anti-Lambakan) (No. 2) 2003 [ P.U.(A) 370/2003 ] akan habis tempohnya pada 25 September 2008 dan pihak berkepentingan diminta supaya mengemukakan pandangan mereka mengenai penamatan pengenaan duti yang akan berlaku itu.

Dagangan subjek

2. Dagangan subjek ialah newsprint dalam bentuk gulungan yang dikelaskan di bawah Nombor Kod Sistem yang Diharmonikan (Kod H.S.) 4801.00 100. Nombor Kod H.S. ini diberikan hanya untuk makluman tetapi tidak mempunyai kesan mengikat terhadap pengelasan dagangan subjek itu.

Duti anti-lambakan

3.   (1) Di bawah Perintah Kastam (Duti Anti-Lambakan) (No. 2) 2003, dagangan subjek adalah tertakluk kepada duti anti-lambakan dari 27 September 2003 hingga 25 September 2008.

      (2) Kadar duti anti-lambakan yang dikenakan adalah seperti yang berikut:

    1. berhubung dengan import dagangan subjek dari Kanada, 33.55% daripada harga eksport;

    2. berhubung dengan import dagangan subjek dari Republik Indonesia, antara 5.59% hingga 33.14% daripada harga eksport;

    3. berhubung dengan import dagangan subjek dari Republik Korea, 43.24% daripada harga eksport;

    4. berhubung dengan import dagangan subjek dari Republik Filipina, 31.74% daripada harga eksport; dan

    5. berhubung dengan import dagangan subjek dari Amerika Syarikat, 39.20 % daripada harga eksport.

Pandangan daripada pihak berkepentingan

4. (1) Pihak berkepentingan yang berkemungkinan terjejas oleh penamatan pengenaan duti anti-lambakan diminta mengemukakan pandangan mereka secara bertulis.

     (2) Pandangan yang disebut dalam subperenggan (1) hendaklah, khususnya, mengambil kira isu-isu yang berikut:

    1. sama ada pengenaan duti anti-lambakan yang berterusan perlu untuk mengimbangi lambakan dagangan subjek; dan

    2. sama ada kemudaratan berkemungkinan akan berterusan atau berulang jika duti itu dihapuskan.

     (3) Pandangan yang disebut dalam subperenggan (1) hendaklah disokong dengan sewajarnya.

Had masa

5. Pihak berkepentingan hendaklah mengemukakan pandangan mereka secara bertulis dan mengemukakan maklumat yang dikehendaki tidak lewat daripada 23 Mei 2008. Pengemukaan pandangan itu hendaklah dialamatkan kepada:

Pengarah Amalan Perdagangan
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
Tingkat 12, Blok 10, Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan
Jalan Duta
50622 Kuala Lumpur
Malaysia
Nombor Telefon : (603) 6203 3175/5178/3049/3210/3061

Nombor Faksimile : (603) 6201 9920

 

Bertarikh 21 Mac 2008
[MITI/BPA/(S)/AP/AD/045/14 Jld. 14; PN(PU 2 )529/IX]

 

TAN SRI DATO' HJ. MUHYIDDIN BIN HJ. MOHD. YASSIN
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri