Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembangunan enam koridor di negara itu sememangnya menyediakan insentif yang baik, tetapi masih belum mencukupi untuk menarik keyakinan pelabur luar.

Katanya, antara inisiatif yang akan diperkenalkan termasuklah menyediakan elaun modal sebanyak 200 peratus bagi perbelanjaan automasi untuk menggalakkan sektor tersebut terutamanya industri berasaskan buruh dan pakej insentif khusus untuk kawasan kurang membangun.

 

Selain itu, ujar beliau, kerajaan turut menyediakan insentif cukai bagi hab utama dalam pelaburan inovasi dan teknologi untuk mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi, lima tahun pengecualian cukai bagi mengurus, mengekalkan dan menaik taraf kawasan perindustrian.

“Adalah satu perkara mencabar apabila saya bercakap dengan pelabur luar tentang beberapa bahagian negeri yang kurang membangun di Malaysia. Jadi sasaran kami supaya dapat melaksanakan empat inisiatif ini dan meningkatkan pelaburan ke negeri-negeri yang dikenal pasti ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas pengumuman prestasi pelaburan 2014.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr. Rebecca Fatima Sta Maria dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud.

Pada 2014, dari segi pelaburan diluluskan, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mencatat pelaburan berjumlah RM8 bilion manakala Koridor Pembangunan Sabah sebanyak RM2.9 bilion. Koridor lain iaitu Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) sebanyak RM13.7 bilion, Lembah Klang ((RM7.1 bilion), Iskandar Malaysia (RM3.6 bilion) dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) sebanyak RM9.6 bilion.

Secara keseluruhan, pelaburan langsung pada 2014 meningkat kepada RM235.9 bilion berbanding RM219.4 bilion tahun sebelumnya, sekali gus melepasi sasaran purata pelaburan tahunan sebanyak RM148 bilion yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Ketika ditanya tentang undang-undang pelaburan yang mungkin berbeza di setiap negeri, Mustapa berkata, negara hanya mempunyai satu sahaja undang-undang tersebut di peringkat Persekutuan tetapi yang membezakannya adalah dari segi nilai hartanah dan ekosistem infrastruktur di sesebuah negeri.

“Setiap negeri, misalnya Selangor memiliki hartanah yang lebih mahal, ada juga negeri yang agresif untuk pembangunan hartanah dan setiap negeri pula bersaing sesama sendiri untuk menarik pelaburan tetapi dalam konteks undang-undang pelaburan, hanya ada di peringkat Persekutuan bukannya di peringkat wilayah,” katanya.