KUALA LUMPUR 13 Jan. - Negara dijangka menarik lebih banyak pelaburan terus asing (FDI) pada tahun ini, setanding dengan pencapaian pada 2008 sebanyak RM62.8 bilion.
Sasaran itu dapat dicapai melalui salah satu usaha kerajaan menarik pelabur-pelabur China untuk membina pangkalan produk nilai tambah di sini untuk tujuan eksport.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Malaysia berpotensi untuk menjadi pangkalan komponen produk dan bahan mentah sebelum dieksport ke negara-negara yang lain.
Jelasnya, konsep ini sudah lama dilaksanakan oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara asing yang lain di sini.
"Pasaran eksport produk-produk China adalah di seluruh dunia dan Malaysia terletak di lokasi yang strategik dan berpotensi untuk dijadikan pangkalan produk-produk tersebut selain mempunyai kemudahan prasarana yang baik,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat dan perundingan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersama pengeksport Malaysia di sini, hari ini.
Malaysia menerima FDI sebanyak RM62.8 bilion pada 2008 dan pada tahun lalu FDIdianggarkan berjumlah kira-kira RM20 bilion.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu, negara telah menarik FDI sebanyak RM12.6 bilion.
Sementara itu, Mukhriz berkata, jumlah FDI pada tahun ini dijangka mampu melepasi prestasi yang dicapai pada tahun lalu."Saya yakin tentang prestasi yang dicapai pada tahun ini. Semua petunjuk prestasi pasaran turut menunjukkan hala tuju yang positif,'' kata beliau.
--Utusan Malaysia
Last Updated 2015-05-14 11:59:47 by admin2