Kuala Lumpur: Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) menjangkakan Agenda Perbangunan Doha atau Perbincangan Doha dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat apabila ahlinya mula menunjukkan keterbukaan untuk menerima isi kandungan dalam perbincangan itu yang tertangguh sejak 2008 di Doha.
WTO yang dianggotai 161 negara termasuk Malaysia antara ahli yang terbabit dalam Agenda Pembangunan Doha bagi membincangkan pelbagai isu dagangan antarabangsa antaranya akses pasaran, perundangan WTO, isu pembangunan, kemudahan dagangan dan perkara lain. Namun, ia ditangguhkan pada 2008 apabila terdapat beberapa perkara yang tidak dipersetujui ahlinya.
Ketua Pengarahnya, Roberto Azevedo berkata, sikap keterbukaan yang semakin baik dan meningkat dalam kalangan negara ahli membolehkan beberapa perkara tidak dipersetujui dapat dimuktamadkan.
Beliau berkata, namun, jangkaan tempoh masa atau sasaran untuk memuktamadkan agenda itu tidak dapat diunjurkan buat masa ini.
“Sejak saya menyertai organisasi ini dua tahun lalu, tidak ada perbincangan mengenai perkara ini. Kini mereka mungkin sudah keluar dari zon selesa dan ingin mencari kata sepakat untuk memuktamadkan agenda berkenaan.
“Perkara utama menjadi tumpuan saya dalam perbincangan ini adalah kemampuan untuk melaksanakannya serta bukan kesempurnaan atau apa yang diinginkan oleh semua pihak,” katanya selepas sesi perkongsian maklumat WTO di sini, semalam.
Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Kehadiran Roberto ke Malaysia sempena lawatan kerjanya di negara ini selama dua hari bermula 19 hingga 20 Mei ini.
Sementara itu, Mustapa berkata, penyertaan Malaysia di dalam WTO memberi manfaat apabila organisasi itu menyediakan persekitaran dagangan yang boleh dijangkakan dan telus dalam kalangan negara ahlinya.
“WTO adalah satu-satunya badan antarabangsa yang menguruskan isu dagangan antara negara, menyediakan rangka kerja bagi tujuan perjanjian dagangan serta menyelesaikan pelbagai masalah dagangan dunia,” katanya.
Bincang isu tertangguh
3 comments for this post