Pendahuluan

Malaysia adalah antara Ahli WTO yang terawal kerana telah menjadi ahli dalam Perjanjian Am Tarif dan Perdagangan (General Agreement on Tariffs and TradeGATT) sejak tahun 1957. Melalui penglibatan yang aktif di dalam rundingan WTO, Malaysia memastikan supaya peraturan dan langkah perdagangan yang dirundingkan adalah adil dan menyediakan fleksibiliti untuk Malaysia bagi meneruskan dasar pembangunannya.

Sebagai sebuah negara perdagangan, keahlian Malaysia di dalam WTO telah membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara. Pengurangan halangan perdagangan dalam pasaran eksport dan juga peningkatan peluang pasaran telah meningkatkan eksport negara. Salah satu daripada faedah utama yang dinikmati oleh Malaysia adalah layanan sama rata ke atas barangan di dalam pasaran negara Ahli-ahli WTO yang lain. Sebarang konsesi yang ditawarkan oleh negara Ahli kepada Ahli yang lain akan turut diberikan kepada Malaysia.

Konsultasi Kebangsaan

Dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan dari Agenda Pembangunan Doha (Doha Development AgendaDDA), Kerajaan telah mengadakan perbincangan secara beterusan bersama kementerian-kementerian, agensi-agensi, ahli-ahli akademik, pihak swasta serta pihak-pihak berkepentingan (stakeholders).

Bagi memudahkan proses penggubalan pendirian bagi isu perdagangan antarabangsa, pelaburan serta isu-isu lain yang melibatkan polisi atau hala tuju negara, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Kebangsaan Rundingan Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (National Consultative Committee on International Trade and Investment-NCCITI).  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) adalah penggerak utama jawatankuasa ini bagi mengukuh dan menyelaras pendirian Malaysia mengenai perdangan anatarabangsa dan pelaburan dalam pelbagai fora seperti WTO, UNCTAD, ASEAN, OIC, APEC dan FTAs.

Rundingan antara kementerian, agensi, pihak swasta, ahli-ahli akademik dan badan-badan lain yang terlibat dengan isu-isu perdagangan antarabangsa diteruskan oleh pelbagai kumpulan kerja. Terdapat 11 Kumpulan Kerja yang ditubuhkan bagi mendapatkan pendapat dan input mengenai isu-isu WTO :

  • Kumpulan Kerja Pertanian;
  • Kumpulan Kerja Perkhidmatan;
  • Kumpulan Kerja Barangan Bukan Pertanian;
  • Kumpulan Kerja Perdagangan Alam Sekitar;
  • Kumpulan Kerja Perdagangan Berkaitan Aspek-aspek Hak Harta Intelek;
  • Kumpulan Kerja Peraturan WTO;
  • Kumpulan Kerja Pelaburan;
  • Kumpulan Kerja Dasar Persaingan;
  • Kumpulan Kerja Perolehan Kerajaan;
  • Kumpulan Kerja Fasilitasi Perdagangan; dan
  • Kumpulan Kerja E-Perdagangan.