Inisiatif tingkatkan peranan dalam Model Ekonomi Baru
KERAJAAN akan merangka satu pelan induk pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membabitkan tempoh 2011 hingga 2020 bagi meningkatkan peranan sektor itu dalam Model Ekonomi Baru yang bakal dibentangkan tidak lama lagi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata penekanan utama pelan induk itu adalah mewujudkan satu ekosistem yang boleh membantu memajukan PKS dari segi kewangan dan keperluan dana, pembinaan kapasiti, sokongan logistik dan perkara lain yang diperlukan PKS.
"Ini bagi membolehkan PKS berkembang daripada sebuah syarikat bersaiz kecil kepada syarikat yang berjaya di peringkat domestik, seterusnya melangkau ke peringkat serantau dan dunia," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana Kebangsaan (MPPK) ke-10 di Putrajaya, semalam.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Timbalannya, Datuk Mukhriz Mahathir serta Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Najib berkata, cadangan mewujudkan pelan induk PKS yang diluluskan dalam mesyuarat MPPK semalam itu juga akan menumpukan kepada aspek membangunkan syarikat PKS yang menggunakan konsep pertumbuhan yang menekankan kepada soal inovasi dan penggunaan teknologi baru.
Dalam usaha memantapkan lagi sektor PKS di negara ini, Najib berkata, latihan keusahawanan termasuk dalam soal pengurusan PKS akan diwujudkan di peringkat pengajian tinggi seperti di politeknik.
"Ini amat penting kerana jika kita tidak mempunyai kemampuan atau kapasiti menguruskan perusahaan seperti itu, ia tidak mungkin berjaya walaupun kita mempunyai dana dan sebagainya," katanya.
Pada sidang media itu, Najib turut menyarankan mana-mana pengusaha PKS yang menghadapi kesukaran memperoleh pinjaman daripada institusi perbankan supaya mendapatkan khidmat kaunseling daripada Bank Negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, khidmat nasihat kepada PKS yang menghadapi kesukaran memperoleh pinjaman sememangnya sudah disediakan Bank Negara dan perlu dimanfaatkan oleh golongan berkenaan.
"Saya ingin menyarankan supaya syarikat PKS yang tidak mendapat pinjaman agar menggunakan khidmat kaunseling dan menjadikan Bank Negara sebagai orang tengah kerana ia membolehkan mereka berhubung dengan bank bagi menentukan peluang terbaik untuk dipertimbangkan kemudahan dana yang diperlukan," katanya.
Selain Bank Negara, Najib berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga akan diberikan peranan mengkaji keperluan dana yang boleh diberikan oleh Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp) kepada PKS.
Last Updated 2015-05-14 11:59:20 by admin2